Tuduhan terbaru Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) akan melakukan kudeta atau rampasan kuasa jika tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU-13) dikhuatiri boleh mengancam keselamatan dan rakyat negara ini jika tidak ditangani segera.
Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, menggesa pihak berkuasa iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat tuduhan yang dilemparkan Ahli Parlimen Bukit Gantang itu kerana kenyataan itu sangat melampau, keterlaluan dan bersifat hasutan.
Katanya, Nizar dalam satu ceramah di Taman Desa Pakatan, dekat Pengkalan Isnin lalu, menggambarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seolah-olah meminta pemimpin tentera melakukan `sesuatu’ sehingga tercetus pertikaman lidah antara mereka.
“Nizar bukan sahaja celupar dan berbohong dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi juga mempraktikkan perkara sama di luar dengan mengeluarkan tuduhan yang berasas tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat dan negara ini.
“Beliau juga tidak berasa bersalah sebaliknya terus berbohong dan memperdaya rakyat bahawa BN akan melakukan rampasan kuasa jika tewas pilihanraya umum akan datang.
“Kenyataannya itu sangat serius dan kita harap pihak berkuasa menyiasat perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Ipoh, hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Mohammad Nizar bahawa Najib sudah mengadakan pertemuan dengan pemimpin dan pegawai kanan angkatan tentera dan meminta mereka melakukan sesuatu jika BN tewas dalam pilihan raya umum akan datang.
Dalam siri ceramah itu, Nizar turut mendakwa pemimpin dan pegawai kanan tentera itu enggan berbuat demikian dan akan tetap bersama-sama rakyat jika BN tewas dalam pilihan raya itu.
“Ini satu perkara yang serius, kita tidak boleh keluarkan kenyataan seperti ini jika tidak ada faktanya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan