Ahad, 22 Januari 2012

Melayu dalam DAP tidak beri kesan kepada rakyat, BN-DS Zambry



Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata penyertaan orang Melayu dalam parti DAP tidak meninggalkan kesan kepada rakyat dan Barisan Nasional (BN) khususnya di Perak berdasarkan sambutan dingin mereka terhadap parti perkauman itu.

Katanya, perkara seperti itu sudah pun berlaku sejak puluhan tahun lalu dan sejarah menunjukkan ada orang Melayu pernah dipilih sebagai wakil rakyat menggunakan tiket DAP seperti Fazlan Yahya yang memenangi kerusi DUN Pasir Berdamar.

"Perkara seperti ini bukan kali pertama sebaliknya sudah berlaku puluhan tahun dahulu di mana ada beberapa kerat orang Melayu terpengaruh dengan perjuangan DAP.

"Tetapi ia tidak memberi apa-apa kesan kepada rakyat Perak dan sekiranya ia memberi kesan, sudah pasti berbondong-bondong orang Melayu akan menyertai parti pembangkang itu," katanya kepada pemberita di Ipoh, petang tadi.

Beliau mengulas penyertaan terbaru dua orang muda Melayu dalam DAP Perak yang kononnya menangkis dakwaan UMNO bahawa parti itu bersifat perkauman dan sengaja memberi laluan untuk menjadi Menteri Besar.

Fairuz Azhan Amiruddin, 26 dan Dyana Sofya Mohd Daud, 25, sepakat menyertai DAP Perak setelah melihat kekuatan ideologi dan kejayaan kerajaan Pulau Pinang mengurangkan kadar kemiskinan tegar.

Pada sidang media di Ipoh pagi tadi, Pengerusi DAP negeri, Datuk Ngeh Khoo Ham berkata, pihaknya masih memberi sokongan penuh kepada mantan Menteri Besar, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin menjadi Menteri Besar sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya.

Katanya, penglibatan golongan muda itu membuktikan DAP merupakan parti pelbagai bangsa yang masih bertunjangkan kepada kesetiaan agama, bangsa dan Raja-Raja Melayu.

"DAP tidak mengamalkan diskriminasi terhadap Melayu seperti yang didakwa oleh Umno dan pandangan orang muda dengan memilih DAP sebagai parti yang sedia membela rakyat adalah bertepatan.

"Mohammad Nizar tetap menjadi Menteri Besar setelah beliau berjaya membuktikan kredibilitinya dalam memimpin dan efektif mengendalikan pentadbiran negeri serta menyatukan perpaduan bangsa," katanya.

Sementara itu, Fairuz Azhan berkata, DAP sudah lama mengamalkan ideologi demokrasi sosial dengan terus memberi perkhidmatan dan membela rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

"Hanya propaganda Umno menyebabkan rakyat meletakkan DAP sebagai sebuah parti diskriminasi bangsa. Kejayaan Pulau Pinang berjaya mengatasi kemiskinan tegar menjadi contoh terbaik kepada Kerajaan Persekutuan," katanya.

Bagi Dyana Sofya, visi DAP yang menawar kesaksamaan, kerajaan demokrasi dan memerintah berteraskan undang-undang serta menentang rasuah menariknya menyertai parti itu.

"DAP menggambarkan Malaysia yang saya inginkan. Penyertaan saya menunjukkan DAP adalah terbuka kepada semua bangsa. Melihat kejayaan Kerajaan Pulau Pinang, saya berharap ia boleh direalisasikan di peringkat persekutuan menerusi Pakatan Rakyat," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan