Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tinjauan mesra oleh PPD boleh menyelesaikan isu setempat dan mampu memupuk semangat kekeluargaan antara mereka dan guru, guru besar serta pengetua.
"Dalam konteks mengurus, kita tidak boleh lagi merancang pembangunan sekadar melihat dari jauh atau dari atas. Kita perlu turun melihat dan rasai sendiri pengalaman permasalahan yang berlaku terutama di kawasan pedalaman.
"Berdasarkan keputusan unjuran semata-mata tidak mencukupi tanpa usaha untuk mendapatkan maklum balas berhubung sebab-sebab dan akibat daripada kelewatan penyelesaian yang mengundang kesan yang lebih buruk," katanya semasa berucap merasmikan Konvensyen Pemantapan Profesionalisme Pegawai-Pegawai Pelajaran Daerah Peringkat Kebangsaan 2012 di sini, Selasa malam.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata peranan luas yang perlu diberi perhatian oleh PPD adalah bagi memastikan kejayaan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Beliau berkata PPD merupakan barisan hadapan bagi mencapai sistem pendidikan yang berkualiti tinggi pada masa hadapan dan tidak ketinggalan dalam peringkat global.
Katanya PPD, sebagai entiti yang hampir dengan sekolah, harus memahami dasar-dasar kerajaan agar dapat melestarikan program tranformasi untuk masa hadapan negara.
Muhyiddin berkata dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, kementerian telah memulakan profil kecekapan dan membina pelan penggantian bagi memastikan peranan PPD diisi oleh individu yang berkemahiran tinggi dan mampu mentransformasikan sekolah yang dikendalikan mereka.
Katanya langkah tersebut untuk memantapkan PPD sebagai pemimpin terbaik yang akan diberi lebih kuasa melalui pengurusan transformasi seperti diberi keupayaan untuk membuat keputusan operasi yang utama dalam hal ehwal bajet, urusan lantik kerja seperti pelantikan guru dan guru besar.
Beliau berkata penstrukturan PPD tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat dan akan mantap sepenuhnya menjelang 2014.
– BERNAMA
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan