Jumaat, 6 April 2012

Nizar Dicabar Dedah Surat Bantah Projek Vale SA Di Teluk Rubiah.mpg

Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin yang terus memutar-belit dan mempolitikkan isu kandungan surat sokongan yang ditandatanganinya berkaitan projek Vale SA di Teluk Rubiah akan memberi imej negatif kepada pelabur antarabangsa untuk menanam modal di Perak. Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mahu isu yang sengaja yang diputar-belitkan oleh wakil rakyat PAS itu dihentikan segera kerana ia boleh mempengaruhi pemikiran rakyat jelata. Beberapa wakil rakyat pembangkang juga katanya, turut menyuarakan rasa kecewa dengan isu projek Vale SA yang dimainkan oleh Nizar yang akhirnya boleh memberi imej negatif di mata pelabur. “Kerajaan negeri mahu terus mara ke hadapan dan berharap isu projek Vale SA yang dipolitikkan oleh Nizar ini dapat dihentikan dengan segera,” kata kepada pemberita di Ipoh, hari ini. Zambry berkata, selepas pendedahan surat sokongan yang ditandatangani sendiri oleh Nizar pada 17 Disember 2008, wakil rakyat PAS itu seolah-olah cuba melarikan diri daripada pembohongan yang diciptanya sendiri dengan memutar-belit isi kandungan surat itu. “Berdasarkan kandungan surat itu yang disahkan sendiri oleh Nizar dalam sidang DUN sebagai benar dan sahih, ia dengan jelas membuktikan surat itu bukan ditulis oleh seorang pegawai pemasaran seperti yang didakwanya kepada pemberita semalam. “Semalam, Nizar mendakwa surat itu hanya strategi pemasaran tetapi berdasarkan kepada isi kandungannya, ia membuktikan Nizar dan kerajaan Pakatan menyokong projek Vale SA di Teluk Rubiah. “Tetapi demi menyelamatkan dirinya, beliau terus berbohong kepada rakyat dan menuduh saya selektif ketika mendedahkan dokumen itu….jika beliau berkata demikian, maka saya juga ingin mencabar beliau mendedahkan surat menunjukkan beliau (Nizar) tidak bersetuju projek itu dibangunkan di Teluk Rubiah,” katanya pada sidang media di Ipoh, hari ini. Zambry berkata, jika Nizar terus berbohong, kerajaan negeri tiada pilihan kecuali turun padang memberi penerangan kepada rakyat agar mereka mendapat maklumat tepat berhubung pembohongan besar mantan Menteri Besar itu. Jelasnya, rakyat perlu sedar Nizar pada asalnya tidak pernah bersetuju projek Vale SA dibangunkan di Teluk Rubiah lalu mencabar kerajaan negeri membuktikan perkara itu dengan membuat kenyataan terbuka di media massa dan siri ceramah umum. “Apabila kita mendedahkan surat itu, beliau berasa terpukul dan cuba melarikan diri dengan terus membuat pembohongan yang menampakkan ketidakmatangannya dalam menangani isu ini,” katanya lagi. Ditanya mengenai respon syarikat Vale SA berkaitan tindakan pembangkang yang membantah projek dengan menganjurkan demonstrasi di Teluk Rubiah, Sabtu lalu, Zambry berkata, syarikat pelabur dari Brazil itu faham dengan situasi sebenar dan komitmen yang diberikan oleh kerajaan berhubung projek itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan