23 September 2012
SUNGAI PETANI - Seorang nelayan Tanjung Dawai, dekat sini gembira apabila mendapat tahu anak perempuannya yang hilang lima tahun lepas masih hidup dan ingin pulang ke pangkuan keluarganya.
Abdul Hamid Mat, 50, dari Kampung Nelayan Tanjung Dawai berkata beliau menerima surat bertarikh 8 Ogos lepas yang dihantar anaknya, Munirah yang kini berumur 21 tahun dari Flores Timur, Indonesia.
"Munirah menulis alamat bagaimanapun tidak memberikan butiran lengkap dirinya cuma menyatakan dia berada di Flores Timur dan meminta tolong dibawa pulang ke Malaysia.
"Selepas terima surat itu saya tidak tahu nak minta tolong dengan siapa.
Alhamdulillah Penyelaras Parlimen Merbok, Datuk Tajul Urus Mat Zain sudi membantu," katanya kepada pemberita semasa dikunjungi Tajul Urus di rumahnya, hari ini.
Menurut Abdul Hamid anak ketiga dari lima beradik itu yang belajar dalam tingkatan empat di Sekolah Menengah Seri Badung, Singkir, Yan menghilangkan diri semasa dalam perjalanan ke sekolah pada 2008.
Katanya Munirah pernah menghantar pesanan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) semasa dibawa lari ke Batam, Indonesia.
"Saya telah melaporkan kes ini kepada polis namun usaha mencari Munirah di Batam gagal. Sekarang saya rasa gembira sikit dan mendoakan agar ada pihak sudi menolong membawa dia balik," kata Abdul Hamid.
Tajul Urus yang juga ketua UMNO Bahagian Merbok berkata beliau akan meminta bantuan Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang berpengalaman membawa mangsa yang dilarikan ke negara asing untuk membantu membawa Munirah pulang.
"Sementara itu, saya harap Abdul Hamid dan keluarganya dapat bersabar kerana ada prosedur yang perlu dipatuhi untuk membawa Munirah pulang," katanya. - Bernama
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan