Rabu, 7 Ogos 2013

Kerajaan sedia tolak TPPA jika merugikan negara- Tahniah!

Kerajaan memandang serius input yang diberi semua pihak berkaitan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata yang penting dalam membuat keputusan itu ialah kepentingan Negara tetap menjadi keutamaan tanpa menjejaskan sebarang hak rakyat.

"Pertimbangan dibuat sama ada ia membantu negara atau boleh menjejaskan kepentingan negara. Ini asas untuk pertimbangkan apa yang akan kita lakukan," katanya selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama ketua jabatan dan badan bukan kerajaan, di sini malam tadi.

"Setakat ini, tiada satu pun yang telah kerajaan muktamadkan mengenai TPPA kerana banyak perkara yang belum kita selesaikan lagi, dan kalau jejas kepentingan negara, tidak ada sebab untuk kita bersetuju," tegasnya.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Mustapa turut berkata beliau gembira dengan kehadiran kira-kira 1,000 orang yang mewakili semua pihak pada hari terbuka mengenai TPPA pada Khamis lepas, dan kerajaan telah mendapat banyak input bermanfaat daripadanya.

"Saya mendapat maklum balas berhubung beberapa cabaran yang dihadapi dalam kita berunding mengenai TPPA berkaitan cabaran terhadap kedaulatan negara, harga ubat-ubatan, berkaitan dengan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) yang banyak dibangkitkan," katanya.

TPPA merupakan perjanjian yang mirip kepada Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bagi perdagangan pelbagai hala melibatkan Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Malaysia, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam dan Jepun.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan