Khamis, 28 Februari 2013

Konspirasi Jenayah Terancang Antara PI Bala Dan Deepak

Setelah hampir lima tahun menyepi kerana melarikan diri ke Chennai India, bekas penyiasat persendirian P Balasubramaniam atau lebih dikenali dengan panggilan PI Bala, tampil buat julung kalinya di sebuah program ceramah pakatan pembangkang anjuran Chegu Bard. Dia sebelum ini telah menarik perhatian masyarakat di negara ini dengan kenyataan bersumpahnya (SD1) pada 1 July 2008.

SD1 antara lainnya cuba untuk mengaitkan Perdana Menteri dan isteri dalam kes pembunuhan bekas model Monggolia Altantuyya. Namun 3 hari selepas itu, Bala sekali lagi menarik perhatian umum, apabila tampil membuat kenyataan bersumpah (SD2) bagi menafikan tuduhan yang dilakukan sebelum ini di dalam SD1 pada 4 Julai 2008.

Sejurus selepas kenyataan tersebut, dia akhirnya 'hilang' dari pengetahuan umum serta gagal untuk di kesan, dipercayai telah melarikan diri ke luar negara. Seperti yang telah diduga ketika negara sedang berada di ambang pilihanraya umum, Bala akhirnya muncul semula bersama pimpinan pakatan pembangkang.

Kehadirannya bukan sahaja untuk mengatakan kononnya SD1 adalah benar namun turut mengatakan objektif utamanya adalah untuk memastikan kerajaan BN/Umno tumbang sekaligus meletakkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Ekoran dari itu, maka satu program ceramah telah diadakan oleh Chegu Bard dan konco-konconya di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor semalam. Namun apa yang peliknya program tersebut hanya mampu mengumpul sekitar 800 – 1000 orang sahaja, walaupun pihak penganjur berhempas pulas mempromosikan program tersebut dan mengangarkan kehadiran sekitar 5 – 10 ribu.

Ia secara tidak langsung membuktikan rakyat secara keseluruhan tidak merasakan pertuduhan Bala mempunyai hujah yang kuat dan boleh dijadikan sebagai sandaran. Maka walaupun pihak penganjur cuba mengumpan masyarakat untuk hadir dengan mengatakan Bala akan membuat pendedahan terbaru, ia tetap gagal menarik perhatian masyarakat.

Tambahan pula tindakannya yang 'flip flop' sebelum ini, membuatkan rakyat kembali berfikir dan menilai semula kredibiliti Bala yang jelas meragukan dan mempunyai agenda tersembunyi.

Bala juga ketika ditanya mengenai pendirian beliau mengenai kerajaan, mengatakan sejak dari kecil lagi telah wujud perasaan benci terhadap kerajaan BN/Umno. Dan tanpa berselindung mengatakan dia adalah merupakan antara tenaga pengerak kepada gerakan Hindraf suatu ketika dahulu.

Maka atas sebab itu, Chegu Bard berusaha untuk menyucikan kembali imej Bala dengan mengatakan wujud ancaman sehingga membahayakan nyawa beliau yang telah menyebabkan Bala bertindak mengeluarkan SD2 dan melarikan diri ke luar negara.

Dan ketika seisi pendedahan yang diadakan itu, acapkali juga Chegu Bard terpaksa memainkan peranan dalam menentukan hala tuju percakapan Bala agar dapat dikaitkan dengan pimpinan negara. Dan lebih menghairankan percakapan beliau juga tersekat-sekat dan sering terlupa dengan fakta yang terkandung di dalam SD1. Percakapan Bala pada malam semalam seolah-olah bercakap dengan mengunakan skrip pihak tertentu dan bukannya berdasarkan pengalaman sendiri seperti yang di dakwa.

Sedangkan Bala sebelum ini mendakwa SD1 satu adalah merupakan kenyataan beliau sendiri berdasarkan fakta sebenar sepanjang berkhidmat dengan Razak Baginda. Sekiranya pertuduhan tersebut mempunyai asas dan kebenaran, masakan Bala boleh terlupa 'poin-point' penting pertuduhan? Melainkan SD1 adalah merupakan hasil ciptaan dan rekaan semata-mata yang direka khusus untuk merosakkan imej Datuk Seri Najib dan isteri beliau.

Bagi menyelamatkan keadaan, Chegu Bard terpaksa mengunakan alasan, ekoran telah berada dalam tempoh yang lama di luar negara, maka Bala sudah tidak lagi fasih untuk bertutur dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Sedangkan isu terlupa fakta dengan tidak fasih bercakap adalah dua fakta yang jauh berbeza.

Dan yang paling mengejutkan, Bala juga secara tidak sengaja mendedahkan bahawa dia telah dibayar oleh Deepak sebanyak RM100 ribu tunai dan diberi sebuah kondomiun di Berjaya Times Square. Wang tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun bini Bala beserta dokumen perjanjian hakmilik kondominium tersebut.

Ia secara tidak langsung membuktikan wujud konspirasi dan jenayah terancang diantara Bala dan Deepak. Dan yang paling penting ialah, Bala gagal megemukan sebarang bukti yang kukuh dalam pertuduhan beliau.

Kesimpulannya isu yang cuba dibawa ini adalah merupakan sandiwara terbaru pakatan pembangkang dalam mempegaruhi rakyat sebagai satu strategi untuk merampas kerajaan. Jenayah terancang ini juga jelas membuktikan terdapatnya dalang sebenar di sebalik sandiwara yang sengaja diada-adakan ini.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Manifesto: Hudud Gugur, Perjuangan PAS Sudah Tidak Bernilai

Manifesto PR bertemakan 'Pakatan Harapan Rakyat' telah pun dilancarkan secara rasmi pada 25 Februari 2013 yang lepas sempena Konvensyen Pakatan Rakyat Kali Ke-4 yang dilangsungkan di Shah Alam Convention Centre (SACC).

Manifesto itu dirangka bersandarkan empat tonggak utama iaitu Rakyat Bersaudara, Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat dan Kerajaan Rakyat mendapat pengesahan dan perakuan rasmi ketiga-ketiga pemimpin utama PR dari DAP, PKR dan PAS.

Satu perkara menarik, kandungan manifesto itu langsung tidak menyentuh sebarang komitmen PR untuk merintis perlaksanaan hukum Hudud sekiranya berjaya mengambil alih Kerajaan Pusat. Dari muka surat satu hingga akhir walau sepatah ayat pun mengenai perlaksanaan hukum hudud tidak kelihatan.

Keadaan ini menunjukkan PR langsung tidak berhajat untuk melaksanakannya sekalipun umum mengetahui janji perlaksanaan hukum hudud amat sinonim dengan PAS sejak hampir tiga dekad lalu.

Ia mengejutkan ramai pemerhati politik kerana dengan gugurnya isu perlaksanaan hudud dari Manifesto PR membawa maksud akar kekuatan PAS telah dicabut keluar, meletakkan parti yang sekian lama memperalatkan Islam sebagai jenama parti itu semakin tergadai prinsip juangnya.

PAS kelihatan seperti ketiadaan pengaruh dan tidak berkemampuan mendesak agendanya dijadikan prioriti dalam Manifesto PR, dengan ini meletakkan perjuangan PAS dalam isu perlaksanaan hudud sudah tidak bernilai kerana dianggap tidak membawa sebarang manfaat kepada PR.

Akibatnya sebahagian besar ahli dan penyokong PAS hanya mampu terkebil-kebil dan mati kutu dibuatnya kerana ia jelas mengulangi kegagalan PAS sebelum ini dalam isu pengguguran Negara Islam dari kamus perjuangan PAS untuk digantikan dengan Negara Berkebajikan.

Dari satu sudut pengguguran isu hudud ini boleh dianggap satu kejayaan besar bagi Anwar Ibrahim kerana Ketua Umum PKR itu pernah berjanji dan memberi jaminan kepada sekumpulan pemimpin masyarakat Cina pro DAP dan PKR di Subang Jaya, Selangor bahawa hudud tidak akan mendapat tempat dalam PR.

Dan Anwar terbukti berjaya merealisasikan janji dan jaminan itu sekaligus senario ini juga mengesahkan kedudukan PAS dalam PR hanya setaraf kasta rendah yang hanya sekadar menjadi pak turut kepada DAP dan PKR.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Isu Kalimah Allah: Anwar Dakwa Hadi Menipu

Tika ini ramai ahli dan penyokong PAS yang belum kebas dari demam terkejut dan masih lagi dalam kebingungan gara-gara pendirian rasmi PR yang telah muktamad menggugurkan agenda perlaksanaan hukum hudud dari Manifesto PR.

Tambah mengeruhkan keadaan bila mana Manifesto PR tanpa agenda hudud itu turut disepakati dan diperakui oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Lebih parah lagi, tiga hari selepas Manifesto PR bertemakan "Pakatan Harapan Rakyat" dilancarkan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-4 di SACC Shah Alam, Selangor pada 25 Februari 2013 lepas, tak semena-mena Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim tampil menyalahkan Hadi Awang berhubung kontroversi isu kalimah Allah.

Ketua Umum PKR itu mendakwa ketetapan bersama PR pada 8 Januari 2013 lalu untuk membenarkan kalimah Allah s.w.t diguna pakai oleh orang bukan Islam termasuklah untuk kegunaan kitab Bible versi Bahasa Melayu hanya dimuktamadkan selepas mendapat penerangan dan persetujuan Presiden PAS.

Maksudnya, PR tidak akan mengambil ketetapan sedemikian jika Hadi menerangkan perkara benar. Tapi disebabkan Hadi telah menyembunyikan kebenaran, akhirnya PR terjerumus ke kancah kontroversi. Ini dakwaan serius, ia seperti menuduh Hadi telah menipu Anwar dan PR.

Anwar juga menegaskan kenyataan rasmi yang diiktiraf sebagai dasar PR yang disepakati bersama berhubung isu itu juga dibaca dan ditandatangani sendiri oleh Hadi Awang sebagai mewakili PAS. Gayanya seperti Anwar mahu memberitahu khalayak yang kesilapan yang dilakukan oleh PR disebabkan Hadi.

PAS patut tampil ke depan mempertahankan maruah Presidennya, itu pun kalau terasa masih ada sekelumit keberanian untuk berdepan dengan Anwar. Tapi jika berdiam diri atau sekadar sepintas lalu sahaja menjawab dakwaan Anwar, bermakna betullah dakwaan itu.

Anwar memang akan sedaya upaya melepaskan dirinya dari dikaitkan dengan kesilapan pendirian PR dalam isu kesucian kalimah Allah s.w.t, dengan cara mengalihkan beban ke bahu Hadi. Itu kehebatan Anwar dalam bab spin sana sini. Hadi dan pemimpin PAS sahaja yang masih belum sedar.

Pun begitu, sama ada Anwar, Hadi mahupun PR dan PAS, kesemua mereka telah melakukan telah memilih pendirian dalam isu sensitif ini. Suka atau tidak, kenalah terima hakikat selagi PR kekal dengan pendirian 8 Januari 2013, selagi itulah amarah umat Islam akan terus menghantui PAS dan PR.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.