Jumaat, 27 Julai 2012
Azizan Tak Tahu Hubungkait Calon MB Dengan Isu Rakyat
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang terkenal dengan panas baran semalam melenting dengan Majlis Profesor Negara (MPN) apabila hasil kajian mereka yang membabitkan isu Pilihanraya Umum ke-13 tidak memihak kepada Pakatan Rakyat.
Sebaik dimaklumkan mengenai kajian tersebut, Azizan langsung tidak mengambil walau sesaat dari masanya untuk merenung dan memikirkan kenapa hasil kajian MPN menunjukkan yang sokongan rakyat Kedah sudah kembali kepada BN. Azizan langsung tidak terfikir akan kemungkinan beliau benar-benar ada kelemahan, kesilapan, lemah dan tidak prihatin terhadap tuntutan rakyat sepertimana yang ditunjukkan oleh hasil kajian tersebut.
Sebaliknya beliau pantas berkata isu yang dikaji termasuk memilih calon MB adalah remeh dan tidak sesuai difokuskan oleh golongan cerdik pandai. Beliau juga merendah-rendahkan tahap pemikiran MPN serta secara sinis menuduh mereka diperalatkan oleh pihak BN. Kata beliau, MPN seharusnya mengkaji isu yang lebih serius seperti masalah isu rakyat, membangunkan negeri atau mempertahan kuasa.
Sememangnya, meremehkan dan memperlekehkan orang lain sudah menjadi kewajiban bagi pemimpin PAS seolah-olah hanya mereka sahaja yang bijak lagi maksum di dunia ini. Dan sudah menjadi kelaziman bagi pembangkang untuk menuduh apa saja yang tidak menyebelahi mereka sebagai alat atau didalangi BN.
Kata beliau, "Ini suatu yang malang kerana golongan cerdik pandai sepatutnya mengkaji isu yang lebih serius.”
Tetapi, yang malang di sini ialah rakyat Kedah kerana mendapat Menteri Besar yang sudahlah tidak tahu dan tidak mampu berbuat apa-apa, sombong dan bongkak serta enggan bertanggungjawab atas apa saja. Mudah sungguh menjadi MB nampaknya. Hanya duduk goyang kaki, pekakkan telinga, butakan mata, tetapi buka mulut menengking sesiapa saja yang mengkritiknya.
MPN bukan mewakili BN, jauh sekali bekerja untuk BN. Kajian tentang calon MB membawa signifikan tersendiri bagi isu-isu serius yang disebut oleh Azizan iaitu isu rakyat, membangunkan negeri atau mempertahan kuasa. Ini kerana, siapa MB yang dipilih akan menentukan sama ada isu-isu serius tersebut akan dapat ditangani dengan baik. Jika tersilap memilih MB seperti Azizan, maka hasilnya pastilah seperti apa yang berlaku di Kedah hari ini.
Masalah balak, air, pencemaran, madrasah, pelancongan, pelaburan, tanah rizab Melayu, KUIN telah puas diperkatakan sehinggakan rakyat yang terlibat secara langsung dengan isu-isu tersebut hampir putus asa sama sekali. Kata mereka, tidak guna memberitahu MB kerana beliau hanya akan berkata semua sudah selesai.
Secara realiti, apa yang selesainya?
Yang selesainya adalah wang negeri yang semakin hari semakin susut. Tiada satu pun projek yang dicadang dan dicanang di bawah kerajaan PAS Kedah yang menjadi. Cakap-cakap di bawah kedengaran berkata, bagaimana projek boleh menjadi jika diberi kepada puak-puak PAS yang tidak punya pengalaman, mahupun modal untuk melaksanakannya?
Begitulah malang sekali nasib rakyat Kedah kerana mendapat MB yang tidak faham pun akan hubungkait dirinya dengan isu-isu serius di kalangan rakyat.
Hakikatnya, Azizan adalah MB yang buta IT dan beliau pastinya tidak dapat memahami bagaimana maklumat, termasuk perkara sulit boleh tersebar dan merebak dengan mudah. Beliau tidak tahu bahawa rakyat punya akses untuk meneliti sendiri perkara-perkara yang dinyatakan atau dinafikannya. Hanya dengan menepis dan menempelak orang lain tidak menjadikan beliau MB yang bijak.
Dengan pengetahuan yang begitu cetek mengenai perihal negeri dan dunia, siapakah Azizan untuk memperkecilkan bijakpandai dalam MPN?
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan