Isnin, 25 Mac 2013

Amalan politik 'songsang' PKR (Utusan)

CUBA fikirkan sejak Pilihan Raya Umum 2008 apa yang Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak lakukan dalam usaha mereka untuk mencari pengaruh politik.

Kejayaan yang dicapai dalam pilihan raya umum berkenaan melalui pelbagai manipulasi termasuk menggunakan sentimen perkauman telah memungkinkan PKR menjadi 'besar kepala'.

PKR merasakan parti merekalah yang terbaik dan jauh daripada kesilapan dan kesalahan, apa pun yang berlaku ke atas parti atau pemimpin mereka akan dianggap fitnah dan konspirasi UMNO serta kerajaan Barisan Nasional (BN).

Kebijaksanaan berhujah dan kepandaian mengalih isu telah memungkinkan segala keburukan PKR termasuklah melibatkan pemimpin-pemimpinnya berjaya diredakan.

Bagaimanapun PKR tidak boleh membohongi dan menipu rakyat melalui strategi politik licik dan songsang mereka selama-lamanya.

Kebenaran tetap kebenaran dan fakta tetap fakta, mungkin pada awalnya PKR akan berjaya menutupi semua itu melalui sandiwara, putar belit dan taktik mengalih isu.

Tetapi ia tidak akan bertahan lama dan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) adalah gelanggang terbaik kepada rakyat membuktikan kepada PKR bahawa mereka tidak akan selama-lamanya terpedaya dengan sandiwara parti itu.

Parti seperti PKR yang dilihat mengamalkan pendekatan politik matlamat menghalalkan cara tidak boleh dibiarkan terus wujud kerana mereka tidak menguntungkan negara sebaliknya hanya memporak-perandakan negara.

Peluang yang diberikan oleh rakyat dalam pilihan raya umum lalu tidak digunakan sebaik-baiknya, sebaliknya apa yang kita saksikan dari semasa ke semasa PKR terus mengamalkan politik untuk menanam kebencian rakyat kepada segala usaha baik kerajaan.

Kajilah tidak ada satu pun perkara yang dilakukan oleh kerajaan BN yang tidak dipandang serong oleh PKR. Segala-galanya akan diperlekeh dan persendakan hatta soal keselamatan negara pun turut menjadi 'mangsa'.

PKR mengajar rakyat politik kebencian dan permusuhan bukannya bersama-sama berganding bahu melakukan pembaikan demi keselamatan negara.

Keadaan itu berlaku kerana PKR sudah kemaruk kuasa, mereka melihat PRU-13 ini adalah penentuan hidup mati parti tersebut dan usaha terakhir untuk memastikan pemimpin mereka menjadi Perdana Menteri.

Sama ada janji yang ditaburkan boleh ditunaikan atau tidak, segala tindakan boleh mendatangkan kemudaratan kepada negara atau tidak, ia bukanlah perhitungan utama.

Bagi PKR, apa yang penting mereka mahu memastikan pemerintahan BN berakhir dalam pilihan raya umum kali ini.

Sama ada pemimpin atau penyokong tegar mereka hendak mengakui atau tidak, PKR adalah parti yang penuh dengan konflik, masalah dan 'penyakit', parti seumpama ini kalau terus dibiarkan berada dalam pentas politik negara ia boleh mengakibatkan negara musnah.

PKR berasa kuat bukan kerana kekuatan sendiri tetapi atas bantuan DAP dan Pas. DAP digunakan untuk meraih sokongan masyarakat Cina manakala Pas untuk meraih undi orang Melayu.

PKR tidak ada apa-apa kekuatan selain bijak bercakap, menabur fitnah dan melemparkan serangan buruk kepada kerajaan BN...itu sahaja kepakaran mereka.

Lihat sahaja apa yang berlaku kepada negeri yang dikuasai oleh mereka dan kemelut dalaman, segala-galanya 'haru-biru', lintang pukang dan berkecamuk.

Tetapi pemimpin-pemimpin utama PKR masih mahu mendabik dada kononnya mereka boleh mentadbir jauh lebih baik berbanding BN.

Sikap politik PKR ini terjadi kerana parti itu bukan ditubuhkan asas perjuangan bagi membela nasib rakyat atau membangunkan negara sebaliknya atas sikap dendam dan kebencian apabila pemimpin utama mereka dipecat daripada kerajaan pada tahun 1998.

Namun pemimpin-pemimpin PKR bijak bersandiwara dan mengambil kesempatan bagi meraih sokongan politik, ini termasuklah ketika pentadbiran kerajaan BN berada dalam kedudukan lemah.

Bagaimanapun situasi itu sudah berbeza sekarang, pekung yang ada kepada PKR tidak boleh ditutup dengan pelepah kelapa atau pun daun keladi.

Perbalahan

PKR mungkin mahu terus bersandiwara kononnya mereka sebuah parti yang kukuh dan sentiasa mendapat sokongan rakyat tetapi apa yang berlaku sejak 2008 sudah melihat menyaksikan bagaimana PKR kini sedang menuju ke kuburan politik.

Perbalahan dalaman yang melibatkan pemimpin-pemimpin mereka sudah menjadi rahsia umum, khususnya melibatkan Presiden PKR, Datin Seri Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden, Azmin Ali.

Itulah belum lagi mengambil kira, bagaimana di Selangor, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dikatakan turut berhadapan dengan tekanan termasuklah wujud ura-ura bahawa Azmin akan menggantikan beliau selepas pilihan raya umum akan datang jika PKR masih memerintah.

Begitu juga, penulis difahamkan menjelang pilihan raya umum ini, perebutan menjadi calon-calon semakin hebat dan cantas mencantas semakin ketara.

Malangnya, di atas pentas-pentas ceramah, pemimpin-pemimpin PKR terus menggambarkan seolah-olah parti mereka semakin kuat, kukuh dan berwibawa.

Bagaimanapun, menurut satu sumber, PKR semakin memahami penolakan rakyat khususnya orang Melayu terhadap parti itu.

Mungkin menyedari hakikat inilah pemimpin-pemimpin PKR cuba sedaya-upaya memperalatkan Pas terutamanya untuk membantu mereka memenangi pilihan raya.

Pemimpin-pemimpin PKR tidak risau soal sokongan kaum Cina kerana DAP dikatakan mampu memainkan peranannya dengan berkesan dalam membantu parti itu.

Apa yang meresahkan PKR ialah sokongan orang Melayu yang dilihat kini berada di hujung tanduk.

Namun pemimpin-pemimpin PKR tetap yakin sebagai 'pak turut setia' dalam pakatan pembangkang Pas akan mampu memainkan peranan untuk memastikan semua calon PKR menang.

Sikap Pas inilah yang menyuburkan politik kebencian dan matlamat menghalalkan cara yang diperjuangkan oleh PKR.

PKR percaya apa pun yang dilakukan oleh mereka, ia pasti akan dibela, disokong dan dipersetujui oleh Pas.

Justeru walaupun PKR memahami bahawa sokongan mereka dalam pilihan raya umum nanti akan merudum namun mereka tidak khuatir kerana penyokong-penyokong Pas akan setia memberikan undi mereka kepada calon-calon PKR.

Penyokong Pas akan bertungkus-lumus memastikan calon-calon PKR menang dan bersedia memanjat pokok dan tiang-tiang bagi mengibarkan bendera PKR dan DAP di seluruh pelosok.

Namun PKR belum pasti akan mengenang jasa Pas kerana apa yang lebih penting bagi PKR ialah DAP bukannya Pas. Sebab itulah dalam banyak isu, PKR tidak pernah peduli apa pendirian Pas.

Malahan PKR sentiasa terang-terangan menyokong DAP contohnya dalam isu kalimah Allah dan menyatakan ia kesepakatan bersama.

Dan dalam banyak situasi PKR lebih menyebelahi DAP, namun Pas masih terus mahu bertahan. Justeru orang Melayu perlu memikirkan apakah wajar pakatan pembangkang perlu disokong kerana dengan sikap 'pak turut' Pas sudah pasti parti itu tidak akan berupaya melawan kehendak PKR dan DAP jika benar pakatan itu menang dalam pilihan raya umum nanti.

Ia memandangkan soal politik pakatan pembangkang hanya berkisar soal penguasaan PKR dan DAP bukannya Pas yang dilayan bagaikan 'melukut di tepi gantang'.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Pas bakal dapat telur ayam di Perak

Parti Pas sejak puluhan tahun tidak tahu matematik politik.

Mereka hanya bermegah dengan bendera, ceramah dan serban hijau.

Pas Perak merasakan mereka sudah terlalu hebat apabila Nizar berjaya dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke 10.

Pas harus berterima kasih kepada Umno yang menjaga Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Kerana Umnolah Nizar dilantik menjadi MB 10.

Perak mempunyai 59 kerusi Dun dan dalam sejarah Pas, mereka tidak pernah bertanding melebihi 30 kerusi di Perak, tetapi bercakap seolah-olah rakyat mahukan mereka memerintah Perak.

2008, Pas hanya ada 6 kerusi, Pkr 7 dan Dap 18. BN masih mengekalkan 28 kerusi kemenangan.

Pun begitu Pas, Pkr dan Dap bersetuju untuk membentuk sebuah kerajaan pakatan. Pakatan yang dibentuk selepas PRU.

Apapun tsunami politik sudah berlalu, sumpah mahsuri sudah berakhir, kini Najib mempimpin BN dan kembali dengan penuh semangat juang,

Ekonomi meningkat, masalah ekonomi diselesaikan dengan baik. GTP baik. FDI tinggi. Rakyat bertambah yakin dengan usaha Najib.

Rakyat mengakui kesilapan lalu, kesilapan memberi undi pada pembangkang.

Kini semuanya sedar, pilihanraya bukan perkara yang boleh dimain-mainkankan atau cuba try test.

Silap mengundi padah diterima.

Jom undi BN tolak Pas syiah, pkr freemason dan Dap demokratiks sosialis komunis.


http://mynameblackpanther.blogspot.com/2013/03/bukti-pas-pkr-akan-berkubur_25.html?m=1
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Adakah DAP Akan Diharamkan?

"Kami rela disiasat dan ini merupakan komplot politik untuk mengharamkan DAP. Jika simbol roket (DAP) diharamkan, mungkin calon terpaksa memilih alternatif lain sebagai anggota bebas, atau pakai simbol Pas dan PKR."

Kenyataan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang pada 23 Mac 2013 di atas seakan cuba memberi gambaran dan persepsi negatif kononnya siasatan yang sedang dilakukan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) tika ini bertujuan untuk mengharamkan DAP.

Walhal kebenarannya, siasatan berhubung pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP (CEC) dilakukan setelah mengambil kira aduan yang dibuat oleh ahli seumur hidup DAP iaitu Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, Negeri Sembilan, A David Dass.

Selain David, seorang lagi ahli parti yang turut melaporkan kepincangan dalam pemilihan CEC DAP yang berlangsung Disember tahun lepas kepada ROS ialah Mahendran Krishnan, Setiausaha untuk cawangan yang sama.

Kedua-dua mereka bukannya ahli UMNO atau mana-mana komponen BN, bukan juga baru sehari dua menjadi ahli DAP tetapi sudah bertahun-tahun bergelumang jatuh bangun dalam parti paling rasis atas dunia itu.

Laporan dan aduan oleh pemimpin Cawangan DAP Cawangan Ladang Paroi itu hanyalah rentetan daripada ketidakpuasan hati mereka dengan perjalanan pemilihan DAP setelah calon yang gagal iaitu Zairil Khir Johari Abdullah (Christopher Ross Lim) tiba-tiba sahaja diubah kedudukannya menjadi ahli CEC yang kononnya dipilih.

Soal komplot atau konspirasi politik sebenarnya langsung tidak wujud, malah kemungkinan DAP akan digantung atau diharamkan juga tidak timbul memandangkan sehingga sekarang siasatan belum pun selesai sebaliknya tergantung disebabkan keengganan pemimpin DAP memberi kerjasama.

Pengerusi ROS, Datuk Abdul Rahman Othman sehari dua lepas menjelaskan pihaknya menghadapi kesukaran menyiasat kes ini berikutan tindakan seorang pemimpin tertinggi DAP sering memberi alasan ketiadaan masa bila mana di minta memberi keterangan.

Dengan keadaan demikian, mana mungkin ROS telah membuat keputusan, kecuali hakikat sebenarnya Kit Siang sengaja memainkan isu yang tidak wujud semata-mata untuk memancing simpati umum sambil menimbulkan persepsi salah terhadap kredibiliti ROS.

Setakat yang diketahui umum hanya dua parti yang pernah dibatalkan pendaftarannya iaitu UMNO pada tahun 1988 diikuti SNAP pada tahun 2002 dan kedua-duanya komponen BN. Ini jelas membuktikan ROS atau pihak yang lebih tinggi misalnya Mahkamah bukannya alat kepada Kerajaan Pusat pimpinan BN.

Justeru itu, Kit Siang atau mana-mana pemimpin DAP tidaklah perlu takut akan bayang-bayang sendiri. Jika DAP merasakan pemilihan CEC tempohari telus dan adil tanpa penyelewengan, mengapa tidak segera memberi kerjasama menjayakan siasatan ROS supaya ahli-ahli DAP tidak dibelenggu tanda tanya.

Ini tidak, belum apa-apa Kit Siang dah memulakan propaganda kosong menyalahkan orang lain semata-mata untuk mengelakkan pandangan serong terhadap parti pimpinannya yang bermasalah. Sendiri menari tunggang terbalik disalahkan lantai yang terjongkang jongkit
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.