Jumaat, 4 Januari 2013

Krisis Hutang Dunia: Malaysia Di Jalan Yang Betul

Ekonomi global yang merudum pada tahun 1997/98 telah pun pulih pada separuh kedua tahun 2009. Namun, perkembangannya semakin perlahan bermula tahun ini, iaitu tahun 2012. Ekonomi global banyak bergantung kepada kedudukan ekonomi negara maju dan perkembangan ekonomi di dalam negara pula sebahagian besarnya bergantung kepada krisis hutang serta keyakinan pasaran.

Hari ini, hutang dunia telah meningkat dari USD18 Trillion kepada USD51 Trillion berbanding kadar pertumbuhan yang jauh lebih rendah. Menurut laporan Global Wealth 2012 oleh Credit Suisse Research Institute, negara di mana jumlah hutang isi rumah meningkat melebihi USD1 trillion, nisbah hutang berbanding aset meningkat secara purata sebanyak 50 sen dalam jangkamasa 2000 hingga 2008.

Secara dasarnya, negara yang berada dalam keadaan ekonomi yang selesa cenderung mencatatkan hutang isi rumah yang lebih tinggi.

Kedudukan nisbah hutang berbanding aset di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom menunjukkan paten yang sama iaitu meningkat secara drastik pada tahun 2008 dan kemudiannya menurun sekitar 20% pada tahun 2011-2012. The Economist pula mencatatkan peratusan hutang awam Amerika daripada KDNK adalah pada 74.2% atau USD36,873.70 per kapita dan UK pula 90.6% atau USD35,325.24 per kapita.

Di Eropah, mengambil contoh Itali yang mencatatkan nisbah hutang berbanding aset sebanyak 11.1 % pada tahun 2012 iaitu antara yang terendah di dunia tetapi ia adalah satu peningkatan yang banyak kerana ia bermula pada asas yang rendah. Tetapi, jumlah hutang awam di Itali pula mencatatkan peratusan 120.7% dari KDNK atau USD40,590.48 per kapita.

Hutang berbanding aset Sepanyol bagaimanapun mencatatkan nisbah 90% lebih tinggi dari tahun 2000 dan tiada tanda-tanda penurunan manakala peratusan hutang awam dari KDNK pula ialah 73.2% atau USD21,837.18 per kapita.

Perancis mencatatkan nisbah hutang berbanding aset sebanyak 12.8% iaitu berkurangan sebanyak 10% dari sepuluh tahun lalu kerana berjaya meningkatkan asetnya. Hutang awam Perancis mencatatkan angka 89.8% dari KDNK atau USD36,723.23 per kapita.

Jerman juga berjaya menurunkan nisbah daripada 24.3% pada tahun 2000 sehingga hanya 16.4% pada tahun ini. Kedudukan hutang awam Jerman pula berada pada tahap 82.8% dari KDNK atau USD34,224.93per kapita.

Singapura dilaporkan hampir menyamai prestasi Jerman dalam mengurangkan beban hutang sementara Malaysia dan Filipina pula menurut laporan Credit Suisse Research Institute, telah tidak dapat dipastikan, tetapi berkemungkinan mempunyai rekod yang lebih baik.

Bagaimanapun, menurut The Economist, kedudukan hutang awam Malaysia berbanding KDNK ialah 56.7%, atau USD5,903.21 per kapita, Filipina 46.6% atau USD1,209.84 per kapita, dan Singapura 96.4% atau USD50,074.83 per kapita.

Seperti negara-negara lain, Malaysia juga tidak dapat mengelak dari menerima akibat daripada limpahan hutang dan kelembapan ekonomi Amerika dan Eropah. Keadaan ekonomi di negara maju ini mengakibatkan penurunan dalam pasaran global. Malaysia terkesan dengan keadaan ini melalui perdagangan antarabangsa dan harga komoditi. Ia juga menyebabkan kedudukan kewangan global menjadi tidak menentu sekali gus mempengaruhi kedudukan kewangan dalam negara yang mana memberi kesan kepada pendapatan isi rumah.

Oleh yang demikian, amaran berbagai pihak mengenai kedudukan hutang negara yang tinggi tidak pernah diambil remeh oleh kerajaan.

Malaysia bernasib baik kerana kerajaan sentiasa memastikan eksport negara ini berbentuk berbagai dan tidak bergantung kepada elektrikal dan elektronik semata-mata tetapi turut merangkumi industri pembuatan lain, selain komoditi. Ini juga bererti rakan dagangan Malaysia lebih meluas dan tidak banyak bergantung kepada negara maju. Pada tahun 2011, 47% eksport Malaysia adalah ke negara Asia manakala hanya 30.2% ke Amerika dan Eropah.

Mengenalpasti penurunan dari segi pelaburan swasta semenjak krisis ekonomi Asia 1997 mungkin menjadi penghalang kepada pertumbuhan ekonomi, maka kerajaan menggariskan beberapa transformasi strategik untuk menggiatkan sektor swasta di bawah Model Ekonomi Baru. Antaranya, mengembangkan tenaga kerja berkualiti dan mengurangkan buruh asing, membina asas infrastruktur, meningkatkan sumber dan lain-lain lagi.

Sehingga kini, langkah yang diambil oleh Malaysia telah pun menunjukkan kejayaan di mana Laporan Ekonomi 2012/2013 oleh Kementerian Kewangan menunjukkan dana kasar yang diperoleh oleh sektor swasta melalui terbitan sekuriti hutang sektor swasta meningkat dengan ketara sebanyak 97.9 peratus kepada RM70.9 bilion untuk tujuh bulan pertama 2012 berbanding hingga 67.7 peratus kenaikan kepada RM35.8 bilion sebelumnya.

Dana kasar yang diperoleh dalam pasaran modal meningkat dengan ketara sebanyak 46.3 peratus kepada RM155.5 bilion dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini yang telah disokong terutamanya oleh keperluan pembiayaan infrastruktur berbanding dengan peningkatan 31.8 peratus kepada RM106.3 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Dana kasar yang diperoleh oleh sektor awam juga berkembang 3.3 peratus kepada RM64.3 bilion bagi tujuh bulan pertama 2012 berbanding dengan RM62.2 bilion, iaitu peningkatan 47.6 peratus untuk tempoh yang sama tahun lepas.

Oleh yang demikian, Malaysia mampu menjangkakan pertumbuhan yang berterusan walaupun dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu dan lembab.


Keupayaan kerajaan Malaysia untuk memandang ke hadapan dan bersiap sedia lebih awal untuk menghadapi kemungkinan limpahan hutang dunia memberi kesan kepada negara wajar diberi pujian. Tanpa pengurusan dan pentadbiran yang cekap, rekod yang baik seperti yang tertera di atas adalah mustahil.

Walaupun ada pihak yang cuba menafikan keupayaan dan kecekapan kerajaan, tetapi hakikatnya, masyarakat peniaga dunia lebih arif mengenainya. Ini terbukti dari peningkatan jumlah pelaburan langsung asing yang bertitik tolak dari peningkatan keyakinan pelabur. Rekod pelaburan langsung asing yang menjunam dari RM24.1 billion pada 2008 kepada RM5 billion pada 2009 meningkat kepada RM29 billion pada 2010 dan seterusnya kepada RM33 billion pada 2011.

Malaysia kini berada pada tangga ke-2 dalam senarai negara paling berdaya saing di Asia, ke-6 di Asia Pasifik dan ke-25 di dunia. Malaysia kini berada di tangga ke 10 dalam senarai negara paling diyakini bagi pelaburan asing,iaitu lonjakan dari tangga ke 21 pada tahun 2010.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan