Khamis, 28 November 2013

Kenaikan Gaji 373 Peratus, Hadiah Kerajaan PKR Selangor Buat Rakyat

 

Kepada para peminat tegar ceramah politik pembangkang khususnya Anwar Ibrahim pasti sudah menghafal kalimah-kalimah retorik seperti 'Pakatan Harapan Rakyat', 'Demi Kesejahteraan Rakyat', 'Kerajaan Rakyat' dan pelbagai lagi yang mempunyai perkataan rakyat.

 

Boleh dikatakan hampir semua slogan yang digunakan pasti perkataan rakyat akan ditonjolkan, kononnya untuk memberikan gambaran hanya makhluk bernama Anwar sahaja yang mampu membela dan menjaga rakyat. Sehingga ramai di kalangan mereka akhirnya tertipu dengan 'janji manis' dan 'sandiwara' mereka khususnya rakyat di Selangor.

 

Namun di sebalik perkataan rakyat itu, majoriti rakyat Selangor dikejutkan dengan kenaikan mendadak gaji dan elaun bulanan semua 56 Adun yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2013. Ia ekoran dari usul yang dibawa oleh kerajaan PKR Selangor ketika persidangan DUN petang semalam yang kemudiannya diluluskan.

 

Mengikut usul tersebut gaji Menteri Besar dinaikkan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250 (106 peratus); anggota Exco kerajaan negeri dari RM6,109.29 kepada RM20,250 (231 peratus); speaker Dun dari RM6,109.29 kepada RM22,500 (266 peratus); timbalan speaker dari RM3,327.50 kepada RM15,750 (373 peratus) dan Adun dari RM6,000 kepada RM11,250 (87 peratus).

 

Paling menarik, minggu lalu Khalid Ibrahim menegaskan peruntukan perbelanjaan mengurus pada Belanjawan 2014 meningkat, adalah disebabkan peningkatan bayaran gaji untuk kakitangan awam.


Sejumlah RM1.23 bilion atau 66.2 peratus daripada Belanjawan Negeri tahun depan yang berjumlah RM1.85 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus sementara RM624.9 juta atau 33.8 peratus adalah bagi perbelanjaan pembangunan. 

 

Pada mulanya ramai di kalangan kakitangan awam Selangor menjangkakan ia bermaksud kerajaan negeri berhasrat untuk memberikan kenaikan gaji dan elaun kepada mereka, namun rupa-rupanya ia adalah sebaliknya. Peningkatan jumlah belanjawan yang dimaksudkan oleh Khalid sebenarnya adalah untuk semua wakil-wakil rakyat di Selangor.

 

Namun untuk berlaku adil, Khalid tetap tidak mengecewakan rakyat Selangor, apabila mengumpan kakitangan awan di Selangor dengan memberikan 'gula-gula' berupa bonus setengah bulan gaji SAHAJA.

 

Menurut rakan-rakan di Selangor, kenaikan kadar gaji dan elaun ini ada kaitan dengan kenyataan Anwar Ibrahim sebelum ini, yang dilihat mengkritik pentadbiran Khalid secara terbuka sambil menyifatkannya GAGAL mengurus dengan baik sumber kewangan negeri.

 

Anwar sebelum ini dilaporkan telah membuat kritikan tersebut di hadapan orang ramai dalam forum Laporan Ketua Audit Negara di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Petaling Jaya, Selangor.

 

Anwar meminta Abdul Khalid agar tidak lagi berbangga dengan lebihan kewangan yang diperoleh tetapi gagal dalam membelanjakannya dengan baik.

 

"Saya puji Lim Guan Eng yang membawa Pulau Pinang pada tahap prestasi terbaik bagaimanapun tidak kepada Khalid kerana sudah masanya Selangor tidak lagi berbangga dengan lebihan yang diperoleh," katanya.

 

Malah ekoran kritikan itu juga, ramai merasakan ia adalah merupakan 'signal' agar Khalid segera meletakkan jawatan, sekaligus memberi laluan mudah kepada anak emasnya, Azmin Ali yang telah lama mengidamkan jawatan tersebut.

 

Umum mengetahui, bagaimana Azmin sebelum ini yang pernah 'merajuk' untuk keluar PKR bersama pengikutnya sekiranya Anwar MENGINGKARI janji berhubung jawatan Menteri Besar. Namun ia dibatalkan di saat akhir apabila 'pergelutan'tersebut berjaya diselesaikan secara 'kompromi'.

 

Sehinggakan ada bisik-bisik yang mengatakan Azmin kembali sejuk apabila dimaklumkan bahawa Khalid bersetuju untuk memegang jawatan tersebut untuk tempoh setahun sahaja.

 

Disebabkan tempoh itu dikatakan bakal berakhir tidak lama lagi, maka Khalid terpaksa mengunakan 'gear 3' dengan mengambil hati semua Adun pakatan dengan memberikan kenaikan gaji. Sekiranya umpan ini berjaya, Khalid boleh terselamat sekiranya ada usul tidak percaya untuk meminta dia melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar.

 

Apa pun ia hanyalah 'cakap-cakap' politik, sama ada benar atau tidak hanya Allah, Anwar, Azmin dan Khalid sahaja yang tahu.

 

Berbalik kepada isu asal, sekiranya kita membuat perbandingan secara rational, rizab kerajaan Selangor hanya berjumlah RM3bil berbanding rizab kerajaan persekutuan yang berjumlah RM400bil. Namun kerajaan persekutuan tidak pula mengambil pendekatan menaikkan gaji semua ahli-ahli parlimen.

 

Tambah menarik ialah gaji Perdana Menteri yang mengurus tadbir SELURUH NEGARA hanya berjumlah RM22,826,65 berbanding gaji baru Khalid yang berjumlah RM29,250.00 walaupun dia HANYA MENGURUSKAN SEBUAH NEGERI.

 

Seterusnya ialah gaji Timbalan Perdana Menteri hanya berjumlah RM18,168.00 berbanding Exco Kerajaan Negeri yang berjumlah RM20,250.00 sebulan.

 

Kesimpulannya, terserahlah kepada rakyat khususnya pengundi di Selangor bagi  menilai kewajaran kenaikan gaji yang mendadak ini. Apakah ia dilakukan untuk membantu jurang Ekonomi Rakyat seperti yang didakwa, atau semata-mata untuk memenuhi kerakusan kerajaan pakatan di Selangor?


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.