Penganjur himpunan Janji Demokrasi hari ini berkata pihaknya tidak tahu menahu mengenai perbuatan seorang lelaki menunjukkan punggungnya pada gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

NONEAhli jawatankuasa kerja Gabungan Janji, Maria Chin Abdullah berkata insiden itu nampaknya berlaku di seberang tempat di mana pihak penganjur berada di Dataran Merdeka malam tadi.
Ketika dihubungi, Maria berkata pihaknya tidak sama sekali menyokong perbuatan seumpama itu. Malah, kata Maria, pihaknya telah meminta orang ramai jangan membawa sebarang sepanduk.

Dalam gambar insiden tersebut yang kini beredar di Internet, seorang lelaki dalam lingkungan usia 20-an, kelihatan melondehkan seluarnya dan menunjukkan punggungnya pada gambar Najib, Rosmah serta Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof.

Gambar mereka dibariskan di atas tanah, berhampiran daisies kuning dan bandana dengan perkataan 'Janji Bersih'.

Manakala dalam video yang dimuat naik ke YouTube oleh blogger pro-BN Yuseri Yusoff,  orang ramai memijak gambar Najib dan Rosmah yang telah koyak, yang dikatakan selepas insiden tersebut.

Ramai yang berbuat demikian memakai baju kuning manakala ada yang dilihat sengaja menghentak kaki pada gambar dalam video itu, yang nampaknya seperti dirakam di penjuru Jalan Raja dan Jalan Tun Perak.

Satu lagi blog pro-BN, Gossip Rakyat (GR), mendakwa pemuda yang menunjukkan punggungnya itu telah dikenal pasti.