Khamis, 22 November 2012

Hadi & Anwar Berebut Sakan, Karpal Singh Tersengih Riang

Ramai yang tersenyum sendirian bila membaca kenyataan sinis dari bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyarankan agar Pengerusi DAP, Karpal Singh dimasukkan dalam senarai sebagai calon Perdana Menteri.

Menurut Tun Dr. Mahathir, Karpal sebagai orang yang sudah lama berjuang dalam politik tentunya turut mengharapkan jawatan itu sama saja seperti diangan-angankan oleh Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Sindiran pedas ini tentunya mengundang rasa tidak senang ramai pemimpin PR yang sekarang ini sedang kelam kabut bersilat lidah untuk meredakan isu jawatan Perdana Menteri yang sekarang ini ibarat duri dalam daging kepada kerjasama parti pembangkang dalam gabungan PR.

Isu jawatan PM mula menjadi polemik umum selepas Dewan Ulama PAS serta perwakilan parti itu sepakat untuk mengangkat Presiden mereka sebagai PM, dengan alasan ketokohan dan kredibilitinya jauh lebih baik berbanding Anwar Ibrahim.

Apa sahaja alasannya, cadangan tersebut jelas bercanggah dengan kesepakatan bersama pemimpin tertinggi PR yang sebelum ini telah menetapkan Anwar sebagai calon PM seandainya pembangkang berjaya menguasai PRU 13.

Namun demikian, ramai juga ahli dan penyokong PAS yang teruja bila saranan itu ditimbulkan, sedikit sebanyak berjaya mengurangkan rasa rendah diri mereka yang selama ini terkenal dengan jolokan balaci dan keldai tunggangan DAP dan PKR.

Bagaimanapun tak semua pemimpin PAS berani mengiakan cadangan melantik Hadi sebagai PM, terutama bagi mereka yang sudah sebati sebagai geng Anwarinas rata-ratanya lebih selesa melihat Anwar terus kekal sebagai satu-satunya calon PM bagi PR.

DAP pula melalui Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng tanpa berselindung tegas menolak sebarang usaha untuk menobatkan Presiden PAS sebagai PM, sebaliknya menyeru pemimpin dan penyokong PAS supaya memegang persetujuan bersama untuk merealisasikan impian Anwar untuk merasai keempukan kerusi PM.

Polemik ini tambah menarik lagi apabila kenyataan Guan Eng itu disokong pula oleh Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar dan turut dipersetujui Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu yang mahu pencalonan Anwar sebagai PM kekal milik Anwar.

Namun begitu, disebalik polemik dan kekalutan pemimpin dan penyokong pembangkang sibuk mempertahankan calon pilihan masing-masing, ia sebenarnya memperlihatkan betapa kemaruknya parti pembangkang mahu mengejar kuasa.

Rakyat di serata pelusuk negara tidak buta untuk melihat hakikat ini, belum pun diberi peluang mentadbir Kerajaan Pusat tapi pemimpin pembangkang sudah berebut-rebut jawatan, nampak gayanya kalau betul mendapat kuasa kelak mahunya bercakaran siang dan malam.

Silap percaturannya, tatakala PAS dan PKR sibuk bertegang leher berebut sakan untuk menentukan antara Hadi dan Anwar mana satu yang patut menjadi PM, alih-alih Karpal Singh ataupun Lim Kit Siang pula yang tersenyum sumbing sambil hati berbunga riang.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Jawatan PM Perkara Kecil Bagi PR

Sepertimana yang dijangka oleh para pemerhati politik, semakin dekat
dengan PRU, semakin kelam kabut Pakatan Rakyat jadinya. Sebelum ini
semua pihak di dalam PR menerima baik Anwar Ibrahim sebagai Perdana
Menteri serta mengiakan saja apabila Buku Jingga mengambil-alih hudud
atau Negara Kebajikan menggantikan Negara Islam. Berbagai-bagai
kenyataan dibuat oleh pemimpin-pemimpin PR untuk menjustifikasikan
keputusan yang diambil secara 'sepakat' ini.

Malangnya, PR bukan sebuah parti yang wujud atas satu pendirian yang
sama. Setiap dari parti sekutu PR berdiri atas pentasnya sendiri,
dengan setiap pemimpin tertingginya mengimpikan singgahsana
masing-masing. Penyokong masing-masing pula berpegang kepada
keyakinan bahawa parti merekalah yang lebih kuat, yakni mendominasi
Pakatan Rakyat.

Pengundi Cina percaya bahawa DAP menguasai PAS dan hanya kerana itu
mereka berani memberi sokongan kepada DAP.

Penyokong PAS pula berusaha memaksa diri untuk percaya yang DAP tidak
akan menguasai PAS dan PAS juga tidak mudah dikuasai kerana itu mereka
terus menyokong PAS. Lagipun, mereka gusar tidak dapat masuk syurga
jika tidak menyokong PAS.

Manakala, penyokong PKR pula percaya yang kedua-dua DAP dan PAS pasti
tunduk kepada Manusia Hebat Luarbiasa Anugerah Tuhan, iaitu Anwar
Ibrahim dan kerana itu mereka terus mengabdikan diri kepadanya dengan
harapan agar mendapat satu dua projek atau sebijik dua Ferrari bila
beliau menjadi PM nanti.

Justeru, untuk sementara, PR berada dalam tenang dan stabil
bersandarkan senario di atas. Namun, segala-galanya kini berubah
selepas Muktamar ke-58 PAS.

Muktamar tersebut mendedahkan bahawa penyokong-penyokong PAS telah
tersedar yang DAP menguasai pemimpin mereka dari luar dan PKR pula
telah menguasai mereka dengan cara menyelinap terus ke atas. Lalu,
pemberontakan dalaman dan tekanan untuk melihat PAS menguasai diri dan
juga PR, mula terserlah. Ini diterjemahkan dengan melonjakkan nama
Hadi Awang sebagai PM sekali gus menolak Anwar Ibrahim.

Kesemua pemimpin PR cuba meremehkan tindakan akar umbi PAS sebagai
sebuah impian atau harapan semata-mata dan tidak semestinya
diambil-kira. Maka, berguraulah Mat Sabu konon sekiranya kedua-dua
Hadi dan Anwar kalah maka beliau juga boleh jadi PM. Tidak mustahil
Mahfudz Omar juga ada memasang angan-angan untuk menjadi PM
berdasarkan senyum simpulnya ketika kelu ditanya pemberita mengenai
siapa yang disokongnya sebagai PM.

Malah, saranan Tun Mahathir bahawa Karpal Singh yang paling layak juga
tidak wajar diketepikan begitu saja. Karpal sudah lama berjuang dan
cukup konsisten dalam menyatakan pandangan terutama dalam menolak
hudud dan Negara Islam. Cuma satu saja yang Karpal tidak konsisten
iaitu dahulunya beliau menghentam Anwar tetapi kini beliau pula yang
membela dan menjulang Anwar.

Namun, jangan lupa, jika Karpal dianggap layak, maka apa kurangnya Lim
Kit Siang? Bukankah beliau lebih layak sebagai PM di negara
bermasyarakat majmuk ini kerana beliau telah berpengalaman secara
langsung dalam 'menangani' masalah perkauman ketika tragedi 13 Mei.

Dan jangan kita lupa juga pada Nik Aziz yang dianggap wali keramat
serta berhak menghukum manusia lain dengan hukum Allah SWT. Lagipun,
bukankah hanya Ulama saja yang layak memerintah, bak kata orang PAS?
.. err..suatu ketika dahululah..

Rata-rata pemimpin PR nampaknya mengelak untuk mengecam saranan akar
umbi PAS untuk melantik Hadi Awang sebagai PM. Malah, Anwar sendiri
mengelak untuk memperbesarkannya. Mungkin Anwar yakin yang tidak
mungkin PAS mampu mengenepikannya bagi jawatan tersebut. Mungkin juga
DAP yakin yang siapapun menjadi PM, mereka tetap akan menjadi dalang
di belakangnya. Justeru, masing-masing hanya memberi komen umum tanpa
kepastian yang tuntas tentang siapakah bakal PM jika PR menang PRU.

Dengan mengambil sikap mengelak dan membisu atau memberi respon umum,
maka PR meletakkan penyokong-penyokong mereka dalam keadaan berharap
sementara pengundi atas pagar pula dibiarkan dalam keadaan keliru dan
kabur. Seolah-olah jawatan PM bukan sesuatu yang penting dan boleh
dibincangkan semula selepas menang nanti.

Sedangkan, jawatan PM adalah tonggak utama bagi meletakkan keyakinan
rakyat kepada PR. Dari jawatan itu, barulah dapat dibayangkan 'rupa
paras' kabinet PR dengan lebih jelas, serta hala tuju negara di bawah
pemerintahan mereka.

Ini kerana, jika PMnya Anwar, maka Malaysia akan dibawa ke arah
liberalisme, jika Kit Siang atau Karpal maka Malaysian Malaysialah
jadinya dan jika Hadi Awang maka Malaysia akan menjadi negara Islam
konservatif.

Kita perlu ingat bahawa PR bukan seperti BN yang mana parti-parti
komponennya berpegang kepada aspirasi yang sama, menjunjung
perlembagaan dan kedaulatan Raja-raja. Pun begitu, jawatan PM bagi BN
tetap penting, apatah lagi bagi PR yang caca-marba aspirasinya.

Dengan meremehkan isu jawatan PM, semakin terserlahlah sikap PR yang
melihat politik sebagai perkara main-main iaitu sekadar satu
perlumbaan merebut kuasa. Siapa yang paling bijak mengatur langkah,
maka dialah yang berjaya. Hala tuju negara atau nasib rakyat adalah
tiada kena mengena sama sekali dengan permainan mereka.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.