Bangkit mempersoalkan perkara itu, Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) berkata pakatan pembangkang tidak berhak menuntut mengenai undi popular kerana mereka bertanding mengikut lambang parti masing-masing berbanding BN.
"Setujukah Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bahawa BN memperoleh 48 peratus undi popular atas nama satu parti, satu logo dan satu dasar berbanding pakatan pembangkang yang menggunakan tiga lambang berbeza.
"Sebenarnya undi yang diperoleh pembangkang tidak mengikut dasar, lambang atau parti yang sama, jadi tidak sah untuk dakwa bahawa pakatan pembangkang mendapat undi popular," katanya ketika mencelah semasa Anwar membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat di sini.
Anwar, yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh, dalam perbahasaannya berterusan mendakwa wujudnya penyelewengan dalam pengendalian PRU13 selain menyatakan gabungan PAS-PKR-DAP mendapat sokongan rakyat berdasarkan undi popular yang diperoleh.
Menghangatkan lagi keadaan, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir (BN-Kulim-Bandar Baharu) kemudiannya bangkit meminta pembangkang supaya menerima kenyataan serta keputusan PRU13 bahawa rakyat telah memilih memberi mandat untuk BN terus menjadi kerajaan.
Muka baharu di Parlimen itu juga menggesa supaya pakatan pembangkang untuk bersama maju ke hadapan, bukan lagi terus mempertikai keputusan PRU13 sambil menyatakan sebarang bantahan mengenainya perlu dilakukan mengikut lunas undang-undang melalui petisyen di mahkamah.
"Malah, semua di sini juga sudah bersetuju siapa yang mendapat majority daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan berhak membentuk kerajaan, jadi terimalah hakikat bahawa yang kalah tetap kalah," katanya.
Anwar kemudiannya berkata permohonan pakatan pembangkang menjadi satu parti sudah dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) kira-kira tiga tahun lalu, namun tiada jawapan diperoleh berhubung perkara itu.
Bagaimanapun, jawapan Anwar itu dipertikai Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) dengan menjelaskan apa yang dibangkitkan Annuar ketika mencelah bukan berkaitan permohonan pendaftaran untuk menyertai pilihan raya tetapi soal undi popular yang sering digunakan pembangkang sebagai hujah bahawa BN ditolak rakyat.
Reezal berkata BN bertanding dalam pilihan raya sebagai sebuah parti tetapi pakatan pembangkang masuk sebagai parti yang 'berpecahbelah' dan 'berdiri sendiri', bukannya 'gabungan yang bersatu' sehingga berlaku pertembungan antara PKR dan PAS di banyak tempat.
"Maka sebab itu, kalau diambil perkiraan populariti mengikut dimensi yang sedikit berbeza dan kalau dikira secara 'berdiri sendiri', Umno telah menang 88 daripada 120 kerusi yang ditandinginya," katanya.
Pada PRU13 yang berlangsung 5 Mei lepas, gabungan PAS-PKR-DAP memenangi 89 kerusi Parlimen.
Persidangan bersambung esok.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan