Umno akan meneliti beberapa kelemahan yang disuarakan akar umbi dalam pemilihan parti baru-baru ini untuk ditambah baik bagi memastikan kelancarannya pada masa akan datang.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata segala permasalahan berkaitan perkara itu akan dikumpul untuk dikemuka kepada Jawatankuasa Pemilihan UMNO, antaranya syarat pertandingan dan isu pentadbiran semasa pemilihan.
"Ada cadangan supaya syarat pertandingan itu diperketat, kita akan buat kajian tentang cadangan itu supaya tidak terlalu mudah sehinggakan sesiapa sahaja boleh bertanding jawatan.
"Tindakan ini bukan mahu menyusahkan calon tetapi kita tidak mahu sesuatu jawatan tertinggi itu ditandingi secara terlalu mudah sehingga mereka yang baharu menjadi Ketua Bahagian UMNO pun menawarkan diri untuk jawatan tertinggi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran dan Pecah Tanah Projek Perumahan Taman Benut Utama di sini hari ini.
Ahmad berkata kelemahan dalam pentadbiran semasa pemilihan juga akan diteliti, antaranya pengiraan undi yang didakwa kurang cekap kerana mengambil masa sehingga awal pagi.
"Kaedah untuk mengatasi masalah jika calon mendapat undian seri juga perlu diperhalusi supaya tidak timbul masalah seperti pemilihan untuk jawatan Naib Ketua Pemuda baru-baru ini," katanya.
Beliau berkata selain itu, tempoh penarikan diri juga perlu dikaji semula untuk mengelak kemunculan 'calon yang berniaga' setiap kali pemilihan parti sama ada di peringkat bahagian atau peringkat tertinggi.
"Walaupun tidak ada kes dilaporkan membabitkan calon yang 'berniaga' pada pemilihan yang lalu, kaedah menghalang calon menarik diri seperti yang dilakukan pada pilihan raya umum dan pilihan raya kecil wajar dikaji," katanya.
Ahmad juga berkata semua kekurangan dan kelemahan itu akan dikaji sebelum Perhimpunan Agung UMNO Dis ini dengan pindaan yang mungkin dilakukan selepas mesyuarat berkenaan.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan