Menurut Ketua Wanita UMNO Bahagian Ampang, Datuk Dr. Rozaidah Talib, melihat bahawa ucapan Timbalan Presiden menjurus ke arah menyerang pihak pembangkang sebagai satu tanda bahawa gerak kerja untuk menangkis serangan propaganda dan fitnah pembangkang perlu diperhebatkan sebagai persediaan untuk menghadapi PRU yang akan datang.
"Selain itu, ucapan beliau itu juga menggambarkan kepercayaan pucuk pimpinan terhadap tahap siap siaga sayap-sayap UMNO begitu tinggi dalam menghadapi pilihanraya. Di samping itu juga, saya melihat bahawa mesej yang mahu disampaikan itu bukan hanya kepada perwakilan kepada ketiga-tiga sayap, tetapi ditujukan kepada rakyat untuk membandingkan perjuangan UMNO dan BN dengan Pakatan Pembangkang yang tidak jelas hala tuju untuk membangunkan negara," ujarnya.
Manakala bagi Ketua Wanita UMNO Selangor, Senator Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah, ucapan Timbalan Presiden itu jelas meminta agar seluruh ahli UMNO agar bersatu padu dalam menghadapi pilihanraya yang akan datang.
"Selain daripada itu, bagi saya beliau menjelaskan bahawa betapa pentingnya konsep berkongsi kuasa di dalam negara kita yang berbilang bangsa dan agama, seperti yang diamalkan selama oleh BN dalam usaha untuk membangunkan dan mengekalkan kestabilan negara.
"Ini berbeza dengan Pakatan Pembangkang yang dilihat biarpun bergabung dibawah satu nama, namun mempunyai matlamat dan hala tuju yang berbeza dan ternyata Pakatan Pembangkang berkelayakkan untuk menjadi sebuah kerajaan yang kuat dan dapat membangunkan negara ini," jelasnya.
Pendapat tersebut turut dikongsi oleh Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Besut, Datin Seri Wan Naimah Wan Latif di mana Pakatan Pembangkang hanyalah tahu membuat fitnah untuk memburuk-buruk imej UMNO dan BN di mata rakyat.
"Kita lihat Pakatan Pembangkang begitu beria-ria untuk ke Putrajaya sehingga sanggup menabur janji yang bagi saya tidak masuk akal. Saya yakin, bahawa wanita UMNO sebagai benteng negara, akan berusaha keras untuk memperjelaskan kepada rakyat tentang segala pembohongan dan fitnah yang dilemparkan oleh Pakatan Pembangkang terhadap UMNO dan BN," tegasnya.
Hari ini jelas beliau lagi, rakyat boleh melihat situasi di negeri Selangor dan Kelantan, di mana Pakatan Pembangkang gagal untuk menunaikan janji-janji yang mereka buat sebelum mendapat kuasa.
"Saya rasa kita sebagai rakyat di negara ini perlu bersyukur kerana Malaysia hari ini diterajui oleh kepimpinan yang amat-amat mementingkan serta prihatin terhadap kehendak rakyat. Bagi saya, jika dibandingkan dengan negara-negara lain, ternyata rakyat di negara ini amat beruntung kerana mempunyai kerajaan yang sentiasa terbuka dalam mendengar segala kritikan dan keluhan rakyat, serta tidak putus-putus untuk merencana dan melaksanakan segala agenda membangunkan negara demi kesejahteraan rakyat di negara ini," jelas beliau. -MediaUMNO
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan