Rabu, 16 Mei 2012

Kerajaan Sedia RM934 Juta Untuk Urusan Kenaikan Pangkat Guru TPM

Kementerian Pelajaran hari ini mengumumkan peruntukan bernilai RM934 juta bagi melaksanakan urusan kenaikan pangkat membabitkan lebih 24,000 guru di seluruh negara secara time based berasaskan kecemerlangan seperti yang diumumkan Perdana Menteri pada 8 Mac lalu.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata daripada jumlah itu, 8,222 adalah guru lepasan ijazah manakala bakinya iaitu 15,831 lagi adalah guru lepasan diploma.

Katanya, jumlah peruntukan yang besar itu membuktikan kesungguhan dan komitmen kerajaan dalam memberi pengiktirafan kepada usaha para guru membentuk modal insan yang berpesonaliti unggul.

“Guru lepasan ijazah dan diploma ini akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat apabila memenuhi syarat tempoh perkhidmatan mulai 1 Jun sehingga 31 Disember 2012.

“Daripada jumlah itu, seramai 390 guru akan dinaikkan ke gred DG54 manakala 676 lagi ke gred DG52.

“Selain itu, 3,938 guru juga dinaikkan gred ke DG48 dan 19,805 lagi dinaikkan ke gred DG44.

“Semakan boleh dibuat melalui laman web Kementerian Pelajaran mulai hari ini,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Guru Kali Ke-41 di Dewan Jubli Perak, dekat Kuala Kangsar, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong; Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, bagi guru ijazah gred DG41, hanya lapan tahun diperlukan untuk kenaikan ke gred DG44; gred DG44 ke -DG48 (lapan tahun); DG48 ke DG52 (enam tahun) dan gred DG52-DG54 (tiga tahun).

Manakala bagi guru lepasan diploma pula, bagi gred DGA29, hanya lapan tahun diperlukan untuk naik ke gred DGA32; gred DGA32-DGA34 (lapan tahun) dan hanya lima tahun untuk gred DGA34 ke DGA38.

Tegasnya lagi, proses kenaikan pangkat Pengetua dari gred DG48 ke DG52 dan Penolong Kanan dari DG44 ke DG48 turut dilaksanakan pihak kementerian.

“Setakat ini, seramai 854 orang pengetua dinaikkan pangkat dari DG48 ke DG52 dan 4,270 penolong kanan juga menikmati kenaikan pangkat dari gred DG44 kepada DG48.

“Kenaikan ini melibatkan pengetua dan penolong kanan yang merupakan penyandang sedia ada sebelum atau pada 31 Disember 2011 dan memangku jawatan sebelum atau pada 31 Disember 2010.

“Tarikh kuatkuasa kenaikan pangkat ini adalah pada 1 Januari lalu,” katanya lagi.

Pada majlis itu juga, Muhyiddin turut menyampaikan anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan kepada Datuk Omar Mohd Hashim.

Selain itu, Datuk Ahmad Azmey Abd Talib, Mary Yap Kain Ching, Mohd Azman Abd Rashid dan Lim Ai Lee masing-masing dinobatkan sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2012.

Manakala anugerah Tokoh Guru Sekolah Swasta Kebangsaan 2012 menjadi milik Datuk Hasan Harun.PERAK TODAY