Khamis, 26 September 2013

Ex- TKM P.Pinang digantung keahlian

Bekas timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Abdul Rashid Abdullah digantung keahlian Umno untuk bertanding jawatan ketua bahagian Nibong Tebal dalam pemilihan yang berlangsung Oktober ini.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Pulau Pinang, Datuk Daud Taha berkata, antara alasannya ialah Abdul Rashid didakwa belot dan mensabotaj parti pada masa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
 
"Dengan ini, beliau tidak layak bertanding untuk apa-apa jawatan dalam Umno.
 
"Mengikut peraturan, ahli yang digantung tidak boleh memilih dan tidak boleh dipilih dalam pertandingan parti," katanya pada sidang media di sini hari ini.
 
Pada 20 September lalu, jawatankuasa displin Umno telah mengeluarkan surat penggantungan keahlian dan diterima sehari selepas itu. 
 
Beliau turut berkata, ahli Umno Bahagian Tasek Gelugor termasuk timbalan ketuanya yang juga bekas Adun Sungai Dua, Datuk Jasmin Mohamed turut digantung atas alasan yang sama.
 
"Ini bermakna kesemuanya hilang kelayakan dan tidak boleh bertanding apa-apa jawatan dalam Umno," katanya.
 
Bagaimanapun, mereka boleh mengemukakan rayuan kepada jawatankuasa disiplin untuk pertimbangan.
 
Beberapa ahli lain yang digantung ialah Dr Md Rozi Yusof yang bertanding jawatan timbalan ketua bahagian, Salmah Ahmad (naib ketua Wanita Umno), Asmidy Mohamad dan Rahim Che Noor (ahli jawatankuasa bahagian) serta Mahamad Tahir Yusof (pengerusi tetap bahagian).
 
Sementara itu, seramai 32 calon Umno Pulau Pinang menarik diri dalam permohonan mereka untuk bertanding pada pemilihan parti peringkat negeri pada bulan depan.  

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan