Isnin, 19 Disember 2011

Tindakan ahli SMM biadab



Mohamed Khaled Nordin menyampaikan cek TEKUN kepada salah seorang penerima sambil diiringi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Rohazam Shah Ahmad (dua dari kiri) di Pasir Gudang, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 18 Dis. – Tindakan sekumpulan ahli Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menurunkan bendera yang memaparkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berdemonstrasi menuntut Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dimansuhkan di Kuala Lumpur, semalam adalah satu perbuatan biadab.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perbuatan tersebut amat tidak bertanggungjawab dan siasatan perlu dilakukan terhadap pelakunya.
“Ini adalah satu tindakan biadab, reaksinya kita tengok pada kesannya. Selain itu, kalau demonstrasi ini melibatkan kerosakan harta awam, penuntut yang terlibat kena bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan.
“Kita nasihatkan kumpulan penuntut terbabit supaya tidak lakukan sesuatu yang boleh menyinggung pihak lain,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Komuniti Pasir Gudang dekat sini, hari ini.
Semalam, kira-kira 200 mahasiswa berkumpul dan berarak untuk menggesa AUKU dimansuhkan kerana didakwa, antaranya menyekat kebebasan akademik, hak untuk berpolitik, kebebasan bersuara dan diberi autonomi menjalankan pilihan raya kampus.
Sebelum menyerahkan memorandum bantahan itu kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, beberapa ahlinya ketika berpiket di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bertindak menurunkan bendera yang mempunyai gambar Perdana Menteri.
Bendera tersebut adalah salah satu daripada lima yang mengibarkan gambar Najib dan semua bekas Perdana Menteri dan mereka menggantikannya dengan bendera kumpulan mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan