Mungkin kerana merasakan sudah terlalu kuat dan kebal, disebabkan berjaya menawan Pulau Pinang selama 2 penggal berturut-turut, seorang pemimpin DAP baru-baru ini dilaporkan telah mengeluarkan satu kenyataan kontroversi dengan memanggil kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sebagai kucing kurap.
Di dalam kejadian Sabtu lalu, ahli parlimen Jelutong, Jeff Ooi dilaporkan telah menghina kakitangan MPPP yang berpangkat rendah. Malah ketika ditanya mengenainya, Ooi seolah-olah bangga dengan perbuatannya itu apabila mengaku memberi label 'kucing kurap' kepada beberapa pegawai MPPP.
Ia disebabkan kerana mereka dikatakan tidak membawa perangkaan terkini mengenai kedudukan penjaja di Jelutong selain tidak berpuas hati apabila pegawai kanan yang sepatutnya hadir tiada dalam sesi lawatan itu.
"You are insulting me by sending a lower officer itu 'kucing kurap' (anda menghina saya dengan menghantar pegawai pangkat rendah itu 'kucing kurap')... Kita nak selesaikan masalah tetapi pegawai kanan itu serah kepada seorang yang lebih junior dan mereka tidak boleh buat keputusan," katanya.
Disebabkan kenyataan itu, ia telah menimbulkan kemarahan orang ramai khusus mereka yang bertugas di MPPP. Media baru-baru ini melaporkan lawatan Ooi di Pasar Jelutong bertukar kecoh apabila seorang pekerja MPPP menggesanya menarik kembali label kucing kurap itu.
Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi, bekas Timbalan Presiden Kesatuan Buruh MPPP Mohd Rofi Osman mendekati Ooi, yang ketika itu sedang mengadakan sidang akhbar mengenai penjaja tidak berlesen, dan dengan suara yang kuat memintanya memohon maaf secara terbuka kepada semua kakitangan MPPP.
Bagaimanapun, Jeff seolah-olah tidak mengendahkan tuntutan Mohd. Rofi yang ditemani isterinya, Aminah Abdullah dan cuba mengelak daripada bersemuka dengan mereka.
Beberapa pembantunya cuba menghalang kedua-dua mereka daripada menghampiri ketika Ketua Staf Pejabat Ketua Menteri itu mengadakan sidang akhbar berhubung penjaja haram di kawasan berkenaan.
Berikutan 'serangan' tersebut, Jeff terpaksa menamatkan segera sidang akhbar berkenaan lalu beredar dari situ.
Rentetan dari itu, Pengerusi PKR negeri, Mansor Othman segera mengeluarkan kenyataan menggesa Ooi agar menarik kembali kenyataan itu sambil meminta maaf. Ia mungkin kerana, Mansor bimbang kejadian tersebut bakal menyebabkan PKR kehilangan sokongan orang Melayu kerana gagal membela isu MPPP ini.
"Jika mahu menegur penjawat awam, beliau perlu melakukannya melalui saluran yang betul. Gangguan sedemikian tidak mencerminkan profesionalisme sebagai seorang anggota Parlimen," kata Mansor yang juga merupakan ahli parlimen Nibong Tebal.
Tambahnya lagi, komen Ooi itu tidak sesuai dan tidak sepatutnya kerana istilah yang digunakan itu bersifat keji dan tercela.
Namun, tetap dengan sikap keras kepalanya, Ooi kembali mempertahankan ucapannya sambil menyindir Mansor.
"Kita hampir terlupa beliau (Mansor) di Pulau Pinang. Adakah dia 'tokong' di sini? Jangan cuba jadi tokong."
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan