perancang |
pecacai |
Sekali lagi, majalah popular Reader’s Digest telah mengadakan kaji selidik berkenaan adab dan kesopanan di 36 buah negara di dunia. Hasilnya, Malaysia yang mana ‘kesopanan dan kesusilaan’ termaktub di dalam Rukunegara, berada di tempat ke 34 sebagai negara paling tidak beradab.
Rasanya, kebanyakan rakyat Malaysia juga tidak terkejut dengan hasil kaji selidik tersebut. Yang menjadi persoalannya ialah sama ada kita merasa malu atau mengambil ringan akan perkara ini adalah sesuatu yang wajar diperbahaskan.
Melayu yang mewakili majoriti rakyat Malaysia sebelum ini terkenal dengan sikap lemah lembut dan sopan santun. Bahasanya beralun indah, marahnya berlapik, peribadinya merendah, geraknya berlenggok lembut. Itulah Melayu – dahulu. Namun, semua ini hanya tinggal kenangan.
Alasan yang diberi apabila perkara ini di bangkitkan ialah ‘survival’ di era yang serba pantas dan canggih menjadikan sikap lemah lembut dan sopan santun tidak relevan lagi. Hujah ini tentulah tidak benar kerana bandar yang terpilih sebagai paling sopan di dunia ialah New York yang mana jauh lebih canggih, pantas dan maju. Kenapa New York iaitu sebuah bandar di negara Mat Saleh yang sering dipersalahkan kerana menyebarkan budaya kuning masih mampu mempertahan kan kesopanan dan kesusilaan penduduknya?
Apa yang lebih memalukan bagi Malaysia ialah kerana negara dikenali sebagai negara Islam contoh. Islam telah mengeluarkan manusia dari kehidupan jahiliah, membawa ketamadunan iaitu kesopanan, adat dan peraturan. Namun, semua ini langsung tidak terserlah dalam diri rakyat Malaysia, termasuk yang beragama Islam itu sendiri.
Masalah adab sopan mungkin tidak wajar dikaitkan dengan politik. Bagaimana pun, kita tidak dapat menafikan bahawa dalam keadaan di mana hampir 80% perkara yang berlaku di dalam negara ini pasti dikaitkan dengan politik oleh rakyatnya, maka pemimpin politik memainkan peranan penting dalam mewarnai sikap rakyat.
Tiada siapa dapat menafikan bahawa kepimpinan negara, Dato’ Seri Najib Tun Razak mempunyai peribadi yang terpuji. Lahir dari keluarga yang terhormat, dididik dengan penuh adab sopan dan kesusilaan. Sifat terpuji beliau terserlah jelas dalam tutur kata dan gerak gerinya. Begitu juga dengan kesemua Perdana Menteri Malaysia atau pemimpin tertinggi UMNO yang terdahulu. Kesemua mereka mempunyai latarbelakang pendidikan yang baik, dari keturunan yang baik-baik dan mempunyai keperibadian terpuji. Ini dapat dilihat dalam percakapan mereka yang lembut dan tenang tak kira di pentas politik, di persada dunia mahupun bersama rakyat jelata.
Pendek kata, peribadi sopan santun rakyat Malaysia yang sebelum ini kita amat bangga kan, adalah diteladani dari pemimpin kita. Dan sikap biadab rakyat hari ini tidak boleh dipersalahkan ke atas bahu kepimpinan negara, kerana Perdana Menteri kita jelas mewarisi kesopanan dan kesusilaan yang sama hebat dengan kepimpinan terdahulu dan dari susur galur keluarganya.
Justeru, kita wajar mencari di mana puncanya kebiadapan rakyat Malaysia.
Sedar atau tidak, hanya selepas lahirnya ‘Reformasi’ yang dibawa oleh Anwar Ibrahim maka rakyat Malaysia tiba-tiba terdedah dengan begitu meluas dengan kebiadaban. Kata-kata penghinaan, maki hamun, carut mencarut terhadap kepimpinan negara digunakan dan disebar secara meluas dan konsisten di alam maya, lalu dibawa turun ke padang dan kampung melalui pentas-pentas ceramah. Anwar Ibrahim sendiri terkenal berceramah dengan penuh emosi amarah, kebencian dan dendam kesumat.
Kemudian PAS juga turut menyemarakkan lagi budaya biadab ini dengan ceramah mencarut, mencaci dan menghina.
DAP yang sememangnya tidak pernah dididik dengan adab, menambah meriah kan lagi keadaan dengan ceramah yang menghasut dan membakar api perkauman.
Sejak itu, siri-siri demonstrasi dengan bersikap samseng dan memusnahkan harta benda awam pun bermula. Pihak berkuasa diperlekeh. Kepimpinan negara diperlekeh. Sikap hormat-menghormati pun terhapus sama sekali.
Tak kira yang bertudung, yang berjubah, yang berjanggut semuanya terkinja-kinja memekik-mekik kata-kata maki hamun sesama manusia dan sesama Islam. Lebih menggerunkan ialah mereka-mereka ini juga mendidik anak-anak mereka dengan sikap biadab yang sama.
Siapa yang boleh lupa insiden puak PAS menunjuk ‘anu’ kepada Puteri UMNO. Sedarkah kita bahawa semua ini tidak pernah berlaku di dalam pentas politik kebangsaan sebelum era Reformasi?
Di celah-celah itu juga, kumpulan LGBT tiba-tiba menyerlah kan diri secara nyata dan meningkat kan lagi kebiadapan ke satu tahap yang lebih tinggi iaitu kelucahan melampau.
Akhirnya, biadab pun menjadi budaya. Memijak gambar, menghina bendera sendiri, mengutuk negara sendiri dan seterusnya menayang punggung di dalam konsert dan di dalam demonstrasi adalah lanjutan dari budaya biadab yang terus dipupuk dan dibaja oleh pemimpin pembangkang. Rakyat kononnya diseru mereka agar ‘mengekspresi’ diri tetapi apa yang diekspresikan ternyata hanyalah kemarahan, kebencian, dendam yang tidak berasas dan tidak berkesudahan akibat terpengaruh dengan momokan pembangkang.
Kesimpulannya, Pakatan Rakyat adalah bertanggung jawab dalam mencetus, menyebar, memperkukuh dan meningkat kan budaya biadab di kalangan rakyat Malaysia.
Sekiranya Malaysia ingin menebus malu berkaitan kaji selidik Readers’ Digest yang menampilkan kita sebagai negara paling biadab, maka PR perlulah ditenggelamkan agar kemurnian budaya beradab sopan rakyat Malaysia dapat dipulihkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan