Isnin, 11 November 2013

Siapa Yang Sedang Mencaturkan PAS?  

Menjelang Muktamar PAS 24 November ini, bukan sahaja politik dalaman PAS semakin bergolak, tetapi ia turut menyaksikan rakan sekutunya, DAP, sama-sama menyibuk, mengacah dan menjentik PAS agar menari mengikut rentak mereka.
 
Ini terbukti apabila Karpal Singh, dengan tidak semena-mena membuat kenyataan yang begitu 'menyakitkan' PAS dengan mengecam parti yang berasaskan kaum dan agama sebagai merbahaya.  Karpal juga menyarankan parti seperti PAS dibubarkan sahaja atas alasan tidak menepati 'sifat' negara ini yang majmuk. 
 
PAS menjadi bertambah kelam kabut apabila sebuah laman facebook melaporkan petikan kenyataan AJK Kerja PAS Pusat iaitu Dr. Siti Mariah Mahmud yang menyarankan agar Majlis Syura Ulama dibubarkan saja.  Beliau juga dilaporkan berkata bahawa cadangan melantik Presiden dan Timbalan Presiden PAS di kalangan Ulama sebagai cadangan yang kurang bijak. 
 
Bagaimanapun, Dr. Mariah kemudiannya dikatakan menafikan kenyataan tersebut.   Sehingga kini, tiada siapa yang dapat mengesahkan kisah sebenar mengenai laporan facebook itu. 
 
Benar atau tidak, kita semua tahu bahawa PAS telah lama membelakangkan Majlis Syura termasuk pemimpin dari kalangan Ulama sendiri.    Antaranya, isu mengenai Kalimah Allah di mana PAS dilihat berada dalam keadaan kabur dan keliru, tidak tahu untuk berpegang kepada pendirian Majlis Syura atau keputusan Pakatan Rakyat. 
 
Di kalangan akar umbi PAS, mereka menganggap Majlis Syura sebagai badan tertinggi mengatasi segala yang lain.  Namun mereka lupa bahawa PAS tertakluk di bawah kerjasama dengan Pakatan Rakyat yang mana secara automatik meletakkan keseluruhan parti itu di bawah satu payung yang diketuai oleh Anwar Ibrahim. 
 
Justeru, semua keputusan wajib mengambilkira pandangan sekutu PAS iaitu DAP dan PKR, serta wajib pula diluluskan oleh Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang. 
 
Umum tahu bahawa DAP dan PKR sama sekali tidak bersetuju sekiranya Ulama menerajui PAS. 
 
Dengan kemasukan golongan Anwarinas secara meluas di dalam PAS, maka tidak mustahil bahawa PAS sedang dicatur dari dalam agar menepati pendirian PKR/Anwar Ibrahim. 
 
Manakala, dari luar pula, PAS sedang dicatur oleh DAP.   Contohnya, kenyataan Karpal sebenarnya hanyalah sebagai ujikaji terhadap reaksi PAS, mungkin untuk mengenalpasti secara tepat siapakah yang paling lantang menentang DAP dan siapa pula yang menyokong.  Selain itu, kenyataan Karpal juga boleh dijadikan sebagai alat untuk menonjolkan mereka yang bakal bertanding dalam Muktamar nanti. 
 
Inilah masanya bagi mereka untuk menunjuk 'Islam' dan 'lantang' menempelak Karpal.  Inilah masanya untuk menunjuk sebagai pejuang tulin yang tidak gentar dengan kafir harbi. 
 
Malangnya, percaturan PAS hanyalah sebahagian dari mainan politik DAP dan PKR yang jauh lebih besar dari sekadar pemilihan parti.  Kita pasti, sepertimana kenyataan Karpal mengenai parti berasaskan agama, isu mengenai saranan pembubaran Majlis Syura adalah sebenarnya suara DAP dan PKR. 
 
Percaya atau tidak, PAS kini sedang berhadapan dengan cabaran yang melibatkan akidah dan iman.  PAS sedang diasak dari dalam dan dari luar agar menghumbankan saja golongan Ulama yang degil tidak dapat menerima pendekatan liberal dan plural DAP dan PKR. 
 
Persoalannya, mampukah golongan Ulama PAS menolak asakan mereka?  Apakah ahli-ahli PAS menyedari apa yang sedang berlaku di dalam parti mereka? 
 
Apapun, hanya Muktamar PAS yang dapat memberikan jawapan kepada semua persoalan ini.   Sekiranya golongan Anwarinas berjaya memegang jawatan penting, maka bersedialah untuk PAS yang hanya Islam pada nama.  Sekiranya balaci DAP juga turut berjaya menduduki jawatan tinggi, maka bersedialah PAS untuk menghapuskan terus nama 'Islam' pada parti mereka. 


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Mat Sabu Calon Proksi DAP Dalam Pas

 

Keputusan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa untuk tidak bertanding jawatan Timbalan Presiden benar-benar memeranjatkan semua pihak. Ini kerana pengunduran tersebut bakal menyaksikan pertembungan 2 penjuru antara kumpulanLiberal dan Ulama parti itu.

 

Namun keputusan Husam itu, mungkin disebabkan ingin mengelakkan undi kumpulan Liberal berpecah, sekali gus menyebabkan kumpulan ulama kembali menguasai parti. Sebagai contoh ketika pemilihan parti pada Muktamar Pas yang ke-55, penyertaan Husam untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden telah menyebabkan Nasaruddin Mat Isa berjaya menduduki jawatan no-2 itu.

 

Muktamar yang diadakan pada tahun 2009 itu menyaksikan Ustaz Nasha (Ulama) mendapat 480 undi, Husam (Liberal) 281 undi dan Mat Sabu (Liberal) 261 undi.

 

Seterusnya pemilihan parti ketika Muktamar Pas ke-57, Mat Sabu berjaya merampas jawatan Timbalan Presiden, apabila menewaskan Ustaz Nasha (penyandang) dan Tuan Ibrahim Tuan Mat. Pertembungan 3 penjuru itu telah menyebabkan kumpulan Liberal berjaya menguasai parti.

 

Muktamar yang diadakan pada tahun 2011 itu, menyaksikan Mat Sabu (Liberal) mendapat 420 undi, manakala Ustaz Nasha (Ulama) hanya berjaya mendapat 224 undi dan diikuti dengan Tuan Ibrahim (Ulama) dengan 399 undi.

 

Sekiranya trend 2 pemilihan sebelum ini diambil kira, ia sudah cukup membuktikan, pertembungan 3 penjuru hanya akan menyebabkan perpecahan undi di kalangan perwakilan. Menyedari akan hakikat itu, ulama Pas dilihat mula belajar dari sejarah apabila hanya meletakkan satu calon sahaja bagi mewakili kumpulan tersebut.

 

Sumber dalaman parti itu sebelum ini juga mengatakan ramai di kalangan ahli Pas dikatakan tidak beberapa senang dengan kehadiran kumpulan Liberal yang pro Anwar ini yang turut dilabelkan dengan pelbagai gelaran seperti Anwarinas dan Endorgan. Malah kegagalan beberapa pemimpin Liberal pada pilihan raya umum yang lalu juga dikatakan sebagai petanda penolakan ahli parti itu secara senyap.

 

Contohnya kekalahan Mat Sabu di parlimen Pendang, Salahuddin Ayub di parlimen Pulai dan DUN Nusajaya, Dzulkefly Ahmad di parlimen Kuala Selangor dan Husam Musa di parlimen Putrajaya.

 

Dengan rekod tewas dalam 2 pilihan raya umum berturut-turut iaitu pada 2008 di kerusi Kuala Terangganu dan PRU-13 di parlimen Pendang, Mat Sabu dilihat bakal berdepan dengan laluan yang sukar untuk mempertahankan jawatan Timbalan Presiden. Itu belum lagi diambil kira dengan pendirian Mat Sabu yang cuba mempertahankan komunis sehingga menyebabkan Pas menerima pelbagai cemuhan dan kritikan.

 

Malah pendedahan beberapa orang ahli parti itu yang mengaitkan Mat Sabu dengan ajaran sesat Syiah, juga dikatakan sebagai gerakan dari kumpulan Ulama untuk membersihkan Pas yang dilihat semakin menyimpang. Atas alasan itu, peranan Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden juga berjaya dikurangkan dan hanya digunakan sebagai penceramah parti bagi menarik hadiran.

 

Namun begitu, dalam banyak-banyak 'dosa' yang dilakukan oleh Mat Sabu, penglibatan dan hubungan akrabnya dengan pemimpin DAP dikatakan sebagai punca utama gerakan untuk menyingkirkannya. Dia dikatakan sering menjadi jurucakap dan pembela parti ultra kiasu itu bagi menekan Pas dalam pelbagai perkara.

 

Paling memeranjatkan apabila DAP melantiknya sebagai ahli lembaga pengarah Perbadanan Air Pulau Pinang. Walaupun ada yang mendakwa ia sebagai satu penghormatan kepada Pas, namun ramai yang menyifatkan 'pemberian' jawatan itu sebagai asas untuk mengatakan Mat Sabu adalah proksi DAP di dalam Pas.

 

Kesimpulannya keputusan pilihan raya umum, PRK Kuala Besut dan baru-baru ini di Sungai Limau telah menyaksikan penolakan ahli dan penyokong parti itu sehingga menyebabkan Pas mula sedar dan insaf. Tahaluf Siyasi yang diadakan dengan DAP dan pengaruh Anwar di dalam Pas telah menyebabkan parti yang kononnya memperjuangkan Islam itu semakin di tinggalkan.

 

Oleh yang demikian, jalan terbaik untuk menarik kembali sokongan ahli dan penyokong mereka, Pas perlu menjalankan satu gerakan pembersihan dengan menyingkirkan semua proksi DAP dan pengaruh Anwar bagi memastikan parti itu terus relevan.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.