Selasa, 22 Oktober 2013

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar, menafikan wujud konspirasi

Noh Omar
Kuala Lumpur: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar, menafikan wujud konspirasi untuk menjatuhkan calon tertentu yang bertanding pada pemilihan pimpinan parti peringkat bahagian di negeri itu.

Katanya, memang mudah untuk sesiapa saja membuat tuduhan, tetapi saluran yang lebih baik adalah mengemukakan aduan kepada jawatankuasa bertanggungjawab.

"Mereka berhak untuk merayu. Jawatankuasa membatalkan keputusan (kemenangan calon tertentu) selepas menerima aduan dan meneliti dari semua sudut. Jadi, lebih baik buat rayuan daripada menuduh sesiapa," katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas tindakan 75 ketua UMNO cawangan dalam Bahagian Sepang yang membantah pembatalan persidangan Pemuda dan Puteri bahagian itu, 12 Oktober lalu.

Ketua UMNO Cawangan Tanjung Sepat Darat, Nisman Yusof, berkata pihaknya menerima surat pembatalan persidangan dua sayap itu atas alasan ia tidak dilangsungkan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP), pada jam 4.20 petang 18 Oktober lalu, hanya sehari sebelum persidangan bahagian dilangsungkan.

"Persidangan itu dijalankan seperti sepatutnya, jadi kami berpendapat pembatalan perlu ditarik semula kerana jika tidak, kami percaya persidangan UMNO Bahagian Sepang juga tidak sah kerana menafikan hak mengundi di bawah Fasal 14.4.5 perlembagaan parti," katanya.

Nisman bersama kira-kira 50 ketua cawangan dari bahagian itu, ditemui media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam. Mereka turut menyerahkan memorandum bantahan kepada Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh yang ketika ditemui kemudian, sekadar memaklumkan bantahan berkenaan akan diteliti.

Di Sepang, bekas Ketua Pemuda UMNO bahagian itu, Noor Azli Said, mendakwa pembatalan pemilihan sayap berkenaan didalangi pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan kemenangannya, sedangkan beliau mempunyai bukti kukuh proses itu berjalan mengikut SOP ditetapkan.

"Saya juga sudah mengemukakan aduan rasmi kepada Jawatankuasa Aduan Badan Perhubungan UMNO Selangor, namun ditolak. Jadi, saya akan mengemukakan masalah ini kepada UMNO Pusat supaya keputusan pemilihan sebelum ini diguna pakai, sekali gus menjimatkan masa dan kos untuk buat pemilihan semula," katanya.

-Berita Harian
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan