Isnin, 8 Oktober 2012

100 HARI PEMERINTAHAN MORSI DAN IKHWANUL MUSLIMIN - LANGSUNG TIADA TANDA PENERAPAN ISLAM!

Agenda Yahudi

[SN323] Presiden Mesir, Mohammed Morsi, menghabiskan 100 harinya sebagai presiden di Amerika Syarikat, di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Mohammed Morsi mengangkat sumpah sebagai Presiden Mesir pada hari Sabtu 30 Jun dengan penuh kemegahan dan keraian.Kemenangan Morsi di dalam pilihan raya adalah detik unik dalam sejarah baru Mesir. Dari segi zahirnya, Mohammed Morsi telah dipilih oleh rakyat,suatu perkara yang tidak boleh didakwa oleh para presiden pendahulunya. Morsi juga merupakan pemimpin pertama dari kalangan orang awam dalam sejarah baru negara itu. Partinya,Ikhwanul Muslimin telah melakukan usaha untuk perubahan selama lebih lapan dekad.

Mohammed Morsikini berada ditempat duduk utama dalam sebuah negara yang paling berpengaruh dan berkuasa di rantau itu dan mungkin di dunia Islam.Kedua-dua Mohammed Morsi dan Ikhwanul Muslimin sekarang sedang berhadapan dengan cabaran sebenar dunia yang sememangnya kena dihadapi oleh mana-mana ketua negara sekalipun. Morsi naik menjadi presiden Mesir hasil usaha umat Islam yang keluar beramai-ramai ke jalanan bagi menjatuhkan Mubarak dan tidak kurang banyaknya jiwa yang melayang di dalam proses tersebut. Kini, setelah 100 hari Morsi duduk di kerusi empuk pemerintahan, marilah kita, dengan ikhlas, sama-sama menilai sama ada tuntutan umat Islam amnya dan rakyat Mesir khasnya, telah dipenuhi atau tidak. Marilah kita menilai sama ada darah yang telah ditumpahkan oleh umat Islam di dalam menjatuhkan kezaliman telah terbayar atau tidak setelah 100 hari Morsi berada di takhta pemerintahan.

Perlembagaan

Tatkala Morsi dan Ikhwanul Muslimin berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan, kemenangan pilihan raya tersebut secara hakikatnya terjadi dalam keadaan di mana ‘kuasa’ seorang presiden tidak dijelaskan dan perlembagaan negara juga masih tidak digubal. Selepas 100 hari berkuasa, kebanyakan sistem lama masih tetap tidak tersentuh sedikitpun. Morsi dan Ikhwanul Muslimin masih tidak membentangkan visi yang signifikan untuk negara Mesir, apatah lagi untuk umat Islam. Selama ini perjuangan mereka menggunakan slogan “Islam sebagai penyelesaian” yang nampaknya kini sudah mereka tinggalkan. Satu perkara yang sememangnya tidak ada hingga kini ialah, ke manakah mereka (Morsi dan Ikhwanul Muslimin) merancang untuk membawa umat dan bagaimanakah perancangan mereka untuk mensejahterakan umat. Dari segi sejarah, kita dapat melihat bagaimana semua kuasa besar dan pemimpin yang hebat di dunia memiliki suatu visi besar yang mereka laksanakan di dalam menghimpun dan menyatupadukan rakyat di belakang mereka serta mereka turut melibatkan rakyat dalam memberi sumbangan kepada masa depan negara.

Sejak kemenangannya di dalam pilihan raya, Ikhwanul Muslimin telah melangkah jauh mempamerkan sikap moderat mereka terhadap Barat. Malah, dalam ketergesaan mereka untuk “menyejukkan” pendapat antara bangsa (international opinion), mereka telah meninggal kan rujukan kepada politik Islam dalam pemerintahan mereka yang kononnya selama ini mereka perjuangkan. Dengan melakukan hal ini, mereka fikir mereka bersikap pragmatik, bijak dan celik politik. Apabila berbincang tentang kewajipan pelaksanaan politik Islam, mereka menyebut (memberi dalih) tentang halangan perlembagaan dan keperluan menjaga hak warga minoriti. Apabila berbincang tentang kewajipan pelaksanaan ekonomi Islam, mereka menyebut (memberi alasan) tentang keperluan untuk menghindari ketakutan pelabur antarabangsa dan juga pelancong asing. Apabila berbincang tentang kewajipan pelaksanaan dasar luar negeri Islam, mereka menyebut (memberi alasan) tentang keperluan mempamerkan imej yang moderat dan menyenangkan Barat. Inilah hakikat Ikhwanul Muslimin yang dapat disaksikan sekarang!

Ekonomi

Antara cabaran terbesar yang perlu dihadapi oleh Morsi ialah ekonomi. Buat masa ini, ekonomi Mesir bernilai $168 billion, yang sebahagian besarnya datang dari sektor pertanian, media, eksport petroleum dan pelancongan. Industri perkhidmatannya menyumbang sebanyak 49% daripada ekonomi negara.

Masalah ekonomi Mesir, sebagaimana masalah di dunia Islam lainnya, ialah, ia dikawal oleh sekumpulan kecil golongan elit (para Kapitalis). Apabila golongan elit mengawal ekonomi, mereka menggunakan kuasa mereka untuk mewujudkan monopoli dan menyekat kemasukan orang-orang baru dan syarikat-syarikat baru. Inilah hakikat keadaan ekonomi Mesir sejak tiga dekad berada di bawah Hosni Mubarak. Ikatan besar ekonomi dipegang oleh kerajaan dan pihak tentera – dianggarkan sebanyak 40%. Walaupun mereka melakukan liberalisasi ekonomi, mereka menswastakan pula sebahagian besar sektor ekonomi kepada kroni-kroni Mubarak dan anaknya, Jamal. Ahli-ahli perniagaan besar semuanya sangat rapat dengan rejim, seperti Ahmed Ezz (bidang besi dan keluli), keluarga Sawiris (bidang multimedia, minuman dan telekomunikasi) dan Mohammed Nosseir (bidang minuman dan telekomunikasi). Mereka bukan sahaja mendapat perlindungan daripada kerajaan, malah mendapat banyak kontrak kerajaan dan pinjaman bank dengan jumlah yang besar. Secara bersamaan, para Kapitalis raksasa ini dengan kekuatan ekonomi luar biasa yang mereka miliki, telah memberikan keuntungan yang tidak pernah putus kepada rejim dari dalam dan dalam masa yang sama menyekat peluang sebahagian besar rakyat untuk keluar dari kemiskinan. Sedangkan keluarga Mubarak berseronok dengan himpunan kekayaan mencecah sehingga $70 billion.

Strategi Morsi untuk menyelesaikan masalah ekonomi ialah dengan mengambil pinjaman IMF sebanyak $4.9 billion! Perdana Menteri Mesir, Hesham Qandil menggambarkan pinjaman yang kena dilangsaikan dalam masa 5 tahun dengan faedah (riba) sebanyak 1.1% itu sebagai “good deal for the country” (urusan yang baik untuk negara)! Begitulah hakikat apabila pemimpin tidak berhukum dengan hukum Allah di mana pinjaman dari institusi kufur dengan riba yang jelas lagi nyata keharumannya, dianggap sebagai suatu yang baik!Perdana Menteri Mesir itu muncul secara langsung di televisyen kerajaan Mesir dalam usaha terdesak untuk menjustifikasi pinjaman tersebut dengan menjelaskan manfaatnya kepada rakyat. Walau bagaimanapun, beliau tidak dapat menyembunyikan kebenaran dan dalam kenyataan berikutnya nampak jelas pertentangannya di mana terdedahnya salah satu syarat yang dikenakan oleh IMF, yakni memaksa kerajaan Morsi untuk mengurangkan perbelanjaan yang terkait dengan menjaga hal ehwal rakyat Mesir. Hesham berkata, “Ia adalah satu program kerajaan Mesir, yang akan memotong (mengurangkan) perbelanjaan dan mengambil langkah-langkah perlu yang lain.”

Takut akan tindak balas daripada rakyat, Qandil sengaja memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai langkah-langkah zalim lainnya. Suatu yang maklum bahawa langkah-langkah lain yang dimaksudkan adalah menaikkan cukai, menaikkan harga barang-barang keperluan utama dan mengambil pinjaman selanjutnya dari institusi-institusi lain, yang kesemua ini akan membuat rakyat semakin menderita dan menambahkan lagi kesengsaraan mereka.Akhbar Financial Times telah mengesahkan langkah-langkah ini. Pada 22 Ogos 2012, akhbar itu menyebut, “IMF mahu Mesir menggariskan rancangan untuk mengurangkan defisit belanjawan dengan mengukuhkan cukai dan memotong belanja sektor awam yang mahal, termasuk subsidi bahan bakar dan subsidi makanan.Mesir juga perlu mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan yang lain sebagai sebahagian daripada terma pinjaman.”

Israel

Morsi menyatakan dengan jelas dalam ucapan kemenangannya bahawa dia akan meneruskan kesemua perjanjian antara bangsa yang telah ditandatangani oleh Mesir. Tidak lama, belum pun debu sempat melekat pada badannya, Morsi telah pun menghantar satu surat mengesahkan komitmen Mesir terhadap perjanjian damai dengan Israel. Dalam surat yang dihantar ke Simon Peres (Presiden Israel), Morsi menyatakan, “Saya memandang ke hadapan dalam mencurahkan usaha terbaik kami untuk mengembalikan proses Perjanjian Damai Timur Tengah ke landasannya yang sebenar demi mencapai keselamatan dan kestabilan kepada semua orang di rantau ini, termasuk orang-orang Israel.” Di sebalik penafian yang bersungguh-sungguh dibuat oleh wakil Morsi, surat tersebut ternyata di dapati tulen. Akhbar UK, The Guardian melaporkan bahawa pejabat Peres menyatakan yang pembantu Presiden telah menerima surat rasmi tersebut pada 31 Julai 2012 daripada Duta Mesir ke Israel, melalui surat berdaftar dan juga faks daripada Kedutaan Mesir di Tel Aviv. Tambahan lagi, akhbar tersebut menyatakan bahawa nombor faks yang tertera pada kertas faks adalah nombor berdaftar Kedutaan Mesir di Tel Aviv.

Sejurus selepas peristiwa tersebut, pada bulan Ogos2012, kerajaan Morsi memutuskan untuk menghantar tentera untuk mengesan dan menghapuskan ancaman militan di Sinai. Ini berlaku selepas adanya tuduhan bahawa militan membunuh 16 tentera peronda sempadan di pusat pemeriksaan di Sinai berhampiran sempadan Israel. Pembunuhan tentera Mesir telah digunakan sebagai asas untuk membuang ketua perisikan, ketua polis tentera dan Gabenor Utara Sinai. Beberapa minggu kemudian ketua Supreme Council of the Armed Forces (SCAF), Tantawi dan Sami Annan pula telah bersara.
Penyingkiran jeneral kanan ini telah terbukti bukannya suatu hal yang terlepas daripada pengetahuan AS, apabila Jabatan Dalam Negeri AS mengesahkan yang ia tahu mengenai perubahan dalam kedudukan tentera sebelum ia berlaku, sebagaimana dilaporkan oleh jurucakap AS, “Hillary Clinton tahu mengenai perbincangan yang berlaku berkenaan pasukan pertahanan baru dan hal ini telah diberitahu kepadanya semasa rundingan dengan Presiden Morsi di Kaherah pada bulan lepas bahawa perubahan itu akan dibuat pada suatu masa yang sesuai. ”Mengulas mengenai pelantikan kakitangan baru untuk kementerian pertahanan dan tentera itu, pentadbiran AS berkata, “Ketua pegawai tertinggi baru tentera Mesir adalah satu komoditi yang terkenal di Washington.”

Tindakan ketenteraan yang luar biasa besarnya oleh kerajaan Morsi di Sinai telah menimbulkan beberapa persoalan. Taktik yang dilakukan dan senjata berat yang digunakan adalah benar-benar tidak seimbang dengan kejadian yang berlaku. Associated Press melaporkan bahawa, “pasukan tentera Mesir, kereta kebal ringan, kenderaan berperisai dan helikopter penyerang sedang menuju ke padang pasir Sinai dengan banyak sekali.” Berdasarkan perjanjian Kem David antara Mesir dan Israel yang ditandatangani pada tahun 1979, Sinai merupakan zon larangan tentera di mana Mesir tidak dibenarkan untuk membawa masuk tentera dan senjata berat ke sana.

Sikap diam sepenuhnya Israel dalam kes ini adalah sungguh pelik dan menggambarkan bahawa ada sesuatu di sebalik kejadian ini. Israel sering melahirkan kebimbangan yang amat sangat mengenai sebarang penambahan mana-mana tentera di Sinai. Namun, semua ini dapat difahami apabila Leftenan Jeneral Ahmed Ali daripada Angkatan Tentera Mesir mengesahkan dalam satu taklimat bahawa, “Terdapat ko-ordinasi berhubung kehadiran tentera di kawasan Sinai” dia seterusnya menyambung, “Saya fikir terdapat kesefahaman bahawa operasi ketenteraan di Sinai adalah untuk kepentingan semua pihak.”Seorang pegawai kerajaan Israel, yang tidak mahu disebutkan namanya kerana kesensitifan isu yang dibincangkan, menjelaskan bahawa terdapat komunikasi berterusan di antara kedua-dua pihak (Israel dan Mesir).

Sedikit Peringatan

Sesungguhnya Morsi dan Ikhwanul Muslimin sudah tidak lagi bercakap tentang “Islam sebagai penyelesaian”. Kalau ada pun, ia hanyalah sekadar cakap kosong sebagai penyedap mulut yang langsung tidak dibuktikan melalui tindakan/amalan. Saad al-Husseini, seorang ahli Biro Eksekutif Parti Kebebasan Dan Keadilan (FJP) Mesir, berkata dalam satu temu ramah bahawa pelancongan adalah suatu yang penting untuk Mesir dan menekankan bahawa meminum dan menjual arak adalah diharamkan oleh Islam. Bagaimana pun, dia kemudian menambah, “Namun demikian, hukum Islam juga melarang mengintai di tempat persendirian dan hal ini terpakai untuk kawasan-kawasan pantai juga…..Justeru, saya mengharapkan kedatangan 50 juta pelancong ke Mesir walaupun mereka datang dalam keadaan bogel.”

Dari kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan, nampaknya Morsi dan Ikhwanul Muslimin sudah tidak lagi bersandar kepada slogan “Islam adalah penyelesaian”, meskipun sandaran tersebut sebenarnya kelihatan penuh dengan kepura-puraan. Dari sudut ekonomi, teramat jelas bahawa Morsi dan Ikhwanul Muslimin tidak mempunyai apa-apa agenda. Dari sudut yang lebih besar, Morsi dan Ikhwanul Muslimin sebenarnya tidak ada pelan pun untuk menukar status quo, hanya mengekalkan sahaja apa yang telah dibina oleh pemimpin Mesir sebelumnya. Realiti sekarang menunjukkan bahawa kumpulan Islam yang pernah meringkuk dalam penjara kezaliman Mubarak, yang melaungkan “Islam sebagai penyelesaian”, sebenarnya kini hanya membawa umat semakin jauh daripada Islam.

Mohammed Morsi dan Ikhwanul Muslimin seharusnya ingat dan sedar bahawa di kala Mubarak menjaga kuffarBarat, bukannya menjaga umat, umat lama-kelamaan bangkit menentangnya…dan apabila dia tidak mahu turun, umat turun ke jalan-jalan untuk menurunkannya, yang kemudian berakhir dengan kehinaan untuknya. Sekiranya Morsi dan Ikhwanul Muslimin gagal memenuhi kehendak umat yang mahukan Islam, bahkan yang lebih penting, gagal memenuhi kehendak Allah dan RasulNya, maka kesudahan yang sama sesungguhnya sedang menanti mereka.

Khatimah

Revolusi umat yang mahukan perubahan di dunia Arab ternyata kini telah dikhianati. Umat mahukan perubahan, kerana itulah mereka bangkit dan sanggup berkorban hingga menggadaikan nyawa kerananya. Perubahan yang diingini sudah tentu perubahan dari keadaan buruk kepada keadaan yang baik dan sesungguhnya kebaikan itu akan wujud hanya sekiranya Islam diterapkan. Perubahan sekadar wajah pemimpin tanpa perubahan sistem yang memimpin, bukanlah perubahan yang sebenar. Perubahan yang sebenar hanya akan berlaku apabila sistem kufur-sekular yang sedia ada diganti dengan sistem Islam melalui penerapan syariah dan Khilafah. Namun hingga kini, setelah 100 hari parti Islam memerintah, satu hukum Allah pun masih tidak kelihatan di bumianbiya’ itu. Terbukti, duduknya anggota partai Islam di kerusi pemerintahan tidak menjamin apa-apa selama mana pemikirannya adalah sekular.

Selagi mana hukum Allah tidak diterapkan, tidak kiralah apa dalihnya sekalipun, ia hanya membuktikan bahawa parti Islam yang memerintah sesungguhnya saling tak tumpah dengan parti sekular! Selama mana pemerintahannya bergelar demokrasi, meskipun berbalut Islam dengan istilah negara madani (ad-daulah al-madaniyah), intinya tetap melestarikan sekularisme, kapitalisme dan ketundukan kepada Amerika selaku tuan kepada demokrasi! Sungguh sayang apabila darah para syuhada’ yang tumpah di sepanjang revolusi semata-mata kerana inginkan Islam, kini telah disia-siakan dengan sebuah pengkhianatan apabila Islam tidak diterapkan di dalam pemerintahan. Kerana itu, kepada para pejuang yang ikhlas yang ingin melihat agama Allah ditegakkan, perjuangan mesti diteruskan hinggalah kekuasaan Islam sebenar dapat diraih dengan penerapan syariat secara kaffah di bawah naungan Daulah Khilafah. Hanya dengan berdirinya Negara Khilafah, maka barulah perubahan yang sebenar akan berlaku, yang seterusnya akan membayar semula segala kemuliaan darah yang telah tertumpah di bumi yang dipenuhi dengan tinta emas sejarah Islam itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan