17. Sekiranya kemenangan kita impikan, seandainya kelangsungan kita dambakan, sebagai sebuah pertubuhan siasah, sebelum terus mengatur gerak, sejenak perlu menoleh ke belakang, supaya dapat mengetahui letak duduk sebenarnya keadaan parti kita. Adakah lebih baik dari semalam? Cukupkah pula persediaan untuk menghadapi hari-hari mendatang?
18. Pastinya, dalam meniti garis-garis besar perjuangan, langkah-langkah konkrit ke hadapan mestilah penuh berhemah dan berhikmah, ikhlas mendahulukan kepentingan rakyat, bukan dengan helah, menabur janji-janji kosong, tipu daya atau fatamorgana. Barulah segala ikhtiar mendapat rahmat dan keberkatan Ilahi.
Saudara dan saudari,
19. Berdiri atas kesedaran dan semangat itu, mari kita tinjau hakikat demografik Malaysia yang telah berubah secara radikal. Majoriti daripada 29 juta penduduk hari ini dilahirkan pasca Hari Malaysia dengan hampir 70 peratus tinggal di kawasan bandar. 40 peratus pada lingkungan 17 hingga 23 tahun, sedang mengikuti pelbagai peringkat pendidikan pasca menengah.
20. 80 peratus pula, merupakan mereka yang berumur kurang empat puluh lima tahun manakala separuh daripada rakyat kita berusia di bawah 25.
21. Satu faktor penting lagi, transformasi pengundi khasnya dan rakyat Malaysia amnya tidak berlaku dalam tempoh sehari dua, tetapi telah berlangsung secara berdikit semenjak lebih lima dekad. Ia digerakkan oleh kejayaan dasar-dasar serta program hasil prakarsa Kerajaan Perikatan dan kemudiannya diteruskan oleh Kerajaan Barisan Nasional.
22. Hakikatnya, peningkatan taraf hidup, proses pembandaran, akses kepada pendidikan, kemajuan teknologi maklumat, komunikasi serta pengangkutan telah merubah keutamaan, selera, sistem nilai dan profil pengundi Malaysia. Citarasa dan jangkaan mereka terutamanya golongan muda telah bertukar dengan mendadak. Tambahan pula, rata-rata pengundi kini sifatnya lebih bermaklumat serta kritikal.
23. Selain itu, fakta yang sedia ada menunjukkan sejak Mac 2008 terdapat 2.9 juta pengundi baru tidak kira golongan umur telah mendaftar sebagai pemilih.
24. Angka ini, saudara dan saudari, sangat signifikan kerana ia mewakili lebih satu perlima daripada jumlah pengundi Malaysia yakni 13.1 juta orang. Ini bermakna, setiap seorang daripada lima pengundi bagi Pilihanraya Umum Ke-13 nanti, ialah pengundi baru atau pengundi yang pertama kali.
CABARAN UMNO
Saudara dan saudari,
25. Sepanjang berdepan mehnah dan cabaran politik semasa, UMNO dan Barisan Nasional tidak lagi boleh berasa lepas lega dan mengambil mudah dengan mengharapkan sokongan rakyat berasaskan nostalgia jasa-jasa dahulu atau apa yang telah dibuat parti serta kerajaan pada hari-hari kelmarin.
26. Mendakap cabaran kini, Pilihanraya Umum ke-13 menghadapkan kita dengan satu pilihan, iaitu sama ada kita sebagai individu dan secara kolektif mahukan kemenangan untuk parti atau sebaliknya.
27. Serentak itu, bercakap tentang sistem demokrasi berparlimen seperti di Malaysia, Kerajaan dibentuk oleh parti atau gabungan parti politik yang memenangi majoriti kerusi dalam Dewan Rakyat. Ertinya, kemenangan majoriti daripada 222 kerusi yang dipertandingkan adalah penentu kesinambungan kerajaan Barisan Nasional.
28. Walau bagaimanapun, kemenangan dalam pilihanraya sebenarnya bergantung kepada banyak faktor seperti pengundi setempat, kecekapan jentera di setiap bahagian serta calon yang dipertandingkan. Selain itu, realiti semasa menyaksikan bahawa sokongan rakyat kepada kepimpinan nasional dan negeri tidak semestinya, diterjemahkan dalam bentuk undi kepada calon tempatan parti.
29. Kata orang, dulu lain, sekarang dah lain. Jika dahulu, siapa pun yang diketengahkan oleh parti, merupakan calon boleh menang. Hakikatnya tidak lagi begitu. Maknanya di sini, kejayaan calon dalam pilihanraya kontemporari ini bergantung kepada penerimaan mereka yang hendak diwakili.
30. Calon boleh menang yang dipilih oleh parti hendaklah mampu memberi nilai tambah, yakni, bukan sahaja sekadar diterima oleh lingkungan parti, malah, hendaklah juga disenangi oleh masyarakat setempat sebagai pengundi, lebih daripada itu, boleh bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan sukarela serta masyarakat madani, kerana merekalah sebetulnya para pengundi.
31. Kenyataannya lagi, lebih 95 peratus rakyat Malaysia dilahirkan pasca penubuhan UMNO. Oleh sebab itu, penilaian yang dibuat pengundi generasi baru hari ini bukan didasarkan kepada pengalaman masa lalu apatah lagi apa yang telah dilakukan semalam sebaliknya ia berasaskan merit hari ini berserta wawasan masa depan.
32. Kesimpulannya di sini, kemenangan dalam perjuangan pada analisa akhirnya adalah hasil usaha bersama-sama semua rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, agama dan ideologi, muda dan tua, lelaki dan wanita, warga bandar dan warga desa, pekerja kolar biru dan putih, sektor awam, swasta dan Syarikat Berkaitan Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan serta masyarakat seramai. Ringkasnya, setiap dari kita berperanan dan bertanggungjawab memilih yang terbaik untuk Malaysia.
33. Atas segalanya, rakyat hari ini sudah bijak untuk membezakan yang mana kaca yang mana manikam. Pengundi pula dapat menilai bahawa empati kepada rakyat oleh calon bersifat sejati dan berterusan bukanlah hanya untuk musim pilihanraya.
34. Dalam konteks ini, saya ingin menyeru, jadilah pemimpin parti yang rajin mengkhidmati rakyat, berwibawa dan bersikap rendah diri. Bak kata orang tua-tua, ular yang menyusur akar, pasti tidak akan hilang bisanya.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan