Khamis, 2 Ogos 2012

SRIA Bantu Rakyat Perak Miliki Rumah Impian

Dengan bayaran balik serendah RM218 sebulan dan tanpa sebarang faedah, rakyat Perak yang berpendapatan isi rumah kurang RM3,000 sebulan kini berpeluang memiliki rumah sendiri di bawah Skim Rumah Insan Amanjaya (SRIA) yang dilancarkan oleh kerajaan negeri, hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran SRIA, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata skim baru yang diperkenalkan kerajaan negeri di bawah agensi Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) itu bertujuan membantu golongan yang berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

“Rakyat yang berpendapatan bawah RM3,000 layak mengemukakan permohonan kepada YBUDR yang mana skim ini menawarkan harga paling murah tanpa dikenakan sebarang kadar faedah.

“Bagi pemohon yang berjaya, mereka hanya perlu melunaskan yuran pendaftaran sebanyak RM200, kos perundangan/insurans berjumlah RM1,000 dan bayaran bulanan berjumlah RM218 bagi tempoh 20 tahun bagi melangsaikan pinjaman bernilai RM50,000 untuk membiayai kos pembinaan,” katanya.

Sementara itu, Zambry yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YBUDR, berkata sebagai permulaan, 180 buah rumah akan dibina di bawah skim berkenaan dengan dana suntikan awal berjumlah RM10 juta.

Walaupun terhad, kerajaan negeri katanya, mahu ia menjadi titik permulaan kepada usaha membantu rakyat Perak khususnya yang berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

“SRIA merupakan cadangan kreatif yang diperkenalkan kerajaan negeri bagi memanfaatkan dana RM10 juta yang diluluskan bawah Bajet 2012 yang khusus untuk membina rumah kediaman bagi rakyat yang berpendapatan rendah,” katanya lagi.

Sehubungan itu, kerajaan negeri katanya, berharap supaya peserta skim dapat melangsaikan pembayaran hutang mengikut jadual dan tempoh yang ditetapkan.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Zambry berkata, kerajaan negeri mahu menyediakan kemudahan perumahan yang selesa kepada rakyat kerana ia merupakan keperluan asas dalam kehidupan.

“Skim ini diperkenalkan untuk memenuhi keperluan rakyat yang berpendapatan rendah untuk memiliki rumah sendiri dan bukannya projek kroni Menteri Besar,” katanya.

Tambahnya, rakyat yang berjaya menyertai skim itu juga dapat menjimatkan wang mereka sebanyak RM1,600 setahun atau RM133 sebulan dalam tempoh 20 tahun kerana tidak perlu membayar faedah bagi mendapatkan pinjaman berjumlah RM50,000.

Di bawah SRIA, rakyat yang menikmati skim perumahan ini tidak perlu membayar kadar faedah pinjaman sepanjang tempoh pembayaran. Ini merupakan komitmen kerajaan negeri Perak dalam usaha membina upaya kehidupan rakyat.

Segala urusan yang berkaitan dengan perundangan dan pemantauan pembayaran adalah melalui pihak YBUDR sendiri

Skim ini merupakan program bantuan perumahan yang diberi kepada kumpulan keterbawahan yang memenuhi syarat yang ditetapkan dengan pembinaan sebuah rumah tiga bilik berkeluasan 800 kaki persegi.

Kelayakan pemohon mestilah rakyat berumur 18 hingga 50 tahun tidak mempunyai rumah sendiri atau rumah yang usang dengan tempoh bayar balik dari 10 tahun hingga 20 tahun dengan syarat peminjam tidak melebihi umur 60 tahun di akhir tempoh pinjaman. PERAK TODAY

1 ulasan:

  1. Adakah dgn terlancarnya skim ini, dptkah mencapai dan membantu golongan sasar? orang miskin atau berpendapatan rendah?

    Definasi golongan miskin ( tanpa memiliki tanah utk dibina rumah ) adakah golongan ini juga dpt merasakan dan menikmati faedah dari skim ini??????

    BalasPadam