Khamis, 16 Februari 2012

Lawatan PM, TPM ke Perak sebahagian siri jelajah ke seluruh negara: DS Z...




Uploaded by ThePerakToday on Feb 15, 2012

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyangkal dakwaan lawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang kerap ke Perak sejak kebelakangan ini disebabkan negeri itu berada diambang kritikal.

Sebaliknya, beliau memberitahu bukan sahaja ke Perak, malah kedua-dua pemimpin utama negara itu juga mengadakan beberapa lawatan kerja ke Johor dan Sabah dalam bulan ini sempena siri jelajah ke seluruh negara.

"Ada pihak menggunakan laman sosial Twitter dengan mempersoalkan kunjungan kerap Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ke Perak seolah-olah negeri ini berada diambang kritikal.

"Bukan setakat Perak, kedua-dua pemimpin utama negara itu juga melawat beberapa kali ke negeri lain dalam bulan ini...tiada yang istimewa dalam hal ini kerana ia merupakan siri lawatan dan jelajah mereka berdua ke seluruh negara," katanya kepada pemberita di Tanjung Malim hari ini.

Pada 18 Februari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijadual merasmikan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Gopeng manakala Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan merasmikan Konvensyen UMNO Perak di Kuala Kangsar pada keesokan harinya.

Dalam perkembangan lain, BN Perak katanya, menyerahkan kepada Presiden MIC, Datuk G Palanivel dan pucuk pimpinan tertinggi parti untuk menentukan calon yang bakal bertanding di kerusi Sungai Siput .

"Tiada salah jika Palanivel bertanding di Sungai Siput kerana selama ini secara tradisinya Presiden MIC bertanding di kerusi berkenaan," katanya lagi.

Mengulas isu rasuah membabitkan sukan bola sepak negara, Zambry berkata, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam isu rasuah.

"Ia penyakit yang serius dan saya ingin mengingatkan kepada Persatuan Bola Sepak (Pafa) dan semua pemain supaya tidak terbabit dengan amalan rasuah," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan