Khamis, 28 Februari 2013

Isu Kalimah Allah: Anwar Dakwa Hadi Menipu

Tika ini ramai ahli dan penyokong PAS yang belum kebas dari demam terkejut dan masih lagi dalam kebingungan gara-gara pendirian rasmi PR yang telah muktamad menggugurkan agenda perlaksanaan hukum hudud dari Manifesto PR.

Tambah mengeruhkan keadaan bila mana Manifesto PR tanpa agenda hudud itu turut disepakati dan diperakui oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Lebih parah lagi, tiga hari selepas Manifesto PR bertemakan "Pakatan Harapan Rakyat" dilancarkan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-4 di SACC Shah Alam, Selangor pada 25 Februari 2013 lepas, tak semena-mena Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim tampil menyalahkan Hadi Awang berhubung kontroversi isu kalimah Allah.

Ketua Umum PKR itu mendakwa ketetapan bersama PR pada 8 Januari 2013 lalu untuk membenarkan kalimah Allah s.w.t diguna pakai oleh orang bukan Islam termasuklah untuk kegunaan kitab Bible versi Bahasa Melayu hanya dimuktamadkan selepas mendapat penerangan dan persetujuan Presiden PAS.

Maksudnya, PR tidak akan mengambil ketetapan sedemikian jika Hadi menerangkan perkara benar. Tapi disebabkan Hadi telah menyembunyikan kebenaran, akhirnya PR terjerumus ke kancah kontroversi. Ini dakwaan serius, ia seperti menuduh Hadi telah menipu Anwar dan PR.

Anwar juga menegaskan kenyataan rasmi yang diiktiraf sebagai dasar PR yang disepakati bersama berhubung isu itu juga dibaca dan ditandatangani sendiri oleh Hadi Awang sebagai mewakili PAS. Gayanya seperti Anwar mahu memberitahu khalayak yang kesilapan yang dilakukan oleh PR disebabkan Hadi.

PAS patut tampil ke depan mempertahankan maruah Presidennya, itu pun kalau terasa masih ada sekelumit keberanian untuk berdepan dengan Anwar. Tapi jika berdiam diri atau sekadar sepintas lalu sahaja menjawab dakwaan Anwar, bermakna betullah dakwaan itu.

Anwar memang akan sedaya upaya melepaskan dirinya dari dikaitkan dengan kesilapan pendirian PR dalam isu kesucian kalimah Allah s.w.t, dengan cara mengalihkan beban ke bahu Hadi. Itu kehebatan Anwar dalam bab spin sana sini. Hadi dan pemimpin PAS sahaja yang masih belum sedar.

Pun begitu, sama ada Anwar, Hadi mahupun PR dan PAS, kesemua mereka telah melakukan telah memilih pendirian dalam isu sensitif ini. Suka atau tidak, kenalah terima hakikat selagi PR kekal dengan pendirian 8 Januari 2013, selagi itulah amarah umat Islam akan terus menghantui PAS dan PR.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan