Isnin, 22 Julai 2013

Untungkah BN dengan gabungan MCA-Gerakan-SUPP? (Utusan)

SATU sahaja persamaan antara tiga parti Cina yang bakal bergabung ini - semuanya kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu.

MCA kalah 30 daripada 37 kerusi Parlimen yang ditandinginya. Dan hanya menang 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 90 kerusi DUN yang dipertaruhkan. Gerakan pula hanya menang satu kerusi Parlimen, Simpang Renggam, daripada 11 kerusi diperuntukkan dan tiga kerusi DUN daripada 31 kerusi ditandingi. Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pula tewas di enam daripada tujuh kerusi Parlimen.

Inilah yang menyebabkan isu penggabungan timbul semula sejak hangat diperkatakan pada 2008 lagi. Ketiga-tiga parti terutama MCA dan Gerakan sememangnya sejak lima tahun lagi telah meneroka semua kemungkinan untuk perlu mencari jalan yang membolehkan terus bernafas pada pilihan raya umum akan datang.

Penggabungan - adalah satu-satunya langkah yang boleh memastikan kelangsungan hidup ketiga-tiga parti ini.

Bagi Gerakan, parti itu hakikatnya sudah tidak boleh hidup lagi kerana telah dua kali kalah teruk dalam pilihan raya umum, selain tidak mempunyai hala tuju dan kepemimpinan yang agresif.

Difahamkan, MCA yang diketuai Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek akan menjadi parti dominan dalam gabungan. Presiden Gerakan akan diberikan jawatan Naib Presiden. Dikhabarkan, Gerakan bersetuju untuk menggabungkan partinya dengan kedua-dua parti Cina itu dengan hanya meminta satu syarat - MCA perlu menjadikan parti itu sebagai parti multiracial seperti Gerakan dan SUPP yang diterajui Tan Sri Peter Chin Fah Kui.

Pemangku Presiden Gerakan, Chang Ko Youn dikatakan meminta MCA supaya menjadikan parti itu sebagai sebuah parti multiracial kerana parti yang berdasarkan kepada bangsa, dikatakan sudah tidak relevan lagi.

Barangkali PRU-13 banyak 'mengajar' ketiga-tiga parti terutama cara DAP bangkit mencanak meskipun parti yang didominasi 'Dinasti Lim' itu pernah kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum 1995.

Cuma, kejayaan DAP yang didakwa sesetengah pihak bergantung kepada elemen 'rasis', banyak yang dicapai menerusi formula 'penggabungan strategik' parti itu dengan Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Dan dalam konteks ini, ia lebih menguntungkan DAP sehingga akhirnya mendominasi jumlah kerusi dalam kalangan parti pembangkang.

Formula 'penggabungan DAP-PKR-Pas' ini bagaimanapun kurang disenangi oleh sebilangan ahli Pas, ekoran DAP dalam usaha mendapatkan sokongan padu kaum bukan Melayu secara total, DAP juga melakukan kesilapan dengan menawar isu 'kalimah Allah'. Ini sekali gus mengakibatkan Pas terpinga-pinga untuk membuat pendirian, sehingga sukar mendapat sokongan Melayu di luar bandar dan Felda.

Cuma, persoalan yang juga ditimbulkan oleh segelintir pihak, adakah penggabungan MCA-Gerakan-SUPP ini akan memberi tekanan kepada UMNO atau menjadikan BN lebih hebat?

'Mereka' ini membangkitkan, antaranya 'kalau sebelum ini UMNO boleh tawar menawar di antara MCA dan Gerakan, tetapi apabila mereka bersatu, mungkin sebagai 'badan pendesak', apakah impak seterusnya kepada UMNO?'

Apa pun, diharapkan penggabungan MCA-Gerakan-SUPP akan menjadi satu-satunya jalan untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada kepada parti yang didominasi kaum Cina dalam BN.

Dan jika usaha menggabungkan parti-parti Cina ini berjaya, maka jumlah keahlian parti-parti dalam BN akan berkurangan menjadi 12.

Persoalan-persoalan akibat penggabungan ini juga perlu diselesaikan sebaik mungkin.

Bagaimana dengan kedudukan ahli Gerakan dari kaum India? Adakah mereka akan menyertai MIC atau PPP jika masih mahu bersama dengan BN? Dan adakah ahli Gerakan yang mungkin 'tidak berpuas hati' akan menyertai DAP?


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Syurga dan neraka milik Pas? (Utusan)

SETELAH bersara lebih dua bulan lepas dari jawatan Menteri Besarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat muncul kembali di Kuala Besut baru-baru ini dengan isu lamanya.

Dalam ceramah di Kampung Beris Pak Abu, Besut, Terengganu itu, Mursyidul Am Pas itu kembali memainkan isu kafir mengkafir dan syurga neraka. Ini dalam usaha partinya menarik sokongan pengundi pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut Rabu ini.

Seperti biasa beliau mengulangi kenyataannya bahawa UMNO menolak Islam dan mengambil perjuangan yang dibawa oleh Inggeris.

"UMNO tolak Islam ambil 'kebangsaan'. Parti mereka pun guna bahasa Inggeris sampai susah hendak sebut tetapi nak bela orang Melayu," katanya.

Apa yang disebut-sebut oleh Nik Abdul Aziz bukan benda baharu. Acap kali itulah yang diuar-uarkannya. Ketika suasana pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dan Merlimau sebelum ini pun, bukan sahaja Nik Abdul Aziz malahan pemimpin parti itu yang lainnya begitu juga nadanya.

Mereka mengatakan sokongan kepada Pas akan dijanjikan syurga, sebaliknya jika menyokong BN, pengundi akan berhadapan balasan perlu dihentikan.

Kita umat Melayu cukup sedih apabila malam tadi Nik Abdul Aziz mengungkapkan kenyataan yang seolah-olah ada yang tidak kena dengan orang Melayu. Apa salahnya untuk UMNO membela orang Melayu. Apa salahnya untuk UMNO yang membawa panji Barisan Nasional di Kuala Besut membela hampir 97 peratus pengundi Melayu dalam pilihan raya kecil di situ.

Kita tertanya-tanya apa motif beliau apabila mengungkapkan: "Bela bangsa Melayu boleh bawa bekal ke akhirat? Adakah di akhirat akan ditanya kamu bangsa apa? Melayu, terus boleh masuk syurga, senanglah kalau macam tu. Bangsa tidak boleh buat apa-apa di akhirat."

Mana mungkin pilihan raya politik disamakan dengan konsep syurga dan neraka yang sama sekali berbeza dengan politik dan perbuatan ini boleh mengelirukan rakyat.

Kita umat Melayu juga cukup sedih apabila pemimpin Pas ini turut mendakwa UMNO telah merosakkan pemikiran umat Islam di negara ini kerana membina terlalu banyak masjid.

"UMNO suruh buat masjid tetapi mereka sendiri tidak sembahyang. Mereka hanya nak dapatkan kontrak buat masjid sahaja," katanya.

Benarkah begitu? Begitu dahsyat tuduhan itu sedangkan Pas tidak begitu komited ambil usaha untuk dirikan masjid. Ketika semua masjid yang ada di Kelantan dibina oleh Kerajaan Persekutuan atau peninggalan pembangunan yang dibawa oleh BN ketika mentadbir negeri itu pada 1978-1990, Pas tampil tanpa rasa malu mengakui hanya membina sebuah masjid, iaitu Masjid Jubli Emas Sultan Ismail Petra, di Rantau Panjang. Itu, dengan nada tinggi pula, mendakwa ia daripada wang sendiri tanpa bantuan Kerajaan Pusat sejak mentadbir negeri itu lebih 20 tahun lepas.

Tidak berapa lama dulu Nik Abdul Aziz pernah sibuk menjaja isu syurga dan neraka, seolah-olah dirinya 'penjaga kunci' yang akan menentukan orang yang sokong Pas masuk syurga dan orang UMNO masuk neraka.

Sebelumnya, beliau dengan selamba menyatakan kesediaan 'bersahabat dengan syaitan' semata-mata untuk menjustifikasikan perlunya hubungan kerjasama Pas dengan DAP. Kita tidak tahu sama ada itu berupa 'analogi' atau tidak, tetapi sepatutnya tidak keluar daripada mulut seorang pemimpin Islam.

Banyak kenyataan mencurigakan keluar dari mulut Nik Abdul Aziz. Antaranya, mendakwa orang Islam yang menyokong UMNO tidak akan mendapat pahala meskipun menunaikan sembahyang sebagaimana difardukan dalam Islam.

Alasannya konon kerana UMNO menerima dasar kebangsaan yang ditakrifnya sebagai menolak Islam yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Malahan beliau sanggup pula mengeluarkan kenyataan sebegini rupa sekitar Januari lalu:

"Menteri itu akan masuk neraka, tidak ada kuasa yang boleh menyekat dia masuk neraka kecuali syafaat Nabi Muhammad SAW."

Seolah-olah mempunyai kuasa menentukan balasan seseorang, Nik Abdul Aziz 'memutuskan' bahawa menteri yang bertanggungjawab dalam agihan royalti minyak kepada negeri akan masuk neraka kerana dakwanya telah menafikan hak kerajaan Pas Kelantan.

Pas lebih cenderung menyalahkan dan mencari keburukan dan kesalahan orang lain dan sebaliknya.

Diharap, peringatan Allah di bawah boleh menjadi pedoman kepada sesiapa sahaja termasuk pengikut dan penyokong mana-mana parti politik supaya tidak taksub kepada kepimpinannya.

PERINGATAN ALLAH

l Pengikut Nabi Nuh AS: "Maka mereka mendustakan Nuh, kemudian Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (mata hatinya). (7:54)

l Pengikut Nabi Hud AS: "Maka Kami selamatkan Hud beserta orang-orang yang bersamanya dengan rahmat yang besar dari Kami, dan kami tumpaskan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan tiadalah mereka orang-orang yang beriman." (7:72)

"Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): "Bukankah Aku ini Tuhanmu?" Mereka menjawab: "Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi". (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: "Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)" [7: 172]

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai". [7:179]

Kita sentiasa berdoa dan berharap mereka sebilangan pemimpin dan penyokong tegar Pas akan insaf dan kembali semula ke pangkal jalan dalam memperjuangkan Islam yang sebenar. Dan bukannya dengan cara begini mengkafirkan sesama Islam.

Mana mungkin pilihan raya politik disamakan dengan konsep syurga dan neraka - yang sama sekali berbeza dengan politik. Perbuatan ini boleh mengelirukan rakyat.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia perlu diteliti semula

Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia perlu diteliti semula bagi menambah baik beberapa kelemahan yang ada, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Katanya ini kerana akta itu tetap berkuat kuasa sekalipun kerajaan bakal memperkenalkan Akta Keharmonian Nasional.

"Kita akan tengok dan perkemaskan kelemahan yang ada pada beberapa peruntukan di bawah akta itu," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa di sini semalam.

Mengulas kes pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee yang kini berhadapan tindakan undang-undang kerana mempersenda Ramadan, beliau berkata masyarakat harus mengambil iktibar daripada isu itu.

"Sebenarnya kes menghina agama bukan kes baharu kerana pernah berlaku sebelum ini, sehubungan itu saya mengalu-alukan tindakan yang diambil pihak Peguam Negara," katanya.

Beliau berkata perkara seperti itu perlu dikekang agar orang ramai tidak terus menyalahguna Internet untuk menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

PAS SEMAKIN JADI PARTI IDEOLOGI KHAWARIJ

Tindak tanduk pas yang kononnya memperjuangkan Islam semakin memualkan setelah bersekongkol dengan parti rasis Cina, Dap.

Bukan sahaja tindakan Pas semakin menyimpang daripada landasan Islam malah daripada kenyataan serta perlakuan pemimpin-pemimpin mereka bertentangan dengan ajaran suci agama.

Demi meraih undi dan kelangsungan populariti sebagai sebuah parti politik, Pas akan sanggup melakukan apa sahaja termasuk 'berzina' dengan Dap sehingga melahirkan 'anak haram', PKR.

Begitulah jika boleh diumpamakan keadaan Pas memperjudikan maruah Islam dengan dap sehingga nilai serta imej agama turut dikorbankan.

Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat yang 'diarah' bersara oleh Sultan Kelantan kerana tidak mampu lagi menerajui negeri Serambi Mekah itu, masih belum sedar dan tidak mahu bertaubat terhadap dosa yang dilakukannya kepada umat Islam di negara ini.

Pada satu ceramah semasa kempen Pilihan Raya Kecil Kuala Besut di Terengganu, Nik Aziz masih menjurus kepada perpecahan masyarakat Islam di mana-mana sahaja beliau berucap.

Beliau mengatakan antara lain, UMNO hanya pandai membina masjid tetapi ahli-ahlinya tidak sembahyang di masjid.

Begitu senang pemimpin Pas yang sudah nyanyuk ini melabelkan ahli-ahli UMNO tidak melakukan ibadat solat dengan berlagak seperti tuhan.

Tidak cukup mengata dan mencerca saudara seIslam dari UMNO dengan bermacam-macam fitnah dan tohmah, beliau terus membuat onar pada bulan Ramadhan yang mulia ini.

Kepada pendokong tegar pemikiran Khawarij ini, biarlah kesucian dan kemuliaan Ramadhan dinodai, biarlah Islam dipermain dan dipersendakan jika ini boleh membawa kemenangan kepada calon Pas.

Malah kenyataan Dewan Pemuda Pas Malaysia menyelar tindakan empat orang Melayu memukul seorang pemuda Cina, Ng Mun Tat, amat mendukacitakan.

Ini kerana tanpa usul periksa, Pas sanggup menyebelahi individu yang telah berbohong mengenai kedudukan sebenar mengapa insiden tersebut berlaku tetapi terus menghukum sekumpulan pemuda Melayu yang telah dianiayakan.

Tidak patut Pas mengeluarkan komen yang menghina bangsa Melayu sehingga puak-puak Cina rasis dibela hingga begitu rupa.

Sebagai parti Melayu yang berasaskan kepada perjuangan Islam, Pas sebenarnya sudah mati kerana yang tinggal hanya nama.

Pemimpin parti itu tidak lagi mempunyai daya pemikiran yang hebat seperti tokoh-tokoh terdahulu seperti Dr Burhanuddin Hilmi, Prof. Zulfikli Muhammad, Asri Muda, Yusof Rawa dan Hassan Adli.

Barisan pimpinan Pas sekarang hanya memikirkan undi, kuasa politik serta hawa nafsu terhadap kepentingan duniawi semata-mata.

Tingkah laku ramai pemimpin Pas sudah tidak Islamik kerana kebanyakan mereka hanya tahu memaki hamun dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada parti lawan.

Malah ramai yang terlibat dalam skandal seks yang memalukan seperti Timbalan Presiden kini yang pernah di tangkap berkhalwat dan video seks Setiausaha Agung parti itu tersebar luas.

Ini tidak termasuk tindakan pemimpin Pas Kelantan seperti Husam Musa yang didakwa menjadi kaya raya mengumpul harta sepanjang menjadi Exco Kerajaan Negeri.

Tiada sebarang tindakan di ambil oleh Nik Aziz terhadap banyak aduan rasuah terhadap Husam malah beliau memilih untuk menutup mata terhadap segala penyelewengan yang dilakukan di depan matanya.

Mungkin Nik Aziz tidak mahu mengambil sebarang tindakan kerana dia sendiri dituduh mengamalkan nepotisme dengan melantik anak menantunya menerajui Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Bagi Pas kuasa politik adalah segala-galanya, perkara lain seperti menegakkan keadilan sosial dan 'Negara Islam' seperti yang diperjuangakan selama ini sudah tidak menjadi penting.

Seperti contoh PRK Kuala Besut yang bakal berlangsung pada 24 Julai depan, sepatutnya Pas memberi laluan kepada Barisan Nasional kerana kerusi itu adalah kubu kuatnya.

Malangnya Pas memilih untuk menentang BN atas slogan '16-16' kerana mahu memasti berlakunya Dewan Undangan Negeri tergantung sekiranya ia menang.

Jika ini berlaku apa kepentingan hanya kepada politik Pas untuk memporak-peranda politik Terengganu dan bukannay ada apa-apa kebaikan kepada rakyat negeri itu.

Pas tidak memikirkan itu semua kerana parti itu sudah diresapi nilai-nilai Machiavelli yang menghalalkan apa jua cara untuk mencapai matlamat akhir.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.