SERUAN 1
Tiada seorang pun di kalangan kita yang sempurna seratus peratus.
Setiap seorang ada kelebihan dan ada kekurangan. Bina sifat rendah diri, menghormati dan menghargai rakan. Jangan sombong dan takbur. Jangan memandang rendah sumbangan dan usaha orang lain. Jangan menghina. Jangan putus asa. Jangan merajuk.
SERUAN 2
Perbezaan adalah fitrah.
Nabi Muhamad bersabda (mafhumnya) "perbezaan pendapat di kalangan umatku adalah satu rahmat" dengan maksud ia memangkin perbincangan yang membantu penghasilan keputusan terbaik. Musyawarah (mesyuarat) adalah 'syura' yang disyari'atkan oleh Allah SWT untuk mengurus perbezaan pendapat.
Insafi adab syura dan adab berbeza pendapat. Insafi betapa lebih baik kalau pendapat kita ditolak oleh syura kerana ia menyelamat kan kita daripada risiko kemudian hari. Insafi betapa bahayanya kalau pendapat kita diterima oleh syura kerana ia mengundang risiko jika pelaksanaannya tidak membuahkan hasil.
Orang besar dan orang kecil hanya soal perbezaan tanggung jawab. Orang besar tidak semestinya betul dalam semua perkara. Orang kecil pun begitu juga. Orang kecil wajib hormat orang besar. Orang besar juga lebih wajib hormat orang kecil. Hubungan kita adalah hubungan kasih sayang, ukhuwwah dan mahabbah.
SERUAN 3
Keterbukaan adalah sunnah yang wajib jadi budaya pengurusan kita.
Nabi Muhamad adalah pengurus terbaik kerana keterbukaannya adalah yang terbaik. Pengurus yang pintar tetapi tidak terbuka pasti gagal. Pengurus yang bijak tetapi tidak terbuka adalah diktator. Pengurus yang rajin tetapi tidak terbuka adalah gila. Itu semua hanya sesuai pada PAS.
Sunnah pengurusan ada dalam kisah Nabi menggali parit bersama tentera berpangkat paling rendah. Sunnah pengurusan ada dalam kisah Nabi menerima-pakai pendapat tentera pangkat rendah yang menyanggah pendapat baginda tentang lokasi perkhemahan. Sunnah pengurusan ada dalam kisah Nabi akur kepada tuntutan tentera yang menuntut balas tujahan Nabi ke dadanya. Sunnah pengurusan ada dalam kisah mesyuarat kabinet Nabi bersama sahabat-sahabat ahlul hilli wal 'aqdi.
Yang tidak terbuka ialah Namrud, Fir'aun, Abu Jahal dan PAS
SERUAN 4
Misi kita ialah memenangkan Pakatan Rakyat.
Oleh itu gerak kerja kita mestilah ada nilai 'penyebab' kemenangan. 'Penyebab' paling besar dijadikan gerak kerja paling utama. Semua gerak kerja berikutnya diutamakan mengikut saiz nilai penyebab kemenangan itu. Yang lebih utama, diutamakan.
Jangan syok sendiri. Tempoh berkempen yang singkat bukan medan untuk glamor atau medan memperagakan skil. Kita sedang berkempen, bukan berpesta. Kesibukan kita biarlah berbaloi. Jangan hanya sibuk tetapi urusan kita berkisar hanya sesama sendiri.
SERUAN 5
Pelanggan utama kita ialah pengundi atas pagar.
Selepas itu, pengundi kelompok kedua dalam susunan keutamaan kita ialah penyokong setia yang sah dan dikenali (Melayu, Cina dan India). Kelompok ketiga ialah sebahagian orang PAS yang jinak-jinak merpati. Sukar ditangkap namun kalau betul caranya, mereka akan berbakti di bilik mengundi.
Tolong percaya kepada fakta bahawa ceramah perdana dan semi-perdana hanya dihadiri oleh 95 peratus penyokong setia. Pengundi atas pagar tak datang dengar ceramah itu. Mereka perlu didatangi di rumah atau ditempat kerja atau di mana-mana tempat lepak kebiasaan mereka.
SERUAN 6
Strategi PAS ialah memfitnah, merasuah, memaki hamun pemimpin dan merangsang emosi orang Melayu dengan putar belit yang terancang rapi. Jangan perkecilkan keupayaan mereka. Jangan terpedaya dengan provokasi mereka.
Kita mesti pantas dalam berhati-hati. Jangan leka dan jangan pandang sebelah mata pada setiap yang berlaku dan mungkin berlaku. Kita mesti curiga (bertempat). Kita mesti bersiap-siaga sepanjang masa.
SERUAN 7
Strategi kita ialah mendampingi, menawan hati dan menerang. Jangan menyimpang dari pendekatan ini.
Fahami dan laksanakan prinsip-prinsip menawan hati. Dekati lah pengundi dengan penampilan yang menyenangkan, bahasa yang mudah tetapi indah, berbual bukan berceramah, menerang bukan berdebat, memahamkan bukan memaksa, memujuk bukan mendesak.
Bahasa badan lebih fasih daripada bahasa lidah. Oleh itu awasi tingkah laku ketika menziarahi pengundi. Kemesraan lebih berkesan daripada hujah. Kontek mata dan seni berjabat tangan mesti difahami dan diamalkan. Jangan lupa buah tangan untuk anak kecil seperti gula-gula atau belon (bukan untuk orang dewasa).
Ziarah sulit lebih berkesan daripada ziarah terang-terangan. Ramai pengundi yang tidak selesa jika dikunjungi oleh kumpulan ramai yang mengusung bendera dan segala macam lambang. Hormati hak itu.