Rabu, 18 April 2012

Industri Lokomotif bakal jadi projek gergasi Perak DS Zambry

Perak bakal melaksanakan satu lagi projek gergasi dalam industri lokomotif atau pembuatan kepala dan gerabak keretapi melalui pelaburan dari syarikat CSR Corporation Limited yang merupakan syarikat pengeluar lokomotif elektrik terbesar di dunia dari negara China.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir selepas mendengar taklimat dari beberapa wakil syarikat berkenaan memberitahu pelaburan dari CSR Corp merupakan usaha penting antara kedua-dua pihak dimana ia bakal menawarkan perkhidmatan kepada syarikat-syarikat berkaitan di sekitar Asia serta Timur Tengah.

“Kita jangka dalam masa dua tahun, projek pembuatan dan penyelenggaraan koc keretapi ini akan siap dan ia bakal menjadi satu industri besar di negara atau di Perak khususnya memandangkan syarikat terbabit merupakan pembekal lokomotif kepada KTMB ketika ini.

“Setakat ini, perbincangan sudah berada di peringkat akhir dan kita telah mengenalpasti kawasan Batu Gajah seluas 50 ekar iaitu berhampiran dengan Akademi KTMB akan dijadikan sebagai lokasi pembinaan kilang berkenaan,” katanya.

Jelas Zambry lagi, bagi fasa awal projek terbabit ia bakal melibatkan kos mencecah RM 500 juta dan jumlah itu akan meningkat sehingga RM 1 billion untuk fasa-fasa seterusnya.

Katanya lagi, dengan kewujudan kilang itu nanti, kerajaan negeri menjangkakan jumlah pelaburan boleh menjangkau RM 400 juta dan jika dihitung dalam aspek kapasiti dalam tempoh 5 tahun ia mampu meningkat sehingga RM 25 billion dalam nilai pasaran.

“Ia adalah satu projek besar dan sebab itu kita anggap dengan adanya kilang itu nanti, ia akan memberi impak besar kepada projek strategik dan juga membuka lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Turut hadir dalam sesi taklimat berkenaan adalah barisan Exco kerajaan negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Puhat Nayan.http://peraktoday.com/wp/?p=57578

Tiada ulasan:

Catat Ulasan