Jumaat, 21 Disember 2012

Laporan IAEA : Kontroversi Isu Loji Pemprosesan Nadir Bumi LYNAS.

Izardy Amiruddin

Satu kajian telah dilakukan oleh IAEA (International Atomic Energy Agency) dari segi aspek keselamatan radiasi bagi loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan dari penghujung Mei hingga awal Jun 2011.

Kajian yang dilakukan dalam tempoh ini adalah hasil dari jemputan dan komitmen kerajaan Malaysia, bagi memastikan sejauh mana tahap keselamatan radiasi loji pemprosesan nadir bumi Lynas.

Menurut laporan IAEA, pemprosesan nadir bumi Lynas bermula dengan aktiviti perlombongan dan diikuti proses penyaringan di Mt. Weld, Australia Barat. Nadir bumi yang telah melalui proses saringan ini kemudian dihantar ke Gebeng, Kuantan bagi proses menghasilkan produk akhir.

Beberapa perkara penting yang dipetik dari laporan IAEA ialah nadir bumi yang diimport dari Mt. Weld, Australia Barat dan kaedah pengurusan sisa bahan berkenaan di Malaysia adalah selari dengan garis panduan antarabangsa bagi kaedah pemprosesan bahan galian yang juga merangkumi bahan galian semulajadi bersifat radioaktif (NORM, Natural Occuring Radioactive Material) .

IAEA turut menyemak perkara ini melalui RPP (Radiation Protection Program) oleh Lynas dan membuat kesimpulan bahawa sekiranya RRP ini diimplementasikan,  tidak akan ada kesan radiologi berbahaya kepada orang awam dan pekerja apabila loji beroperasi.

Menurut laporan IAEA, peraturan keselamatan radioaktif di Malaysia juga adalah lebih ketat berbanding apa yang telah digariskan oleh IAEA.

Sebagai contoh, dos yang diterima orang awam ialah 0.3mSv/year dan bagi pekerja loji pula 10mSv/year berbanding limit dos yang dibenarkan IAEA iaitu 20mSv/year.

Dari panduan keselamatan oleh IAEA, bahan dengan konsentrasi aktiviti radionuklid di bawah 1Bq/g berada dalam lingkungan batu-batuan dan tanah yang biasa dan tidak dianggap sebagai radioaktif.

Bahan yang mempunyai konsentrasi aktiviti radionuklid dalam lingkungan 1Bq/g hingga 10Bq/g pula boleh dianggap radioaktif, namun boleh dipertimbangkan untuk pengecualian dari badan-badan kerajaan yang bertanggungjawab mengawal selia perlesanan (AELB ).

Walau bagaimanapun, ini juga bergantung sekiranya dos radiasi yang diterima oleh individu tidak melebihi 1mSv/year. Hasil kajian RIA (Radiological Impact Assesment) mendapati dos purata radiasi bagi pekerja yang terdedah ialah 2mSv/year . Kajian dibuat berdasarkan anggaran maksima 400 orang pekerja di loji Lynas. Oleh yang demikian, dalam kes ini pengecualian perlesenan dari AELB (Atomic Energy Licensing Board) adalah tidak dibenarkan.

Dari segi pengurusan sisa, loji Lynas menghasilkan 3 jenis sisa iaitu Flue Gas Desulphurization (FGD) , Neutralization Underflow (NUF) dan Water Leach Purification (WLP). Konsentrasi aktiviti radionuklid bagi FGD dan NUF adalah hampir sama dengan nilai bagi batu-batuan dan tanah di Malaysia.

Walau bagaimanapun, tiada peruntukan peraturan AELB bagi membolehkan FGD dan NUF dikecualikan dari klasifikasi sisa radioaktif. IAEA walau bagaimanapun telah mencadangkan supaya AELB memperuntukkan kriteria yang membenarkan FGD dan NUF diisytiharkan sebagai tidak radioaktif untuk membolehkan bahan ini dikeluarkan dari loji dan sekiranya perlu, ia diisytiharkan sebagai bahan buangan berjadual.

Pasukan yang membuat kajian ini juga mengalu-alukan usaha Lynas untuk memproses semula sisa bahan pepejal (WLP) yang dihasilkan loji kedalam bentuk yang boleh diguna pakai semula.

Sisa yang terhasil ini akan di simpan secara sementara di tempat penyimpanan sisa (RSF, Residue Storage Facility) sebelum dikitar semula. Sisa yang tidak boleh dikitar semula akan dilupuskan di tempat pelupusan sisa.

Undang-undang di Malaysia memperuntukkan 5 jenis lesen bagi membolehkan pembangunan dan pengoperasian loji-loji seumpamanya di negara ini dan 5 jenis lesen yang dimaksudkan ialah lesen menduduki, lesen pembinaan, lesen pra-pengoperasian, lesen pengoperasian dan lesen bagi operasi pemuliharaan (decontiminate).

Kajian dilakukan oleh IAEA adalah berdasarkan dokumentasi yang diperoleh bagi fasa di bawah lesen pembinaan. Bagi fasa seterusnya Lynas akan menghantar dokumen-dokumen berkaitan kepada AELB Malaysia untuk diteliti bagi tujuan perlesenan pra-pengoperasian dan pengoperasian.

IAEA telah membahagikan skop kajian kepada 5 perkara iaitu dari segi aspek perlindungan radiasi , pengurusan sisa, pemuliharaan , pengangkutan, dan penilaian keselamatan.

Kajian yang dilakukan membabitkan pakar dari 5 buah negara iaitu Leo M. Lowe (Canada) , Ulric Schwela (United Kingdom), P.M.B Pillai (India), Jan Van Der Steen (Belanda) , Dennis Wymer (Afrika Selatan) dan beberapa kakitangan dari IAEA itu sendiri.

Hasil kajian yang diperolehi dari pakar-pakar dan kakitangan IAEA menyatakan operasi kilang Lynas di Gebeng mematuhi segala garis panduan keselamatan radiasi yang ditetapkan standard antarabangsa.

Walau bagaimanapun 7 perkara dibangkitkan iaitu;

Pelan pengurusan sisa bagi jangka panjang oleh Lynas kepada AELB bagi penilaian.
Pelan pengurusan sisa dan pemuliharaan kawasan sekitar apabila operasi dihentikan oleh Lynas kepada AELB bagi penilaian.
AELB perlu menggunakan data-data yang diperoleh apabila loji mula beroperasi dan kesan kepada pekerja dan penduduk sekitar untuk penilaian yang lebih tepat.

AELB perlu mencadangkan satu kriteria yang membenarkan Flue Gas Desulphurization (FGD) dan sisa bagi Neutralization Underflow (NUF) diisytiharkan sebagai tidak radioaktif untuk membolehkan bahan ini dikeluarkan dari loji dan sekiranya perlu, ia diistiharkan sebagai bahan buangan berjadual.

AELB perlu melaksanakan mekanisma bagi memperoleh dana pengurusan sisa dalam tempoh jangka masa yang panjang dengan Lynas sebagai penyumbang dana.

Kerajaan Malaysia perlu memastikan operasi loji Lynas di Gebeng mempunyai tenaga kerja mahir, kewangan yang kukuh serta sumber-sumber teknikal yang mencukupi.

Adalah menjadi tanggungjawab AELB dan Kementerian berkaitan untuk mengemaskini panduan terutama perkara berkaitan (NORM, Natural Occuring Radioactive Material) berdasarkan standard antarabangsa yang terkini.

Selain itu, kumpulan yang mewakili orang awam ini turut mencadangkan supaya AELB dan Lynas memainkan peranan yang efektif dalam memberi penjelasan yang mudah difahami terutama dari segi keselamatan dan kesan operasi loji pemprosesan nadi bumi Lynas pada orang awam.
 
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan