ALA SELANGOR - Mangsa kemalangan, Hafizan Rohmad, 33, disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh (HSB) selepas dirawat di unit rawatan rapi (ICU) sejak Jumaat lalu.
Ibu mertua mangsa, Juriah Kusmi berkata, arwah yang tidak sedarkan diri sejak kemalangan itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.
"Alhamdulillah, arwah selamat dikebumikan selepas solat Asar di sebelah pusara isterinya, Nurul Ashikin Ibrahim, 22, di Tanah Perkuburan Masjid Sungai Terap, Tanjong Karang," katanya dalam nada sedih.
Juriah juga bermohon kepada ALLAH agar Allahyarham anak dan menantunya itu ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.
Semalam, Sinar Harian melaporkan, seorang penuntut yang hamil empat bulan maut selepas kereta yang dinaiki bersama keluarganya terlibat dalam nahas membabitkan tiga buah kereta di jalan raya di Kilometer 3.6 Jalan Klang-Teluk Intan, Kuala Selangor, Jumaat lalu.
Kemalangan kira-kira jam 11 pagi itu berlaku setelah seorang pelajar lelaki yang memandu kereta Proton Pesona cuba mengelak sebuah kereta dan tiba-tiba, sebuah kereta yang gagal dikesan jenis dan nombor pendaftarannya masuk secara mengejut ke laluan pelajar tersebut.
Pelajar itu cuba mengelak, namun dia gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta pasangan terbabit.
Akibatnya isteri Hafizan, Nurul Ashikin Ibrahim, 22, meninggal dunia di Hospital Tanjung Karang (HTK) pada hari yang sama manakala anak mereka, Mohd Hafiz Awaluddin, setahun, mengalami kecederaan ringan pada kepala.- Sinar
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan