Rabu, 18 April 2012

Siaran Sukan Berkepentingan Negara Dikongsi Bersama Stesen Penyiar Mula ...

Mulai 1 Mei, hak penyiaran kandungan sukan bercirikan kepentingan negara dikongsi stesen penyiar televisyen, sekaligus memecah monopoli stesen penyiaran berbayar ASTRO, sebelum ini. Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim, berkata ini bermakna semua stesen penyiaran televisyen di Malaysia yang mendapat hak penyiaran sukan berkenaan mesti bersedia untuk berkongsi kandungan tersebut dengan semua televisyen bebas ke udara (free to air) yang tidak mendapat hak itu. “Sekiranya acara sukan tersebut tidak disiarkan oleh televisyen bebas ke udara, kandungan tersebut seterusnya akan dikongsi dengan stesen televisyen berbayar. “Antara acara sukan yang disenaraikan adalah Sukan Olimpik Musim Panas, Sukan Komanwel, Sukan Asia, Sukan SEA, Sukan Malaysia (SUKMA), Piala Thomas dan Uber, All England, BWF Super Series, AFC Asian Cup, ASEAN Football Federation Cup, FIFA World Cup (separuh akhir dan akhir) serta English Premier League (perlawanan akhir). “Acara ini dipilih kerana ia bercirikan kepentingan negara dan menggalakkan intergrasi nasional dan perpaduan di bawah semangat 1Malaysia. “Ianya dilaksanakan melalui Penentuan Menteri di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan bertujuan membolehkan ramai rakyat Malaysia menonton dan mengikuti acara sukan yang popular dan melibatkan pasukan negara,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi RTM Mobile di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, petang tadi. Katanya, selain ASTRO, dua stesen penyiaran negara, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Media Prima juga akan diberi hak penyiaran kandungan sukan itu selain ulasan turut diberi melalui siaran radio terpilih. Sementara itu, aplikasi RTM Mobile yang diperkenalkan stesen penyiaran negara itu katanya, memberi nafas baru dan titik permulaan kepada usaha kerajaan untuk mewujudkan negara bangsa yang hebat. Pelbagai program yang memupuk nilai murni dan serta berkaitan Perlembagaan Persekutuan seperti Bakat TV dan Tiada Lama Tiada Yang Baru akan diteruskan bagi mencapai matlamat berkenaan. RTM Mobilke adalah satu aplikasi streaming secara langsung di telefon pintar mudah alih yang menyediakan perkhidmatan khas menonton televisyen dan mendengar radio di mana sahaja untuk pengguna di Malaysia. Ia menawarkan siaran streaming ke atas tiga saluran televisyen merangkumi TV1, TV2 dan TVi (saluran 180 Astro) yang dijangka dapat memenuhi trend semasa kalangan penonton dan pendengar setianya.http://peraktoday.com/wp/?p=57642

Tiada ulasan:

Catat Ulasan