Isnin, 4 November 2013

PAS Akan Malu Besar Jika Majoriti Merosot di Sungai Limau  

Dengan mensasarkan kemenangan dengan majoriti hanya 500 undi, PAS nampaknya tidak berselindung langsung mengenai ketidakyakinan mereka dalam menghadapi Pilihanraya Kecil Sg. Limau.  Bagi PAS untuk  merasa tidak yakin di kubu kuat sendiri tentulah satu perkara yang pelik.  
 
Sungai Limau bukan calang-calang kubu kuat bagi PAS.  Ia telah menjadi milik PAS sejak 1995 tanpa perlu bertukar-tukar calon dan tanpa perlu membuat apa-apa perubahan.  PAS mampu mengekalkan Sungai Limau walaupun tidak pernah memperbaiki keadaan Sekolah-sekolah agama di situ, tanpa perlu melakukan apa-apa pembangunan jauh sekali kemajuan. 
 
Pendek kata, PAS telah mengekalkan Sungai Limau tanpa perlu melakukan apa-apa langsung!  Dari senario ini, PAS seharusnya yakin dapat mengekalkan Sungai Limau walaupun tanpa berkempen. 
 
Namun, ini semua tidak berlaku.  Sungai Limau menjadi kawasan sengit untuk dipertahankan walaupun majoriti undi yang diperolehi parti itu dalam PRU yang lalu cukup memberangsangkan. 
 
Terdapat 19 tempat mengundi di DUN Sungai Limau dan PAS telah menang 14 daripadanya dalam PRU yang lalu.  Dalam PRU 2008, PAS menang dengan majoriti 3,212 dan dalam PRU 2013, arwah Tan Sri Azizan memperolehi 13,294 undi dan menang dengan majoriti 2,774. 
 
Dengan rekod yang begitu cemerlang, kita hairan ke mana hilangnya keyakinan PAS dalam menghadapi PRK ini? 
 
Kali ini, pengundi berdaftar di Sungai Limau adalah 27,222 orang dengan pecahan Melayu 93.03%, Cina 6.76% India 0.06% dan lain-lain 0.15%.  Jika mengikut rekod, PAS sepatutnya yakin memperolehi majoriti sebanyak 2,000 – 3,000 undi.   Majoriti yang kurang dari 1,000 adalah bencana bagi PAS. 
 
Namun, PAS menyasarkan majoriti yang jauh lebih kecil iaitu sebanyak 500 sahaja. 
 
Jelas, PAS dapat mengesan sesuatu yang tidak kena dengan parti itu.  Mungkin PAS menyedari bahawa sikap beberapa pemimpin mereka terhadap arwah Tan Sri Azizan dahulu kini telah memakan diri.  Kempen PAS yang menggunakan taktik kotor seperti superimpose dan menipu hubungan calon dengan arwah juga turut memburukkan lagi imej mereka. 
 
Tambahan pula, pihak BN di bawah teraju Datuk Paduka Mukhriz Mahathir menggunakan cara kempen bersih.  Sikap Mukhriz yang budiman menyukarkan PAS untuk bersaing dengannya.  Mukhriz tidak pernah mengutuk atau mengaibkan sesiapa sedangkan PAS menjadikan kutukan dan fitnah sebagai bahan utama kempen mereka.
 
Keadaan ini menjadikan PAS rimas kerana PAS tidak tahu cara lain untuk berkempen selain cara kotor dan kasar.  PAS tidak mampu melawan cara bersih BN. 
 
Maka, tidak hairanlah apabila Pesuruhjaya PAS Kedah hanya menyasarkan kemenangan dengan majoriti yang begitu kecil.  Dan kita percaya sasaran beliau tidak akan meleset. 
 
Jika sasaran beliau menjadi nyata iaitu PAS hanya menang dalam majoriti 500 atau pun kurang dari 1,000 maka PAS wajar merasa malu.  PAS wajar malu hatta majoriti merosot sedikit pun dari PRU lalu kerana Sg. Limau adalah deposit tetap PAS sejak sekian lama.  Apatah lagi dengan hakikat kemerosotan undi itu adalah berpunca dari sikap PAS yang begitu menjelikkan ketika berkempen. 
 
Namun, apakah PAS tahu malu?


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan