Jumaat, 30 November 2012

130-149 Ucapan Najib

130. Tanyalah kepada penduduk Kampung Buah Pala di Pulau Pinang, di manakah kata-kata manis yang ditabur oleh Ketua Umum PKR semasa pilihanraya 2008?

131. Beliau berjanji kononnya dalam masa dua minggu selepas memenangi pilihanraya, akan selesailah masalah penduduk di sana. Kini sudah hampir masuk empat tahun, bak kata orang Penang... "ilekkk...". Akhirnya, Barisan Nasional juga yang selesaikan masalah ini.

132. Selain itu, macam kata orang Tanjung jugak, boleh jadi caca marba seandainya Pakatan Rakyat membentuk Kerajaan. Tukang buat janji, Perdana Menteri mereka, tak kisahlah siapa yang akan dilantik sama ada Ketua Umum PKR atau Presiden PAS, tetapi si Ketua Menteri Pulau Pinang dari DAP akan tetap "buat tak tau dan buat dek jer" atas janji itu. Mungkin inilah sebabnya Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang menggelar bosnya sebagai Cocky, Arrogant dan Tokong.

Saudara dan saudari,

133. Selanjutnya; "tanyalah kepada oghe Kelate, selesa doh ko masalah air? Sedar tak sedar, dah lebih dua puluh tahun PAS memerintah, tak selesa-selesa jugak".

134. Tanyalah pulak kepada orang Kedah; "pasai PAS. Depa janji apa kat hampa tahun 2008 hari tu? Cuba habaq mai, tak ka macam-macam depa tabuq janji kita tau sampai la ni, macam-macam tak selesai, habuk pun tak dak".

135. Seterusnya, kita tanya pulak penduduk flat kos rendah dan pangsapuri yang memakai meter pukal di Selangor. Mana janji-janji indah nak bagi air percuma? Satu lagi isu, kita tanya kepada ibu-ibu tunggal juga di Selangor, apa sudah jadi dengan elaun bulanan sebanyak RM100 yang nak dibagi? Tak patut,kasihan ibu tunggal ini.

Saudara dan saudari,

136. Berbeza dengan kita UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional. Buktinya, semenjak saya dan rakan-rakan mengambil alih kepimpinan parti dan Kerajaan, melalui pelbagai usaha dan ikhtiar, parti ini dan Kerajaan ini, bukan sekadar suka-suka membuat janji dan memberi harapan, namun kita juga pasti berusaha, merintis sejuta jalan untuk menunaikannya.

137. Misalnya, di bawah pelan jangka pendek, antaranya :

 kita ada BR1M untuk rakyat berpendapatan rendah
 kita ada baucer buku 1Malaysia untuk mahasiswa
 kita ada bantuan RM100 untuk semua pelajar sekolah
 kita ada Skim tayar 1Malaysia untuk pemandu teksi

138. Untuk jangka sederhana :

 kita menyediakan Pusat Transformasi Luar Bandar
 kita menyediakan Pusat Transformasi Bandar
 kita ada KR1M, Klinik 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Kedai Buku 1Malaysia, dan lain-lain.

139. Bagi jangka panjang pula, kita dipayungi Dasar Transformasi Nasional melalui inisiatif Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi hinggalah kita mencapai status negara maju. Insya-Allah.

Saudara dan saudari,

140. Pada sesetengah pihak, kita ingin ingatkan, kalau tidak pandai menari, janganlah lantai dikata jongkang jongkit. Hari ini, pelbagai institusi negara diserang dan dituduh sesuka hati secara melulu, dengan tujuan jahat untuk mengeliru dan menimbulkan syak di kalangan rakyat.

141. Misalnya, Suruhanjaya Pilihanraya yakni SPR difitnah bertubi-tubi. Sehinggakan tunjuk perasaan dianjur. Kita tahu, mereka lakukan ini sebagai tindakan awal jangka. Sebab, seandainya mereka kalah dalam pilihanraya nanti, bukan faktor tidak mendapat sokongan rakyat akan dibangkitkan namun, pihak SPRlah yang akan disalahkan dan dianggap tidak adil serta tidak berwibawa.

142. Sebab itulah tanpa segan silu mereka mengadu kepada kuasa asing bagi mengantarabangsakan masalah dalaman, sedangkan mereka tahu tindakan berkenaan hanya mengaibkan negara dan menghina intelek rakyat Malaysia.

143. Sebenarnya saudara dan saudari, tak perlulah kita libatkan orang asing untuk menunjuk ajar bagaimana menguruskan negara. Janganlah menjadi Si Kitul moden sampai sanggup mengkhianat bangsa dan tanahair.

144. Dah lebih separuh abad pun kita merdeka... tahulah kita selok belok negara sendiri. Persoalannya, selepas mereka menang di lima negeri pada pilihanraya lalu tiada pula rumah siap pahat berbunyi.

145. Seperti yang saya kata, bukankah Parti PAS sudah 22 tahun menerajui Kerajaan Kelantan? Bukankah juga Parti PAS yang telah memenangi pilihanraya negeri pertama tahun 1959? Bukankah Parti PAS sedang menerajui Kerajaan Kedah? Bukankah Parti PAS pernah menerajui Kerajaan Terengganu dan Perak?

146. Tidakkah pula PKR sedang menerajui Kerajaan Selangor manakala DAP kini mengepalai Kerajaan Pulau Pinang?


147. Selain itu, barangkali ramai masih ingat, bahawa sebelum menyertai Barisan Nasional, Parti PBS dan Gerakan merupakan Parti Pembangkang, dan bukankah PBS telah memenangi pilihanraya Sabah tahun 1985 dan Parti Gerakan telah memenangi pilihanraya Pulau Pinang tahun 1969.

148. Akhirnya, seperti terakam dalam peristiwa, bukankah Barisan Nasional gagal memperoleh majoriti dua pertiga semasa Pilihanraya Umum 2008?

Saudara dan saudari,

149. Jadi, jika sungguhlah tuduhan bahawa SPR tidak berwibawa dan tidak jujur, ini semua tidak mungkin berlaku. Ternyata, demokrasi tetap berfungsi, malar dan segar di Malaysia. Ternyata, pilihanraya di negara ini ialah proses yang bersih dan rakyat sudah matang serta bijaksana untuk memilih.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan