Jumaat, 20 Januari 2012

Pemandu teksi antara tulang belakang kejayaan TMP 2012-Hamidah



Golongan pemandu teksi memainkan peranan penting dalam usaha membantu kerajaan negeri mempromosikan destinasi pelancongan sempena Tahun Melawat Perak 2012.

Malah, kumpulan pemandu teksi di Perak diharap dapat menjadi duta kecil dengan mengwar-warkan tempat-tempat istimewa dan unik yang wajib dilawati pelancong sama ada di kalangan rakyat tempatan mahupun antarabangsa.

Rata-rata pemandu teksi pula merasakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan itu sebagai salah satu sumbangan mereka kepada kerajaan Perak, sekaligus dapat meningkatkan pendapatan seharian masing-masing.

Malah, salah seorang pemandu teksi yang ditemui turut menyuarakan rasa bangga kerana dengan tanggungjawab baru yang harus dipikulnya.

Ia katanya, jelas menunjukkan kerajaan negeri tidak pernah memandang rendah terhadap golongan pemandu teksi yang turut sama membantu melonjakkan ekonomi negeri melalui pembangunan industri pelancongan.

Sudah jelas di sini, kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengambil kira peranan setiap golongan masyarakat kerana ia merupakan wadah kepada kemajuan dan pembangunan negeri yang menentukan jatuh bangun pentadbiran Perak di masa depan.

Justeru, sempena Tahun Melawat Perak 2012, kerajaan negeri bukan sahaja mengharapkan kerjasama di kalangan industri korporat atau pihak swasta malah kerjasama daripada rakyat pelbagai peringkat.

Majlis perjumpaan antara Exco Pelancongan, Datuk Hamidah Osman dengan pemandu teksi yang berlangsung di MH Hotel hari ini dilihat mampu memberi satu impak positif dalam pembangunan industri pelancongan di Perak.

Hamidah memberitahu, satu kursus ringkas akan diberikan kepada pemandu teksi dalam usaha untuk membantu golongan terbabit memberi penerangan berkaitan destinasi pelancongan di Perak.

"Ia sebahagian usaha kita melatih pemandu teksi untuk mempromosikan destinasi menarik di negeri Perak.

"Kita lihat promosi yang paling efektif adalah "mouth to mouth promotion" atau promosi mulut ke mulut... jadi pemandu teksi adalah antara golongan yang paling dekat atau kerap bertemu dengan pelancong.

"Mungkin juga kita boleh menambah lagi maklumat-maklumat mengenai sesetengah destinasi pelancongan yang tidak diketahui oleh pemandu teksi sebelum ini.... jadi kita akan pastikan pemandu teksi menjadi antara kumpulan pakar mengenai tempat-tempat tumpuan pelancong," katanya.

Tambah Hamidah lagi, pihaknya menerima respon positif daripada pemandu teksi yang nampaknya begitu bersemangat membantu kerajaan negeri menjayakan Tahun Melawat Perak 2012.

"Dengan ilmu yang akan dibekalkan nanti, kita harap pemandu teksi dapat membantu merancakkan lagi suasana Tahun Melawat Perak," katanya pada sidang media di Ipoh, hari ini.

Dalam program itu, lebih 20 pemandu teksi yang mewakili beberapa syarikat atau kumpulan di sekitar Perak tampil untuk menujukkan sokongan dan kerjasama dalam menjayakan Tahun Melawat Perak 2012.

Turut hadir ke majlis berkenaan adalah Pengarah Tourism Perak, Ahmad Fathil Abdul Ghani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan