Jumaat, 30 November 2012

92-110 ucapan Najib

92. Kita tidak rela untuk memecah belahkan perpaduan umat Islam. UMNO tidak sekali-kali akan mencaci atau menista saudara seagama seperti yang dilakukan parti lawan. Kita tetap tegas untuk mempertahan kesucian dan kemurniaan akidah.

93. Di atas pentas perhimpunan ini juga, kita mahu menyatakan tanpa berbasa-basi lagi bahawa, kita menentang... menentang sekeras-kerasnya mereka yang mendokong fahaman pluralisma mahupun liberalisma.

Saudara dan saudari,

94. Komitmen UMNO ini, selaras dengan peruntukan Perkara 11 Fasal 1 dan Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara. Perkara 11 Fasal 1, menjamin kebebasan beragama di negara ini sekalipun di bawah Perkara 3 Fasal 1, Islam ialah agama bagi Persekutuan.

95. Perkara 11 fasal 1 menyatakan bahawa tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, namun tertakluk kepada Fasal 4 yang berbunyi "Undang-Undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam".

96. Jadinya, kita ingin berpesan, cukup-cukuplah cuba memperdaya rakyat. Suatu ketika dahulu UMNO dituduh kafir melalui amanat Tuan Guru, yang tidak perlulah saya sebut namanya kerana seluruh Malaysia pasti kenal siapa dia. UMNO dicap kafir kerana bekerjasama dengan rakyat Malaysia yang tidak beragama Islam, kononnya tidak menyokong penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hudud.

97. Kesan amanat pada tahun 1981 itu bukan sahaja telah memecahkan perpaduan, tetapi juga telah menanamkan benih-benih kebencian di kalangan sesama Islam. Natijahnya, muncullah tragedi Memali, peristiwa Lubok Merbau, kejadian sembahyang dua Imam, perceraian suami isteri, perseteruan keluarga serta wujudnya fahaman haram memakan sembelihan oleh orang-orang UMNO.

98. Soalnya, adakah layak pemimpin seperti ini, yang hendak diangkat oleh rakyat untuk membela untung nasib mereka? Waima, dulu pun, selepas saja satu penggal menjadi Menteri Besar, orang Terengganu terus menolak kepimpinan beliau.

99. Tambahan lagi, kita dapati, hari ini, pemimpin yang sama dan parti yang sama mengecam UMNO itu, sudah tidak lagi memperjuangkan negara Islam, sebaliknya pula mahu menubuhkan Negara Berkebajikan. Mereka juga hari ini bekerjasama dengan sebuah parti yang menentang penubuhan negara Islam malah mahukan Malaysia dijadikan sebuah negara sekular.

100. Kenapa matlamat perjuangan mereka semalam berbeza dengan matlamat perjuangan mereka hari ini? Sedang ia melibatkan perkara asas. Terbukti, pelaksanaan negara Islam ala PAS di antara parti itu dan DAP masih belum diselesaikan malah cuba untuk disembunyikan. Kalau isu pokok yang paling besar membezakan mereka masih belum diputuskan bagaimana halnya hendak membentuk kerajaan campuran.

101. Adakah nafsu untuk berkuasa mengatasi prinsip perjuangan? Adakah matlamat telah menghalalkan cara? Tidak mengapalah kalau tidak melibatkan orang lain, tetapi apa yang tragisnya, ia telah menjadi pesta fitnah, propaganda jahat dan pendustaan yang ditujukan kepada UMNO serta seluruh rakyat Malaysia.

102. Berbicara tentang negara Islam, walau apa pun tohmahan yang diasak kepada UMNO, hasil perjuangan kita dalam memartabatkan Islam di bumi Malaysia ini dan seantero dunia, tetap menyinar, tetap murni dan akan tetap dipersadakan.

103. Terbaru, sekumpulan ulama antarabangsa telah memulakan usaha bebas untuk merangka dan mengukur negara-negara berdasarkan Indeks Syariah. Kita bersyukur kerana, kajian mereka di peringkat global mendapati Malaysia menduduki kedudukan lima teratas dalam pematuhan indeks berkenaan.

KITA ATAU MEREKA

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

104. Pilihan kepada kita semua kini, antara Barisan Nasional sebagai sebuah parti dengan rancangan holistik tentang halatuju masa depan negara atau parti pembangkang yang kelam kelibut serta bercelaru dibelenggu matlamat pakatan mereka, sama ada mahu menjadikan Malaysia sebuah negara sekular, sebuah negara teokratik atau sebuah negara berkebajikan.

105. Suka tidak suka, persoalan ini sangat asasi. Sesungguhnya, rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui secara nyata sebelum membuat keputusan paling penting bersabit masa depan mereka. Pilihanraya bukan satu uji kaji.

106. Lima tahun ialah jangkamasa yang lama dalam pentadbiran sesebuah Kerajaan. Pelbagai bentuk kerosakan boleh berlaku hatta sebuah negara yang berjaya pun akan gagal dan tersungkur.

107. Kerana itu, menyisir waktu, UMNO bukanlah parti yang mengamalkan taqiyah atau tipu muslihat dalam kerjasamanya dengan parti-parti komponen Barisan Nasional. Tidak seperti gabungan DAP, PKR dan PAS, yang tiada bertunjangkan ketulusan.

108. Contohnya, di Pulau Pinang yang diterajui DAP, parti PAS tidak menyertai kerajaan, di Kedah yang diterajui PAS, parti DAP tidak menyertai pentadbiran. Kita maklum, puncanya, kerana mereka saling tidak mempercayai antara satu sama lain.

109. Selanjutnya marilah kita menyingkap tabir di sebalik dakwaan parti DAP, yang mendabik dada bahawa merekalah yang paling demokratik di negara ini. Namun begitu, sungguhkah bagai dicanang? Apakah cerita sebenar dalam DAP?

110. Semua orang mengetahui DAP ialah parti anak, bapa dan menantu. Walaupun hanya memegang jawatan pemimpin Parlimen DAP yang tidak dipilih oleh ahli parti, ternyata Lim Kit Siang ialah individu yang begitu berkuasa dalam DAP.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan