KUALA LUMPUR, 11 Mei – Rata-rata pengunjung yang hadir dalam majlis sambutan hari ulang tahun UMNO ke 66 di Stadium Nasional Bukit Jalil merasa teruja dan bersemangat, terutama di kalangan ahli UMNO apabila menyaksikan semangat Gelombang Merah dari seluruh negara yang diterjemahkan kepada satu perhimpunan besar dan bersejarah pada malam ini.
Menurut Mohd Fadhli Arif, 19 , ahli UMNO Bukit Rokan Negeri Sembilan berkata, bahawa ini merupakan satu perhimpunan yang bersejarah buat seluruh ahli UMNO dan secara peribadi buat dirinya.
“Ini adalah pertama kali saya melihat ratusan ribu ahli UMNO berkumpul dengan aman bagi memperlihatkan semangat juang yang tidak pernah padam dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara. Saya sendiri merasa begitu bersemangat dengan perhimpunan ini dan berazam akan terus membantu parti kita untuk terus kekal sebagai tunjang pemerintahan di negara ini,” ujarnya.
Semangat yang sama turut dikongsi oleh rakannya, Mohd Nazri Sutires, 19, yang juga dari Bukit Rokan Negeri Sembilan, di mana kebangkitan aura gelombang merah ini merupakan satu petanda bahawa UMNO sudah bersiap siaga dalam menghadapi pilihanraya yang ke 13 akan datang.
“InsyaAllah, dengan semangat gelombang merah terhimpun yang menggegarkan stadium Bukit Jalil ini merupakan satu petanda bahawa perpaduan UMNO tetap kukuh dan utuh biarpun cuba diganggu guta dengan pelbagai tohmahan dan fitnah selama ini.
“Saya sebagai orang muda, yakin bahawa perjuangan UMNO selama ini berada di atas landasan yang benar dan InsyaAllah, golongan muda akan terus bersama UMNO dalam memuliakan agama, memartabatkan bangsa dan mempertahankan tanahair kita yang tercinta,” ujarnya bersemangat.
Manakala bagi Mohd Nor Rajeae, 54, perhimpunan ini merupakan satu kebangkitan ahli-ahli UMNO dalam memperlihatkan kekuatan dan perpaduan dikalangan ahli UMNO terutama dalam menghadapi pilihanraya yang akan datang ini.
“Saya secara peribadi merasa kagum dan terharu melihat semangat gelombang merah yang telah diperlihatkan oleh ahli-ahli UMNO dari seluruh negara pada malam ini. Ini merupakan satu sejarah buat UMNO dan sebenarnya, bagi saya juga merupakan satu sejarah peribadi kerana pada hari ini adalah harijadi anak saya yang bungsu, Nor Azim yang dilahirkan pada 11 Mei 2006.
“Sebab itu, malam ini saya turut membawa anak saya dalam majlis ini agar dia juga satu hari nanti akan menjadi pewaris perjuangan UMNO untuk agama bangsa dan negara satu hari nanti,” jelasnya sambil memimpin tangan anak bungsunya itu.
Latifah Azizan, 22, berasal dari Kedah pula berpendapat perhimpunan ini merupakan satu tamparan hebat kepada parti pembangkang kerana hari ini, UMNO telah memperlihatkan kekuatan mereka dengan aman berbanding dengan perhimpunan bersih anjuran pembangkang yang ternyata zalim terhadap rakyat dan bersikap biadap dengan melanggar undang-undang negara.
“Bagi saya perhimpunan hari ini adalah sebagai satu mesej kepada umum bahawa UMNO masih terus relevan dikalangan rakyat di negara ini, baik bagi generasi lama dan muda terutama di kalangan orang Melayu.
“Bagi generasi muda, saya berpendapat bahawa kita perlu menjadi pemangkin kepada perjuangan ini untuk memastikan UMNO akan terus menjadi tunjang pembela kepada agama bangsa dan tanahair,” tegasnya yang merupakan ahli Puteri Yan Kedah.
Manakala, perhimpunan kali ini membuatkan Azirah Ismail, 21, agak terkejut apabila melihatkan kehadiran ahli-ahli UMNO dengan semangat gelombang merah yang begitu berkobar-kobar pada malam ini. “Sebagai orang awam, yang tidak pernah menjadi mana-mana ahli parti politik, saya rassa kagum dengan perhimpunan hari ini yang jumlah begitu ramai. Saya sendiri tidak sangka begitu ramai sekali ahli UMNO akan menghadiri majlis sambutan ulang tahun malam ini. Selama ini bermacam-macam cerita tentang UMNO yang saya dengar, tetapi hari ini saya menjadi saksi, bahawa UMNO masih lagi terus kukuh dan kuat sebagai sebuah parti tonggak pada bangsa Melayu,” katanya yang berasal dari Cheras Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan