Rabu, 16 Oktober 2013

Calon perlu bijak mengurus kekalahan ( Utusan)

FIKIRKAN senario ini - wakil kepada seorang calon Naib Ketua Pemuda UMNO membuat sidang akhbar mendakwa calon mereka memenangi jawatan itu.

Mereka menolak, keputusan Jawatankuasa Pemilihan UMNO bahawa dua calon yang bertanding terikat kerana menurut laporan war room mereka, calon pilihan mereka menang.

Dalam satu lagi senario - seorang pemimpin Wanita UMNO 'mengamuk' melalui WhatsApp kepada rakan-rakan mempertikaikan kekalahannya dalam perebutan jawatan Exco Wanita.

Dan seorang lagi pemimpin Wanita UMNO turut 'menyerbu' satu sidang akhbar untuk menyatakan bantahannya kerana tewas dalam perebutan di peringkat bahagian.

Mungkin kesemua mereka ini mempunyai alasan tersendiri kenapa bertindak demikian tetapi apa yang pasti mereka seolah-olah begitu takut untuk menerima kekalahan.

Sepatutnya, jika ada perkara berbangkit ia diketengahkan melalui saluran yang betul dan bukannya melakukan tindakan yang boleh menyebabkan imej UMNO terjejas.

Kenapa perlu membuat pelbagai andaian termasuklah merasakan maklumat war room mereka lebih tepat daripada keputusan yang diperolehi oleh UMNO Pusat?

Bukankah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, banyak war room memberikan maklumat tidak tepat sehingga UMNO ketika itu seolah-olah berada dalam situasi 'syok sendiri'?

Kenapa pula ada calon sanggup menuduh 'ada mainan' di sebalik kekalahannya? Apakah dia tidak percaya kepada kebijaksanaan perwakilan membuat keputusan sama ada di peringkat Pusat mahupun bahagian?

Oleh itu, tidak payahlah mana-mana juga pemimpin atau calon yang kalah, hampir kalah atau mungkin akan kalah melakukan tindakan yang dilihat mampu merosakkan imej parti.

Ini pemilihan dalam keluarga dan ia sepatutnya dilaksanakan secara berhemah. Tidak salah untuk melakukan bantahan, tidak salah untuk menyatakan perasaan tidak puas hati dan tidak salah untuk membangkitkan kemusykilan.

Tetapi biarlah ia dilakukan melalui saluran yang betul dengan matlamat untuk memastikan imej UMNO tidak tercemar.

Mereka yang masih lagi tidak faham untuk belajar menerima kekalahan dalam pemilihan UMNO kali ini, perlu memahami bahawa 'musuh-musuh politik' parti itu sedang menanti. Tersilap langkah, apa yang berlaku dalam UMNO akan dijadikan modal untuk pilihan raya.

Justeru adalah lebih baik belajarlah menguruskan kekalahan dan bukannya hanya bijak mencari kesalahan!

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.