Kementerian
Pelajaran hari ini mengumumkan peruntukan bernilai RM934 juta bagi
melaksanakan urusan kenaikan pangkat membabitkan lebih 24,000 guru di
seluruh negara secara time based berasaskan kecemerlangan seperti yang
diumumkan Perdana Menteri pada 8 Mac lalu.
Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata daripada jumlah itu, 8,222
adalah guru lepasan ijazah manakala bakinya iaitu 15,831 lagi adalah
guru lepasan diploma.
Katanya, jumlah peruntukan yang besar itu membuktikan kesungguhan dan
komitmen kerajaan dalam memberi pengiktirafan kepada usaha para guru
membentuk modal insan yang berpesonaliti unggul.
“Guru lepasan ijazah dan diploma ini akan dipertimbangkan untuk kenaikan
pangkat apabila memenuhi syarat tempoh perkhidmatan mulai 1 Jun
sehingga 31 Disember 2012.
“Daripada jumlah itu, seramai 390 guru akan dinaikkan ke gred DG54 manakala 676 lagi ke gred DG52.
“Selain itu, 3,938 guru juga dinaikkan gred ke DG48 dan 19,805 lagi dinaikkan ke gred DG44.
“Semakan boleh dibuat melalui laman web Kementerian Pelajaran mulai hari
ini,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Guru Kali Ke-41 di Dewan
Jubli Perak, dekat Kuala Kangsar, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong; Menteri
Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Pengarah Pelajaran
Malaysia, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, bagi guru ijazah gred DG41, hanya
lapan tahun diperlukan untuk kenaikan ke gred DG44; gred DG44 ke -DG48
(lapan tahun); DG48 ke DG52 (enam tahun) dan gred DG52-DG54 (tiga
tahun).
Manakala bagi guru lepasan diploma pula, bagi gred DGA29, hanya lapan
tahun diperlukan untuk naik ke gred DGA32; gred DGA32-DGA34 (lapan
tahun) dan hanya lima tahun untuk gred DGA34 ke DGA38.
Tegasnya lagi, proses kenaikan pangkat Pengetua dari gred DG48 ke DG52
dan Penolong Kanan dari DG44 ke DG48 turut dilaksanakan pihak
kementerian.
“Setakat ini, seramai 854 orang pengetua dinaikkan pangkat dari DG48 ke
DG52 dan 4,270 penolong kanan juga menikmati kenaikan pangkat dari gred
DG44 kepada DG48.
“Kenaikan ini melibatkan pengetua dan penolong kanan yang merupakan
penyandang sedia ada sebelum atau pada 31 Disember 2011 dan memangku
jawatan sebelum atau pada 31 Disember 2010.
“Tarikh kuatkuasa kenaikan pangkat ini adalah pada 1 Januari lalu,” katanya lagi.
Pada majlis itu juga, Muhyiddin turut menyampaikan anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan kepada Datuk Omar Mohd Hashim.
Selain itu, Datuk Ahmad Azmey Abd Talib, Mary Yap Kain Ching, Mohd Azman
Abd Rashid dan Lim Ai Lee masing-masing dinobatkan sebagai Tokoh Guru
Kebangsaan 2012.
Manakala anugerah Tokoh Guru Sekolah Swasta Kebangsaan 2012 menjadi milik Datuk Hasan Harun.PERAK TODAY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan