Sebut sahaja mana-mana bidang kehidupan yang menyentuh orang Melayu samada perniagaan, aspek sosio-ekonomi malah agama sekali pun, rakyat akan tertanya-tanya apakah program-program pro-Melayu yang telah dirancang mahupun dilaksanakan sepanjang 4 1/2 tahun Pakatan Rakyat memerintah di negeri terkaya di Malaysia itu.
Malah amat menyedihkan sekali apabila Selangor melantik pula Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi yang sepatutnya membela orang Melayu terutamanya golongan susah dan miskin.
Namun dengan pengalaman serta ketokohan Anwar sebagai bekas Menteri Kewangan selama lapan tahun juga gagal menyelamatkan nasib orang Melayu.
Anwar bagaikan tunggul kayu mati yang hanya berperanan sebagai penghias serta tidak mempunyai apa-apa fungsi yang boleh membawa apa-apa kebaikan kepada rakyat Selangor.
Kini nasib orang Melayu di tanah air mereka sendiri akan lebih tertekan dan akhirnya akan merempat apabila Menteri Besar, Abdul Khalid Ibrahim bercadang untuk menjual lima aset bangunan kepunyaan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Antara aset PKNS yang bakal menjadi mangsa kerakusan Pakatan Rakyat ialah Wisma Yakin yang begitu terkenal sebagai ikon perniagaan orang Melayu di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur sejak awal tahun 1970an lagi.
Siapa tidak kenal Wisma Yakin yang menjual serba anika pakaian dan aksesori budaya Melayu seperti baju Melayu, songkok, samping, kain pelikat, butang baju dan sebagainya.
Kelas peniaga Melayu kecil dan menengah berjaya diwujudkan di Wisma Yakin kerana dasar pro-Melayu yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional selama ini.
Turut menjadi mangsa lagi ialah Kompleks PKNS Shah Alam yang akan dijual pada harga RM85 juta, PKNS Bangi (RM42 juta), PKNS Petaling Jaya (RM90 juta) dan SACC Mall (RM97 juta) dengan nilai keseluruhan yang bakal diraih berjumlah RM321 juta.
Begitu hebat pentadbiran Pakatan Rakyat dengan slogan 'Harapan Baru Untuk Malaysia' sehingga orang Melayu akhirnya akan kehilangan semua aset-aset mereka sedikit demi sedikit yang telah dibina dengan penuh penat lelah di bawah Barisan Nasional sejak zaman merdeka lagi.
Antara objektif utama PKNS yang ditubuhkan oleh kerajaan BN sejak 45 tahun lalu ialah peranannya sebagai satu agensi pembangunan sosio-ekonomi Selangor selain menjadi, agensi utama pembangunan hartanah kerajaan negeri, pemegang amanah bumiputra, agensi utama melaksanakan Dasar Ekonomi Baru dalam menyusunkan semula struktur masyarakat dan pembasmi kemiskinan di kalangan masyarakat Bumiputera bandar dan luar bandar.
Jika diteliti jasa lebih empat dekad PKNS di, kejayaan terbesarnya adalah kemunculan Selangor sebagai negeri yang termaju dan terkaya di Malaysia dari segi pembangunan industri, perumahan dan perbandaran.
Di bawah Pakatan Rakyat semua kejayaan yang telah dicapai bagi pembangunan sosio-ekonomi rakyat Selangor khususnya orang Melayu akan hancur dan musnah.
Maka tidak silap dikatakan bahawa antara agenda penting kerajaan Pakatan Rakyat apabila mengambil alih pentadbiran di Selangor ialah mensasarkan institusi-institusi yang mempunyai kepentingan Melayu.
Faktor mengapa ini berlaku ialah kehadiran parti rasis DAP sebagai sekutu PKR dan PAS.
Sementara PAS sudah menjadi keldai DAP akan membawa apa sahaja beban mengikut kemahuan parti rasis Cina itu, PKR pula menjadi pak turut kerana sokongan amat diperlukan oleh Anwar untuk mengejar cita-citanya menjadi Perdana Menteri.
Yang menjadi mangsa sudah tentunya orang Melayu kerana DAP tidak sesekali akan membenarkan orang Melayu berjaya dan cemerlang di negeri itu.
Lihat bagaimana agenda Pakatan Rakyat Selangor di kawal dan dirancang oleh DAP dengan restu Anwar apabila kerajaan negeri merampas tanah seluas 323.7 hektar kepunyaan Yayasan Basmi Kemiskinan di Serendah pada tahun 2010.
Tanah tersebut dirampas oleh Pakatan Rakyat hanya kerana YBK menolak nafsu Khalid supaya beliau dilantik sebagai pengerusi yayasan itu.
Rampasan tanah itu telah membantutkan usaha kerajaan pusat untuk membina kampus cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Serendah sekali gus menafikan hak beribu-ribu anak Melayu meneruskan pengajian mereka.
Mujur keadilan dapat ditegakkan apabila Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan tanah itu dikembalikan semula kepada YBK.
Agenda melemahkan orang Melayu melalui bidang pendidikan juga dikesan di UNISEL, sebuah universiti milik kerajaan negeri Selangor yang mengalami kerugian berjumlah RM54 juta dalam tempoh tiga tahun sejak Pakatan Rakyat memerintah bermula dari tahun 2008 sehingga 2010.
Sebagaimana anak-anak Melayu di nafikan pendidikan dengan ketiadaan kampus cawangan UiTM di Serendah, beribu-ribu pelajar Melayu yang kini menuntut di UNISEL akan menerima nasib yang lebih malang di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.
Pengurusan yang lemah dan tidak berjaya, ditambah lagi dengan agenda politik kotor Pakatan Rakyat untuk menjadikan UNISEL sebagai medan latihan kader-kader pembangkang, institusi pengajian tinggi yang dulunya dipandang tinggi dengan pencapaian akademik yang membanggakan, kini akan turut sama dikorbankan demi memuaskan hati DAP.
Hakikatnya lebih lama Pakatan Rakyat memerintah di Selangor, lebih dahsyat kemusnahan agenda Melayu akan dilakukan dan semua ini dilakukan di depan mata PKR dan PAS yang kononnya mendakwa sebagai pelindung Melayu.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Agaknya inilah agenda yg akan kekalnya KDNK Negeri, sebab banyak cash masuk dan aset pula dikurang. Nak untung cepat, simpan tunai senang nak tadbir dan dibawa lari.. tinggalah m dengan anak susu dada pun tiada.. walllahhu alam.
BalasPadam