Isnin, 22 Julai 2013

Untungkah BN dengan gabungan MCA-Gerakan-SUPP? (Utusan)

SATU sahaja persamaan antara tiga parti Cina yang bakal bergabung ini - semuanya kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu.

MCA kalah 30 daripada 37 kerusi Parlimen yang ditandinginya. Dan hanya menang 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 90 kerusi DUN yang dipertaruhkan. Gerakan pula hanya menang satu kerusi Parlimen, Simpang Renggam, daripada 11 kerusi diperuntukkan dan tiga kerusi DUN daripada 31 kerusi ditandingi. Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pula tewas di enam daripada tujuh kerusi Parlimen.

Inilah yang menyebabkan isu penggabungan timbul semula sejak hangat diperkatakan pada 2008 lagi. Ketiga-tiga parti terutama MCA dan Gerakan sememangnya sejak lima tahun lagi telah meneroka semua kemungkinan untuk perlu mencari jalan yang membolehkan terus bernafas pada pilihan raya umum akan datang.

Penggabungan - adalah satu-satunya langkah yang boleh memastikan kelangsungan hidup ketiga-tiga parti ini.

Bagi Gerakan, parti itu hakikatnya sudah tidak boleh hidup lagi kerana telah dua kali kalah teruk dalam pilihan raya umum, selain tidak mempunyai hala tuju dan kepemimpinan yang agresif.

Difahamkan, MCA yang diketuai Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek akan menjadi parti dominan dalam gabungan. Presiden Gerakan akan diberikan jawatan Naib Presiden. Dikhabarkan, Gerakan bersetuju untuk menggabungkan partinya dengan kedua-dua parti Cina itu dengan hanya meminta satu syarat - MCA perlu menjadikan parti itu sebagai parti multiracial seperti Gerakan dan SUPP yang diterajui Tan Sri Peter Chin Fah Kui.

Pemangku Presiden Gerakan, Chang Ko Youn dikatakan meminta MCA supaya menjadikan parti itu sebagai sebuah parti multiracial kerana parti yang berdasarkan kepada bangsa, dikatakan sudah tidak relevan lagi.

Barangkali PRU-13 banyak 'mengajar' ketiga-tiga parti terutama cara DAP bangkit mencanak meskipun parti yang didominasi 'Dinasti Lim' itu pernah kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum 1995.

Cuma, kejayaan DAP yang didakwa sesetengah pihak bergantung kepada elemen 'rasis', banyak yang dicapai menerusi formula 'penggabungan strategik' parti itu dengan Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Dan dalam konteks ini, ia lebih menguntungkan DAP sehingga akhirnya mendominasi jumlah kerusi dalam kalangan parti pembangkang.

Formula 'penggabungan DAP-PKR-Pas' ini bagaimanapun kurang disenangi oleh sebilangan ahli Pas, ekoran DAP dalam usaha mendapatkan sokongan padu kaum bukan Melayu secara total, DAP juga melakukan kesilapan dengan menawar isu 'kalimah Allah'. Ini sekali gus mengakibatkan Pas terpinga-pinga untuk membuat pendirian, sehingga sukar mendapat sokongan Melayu di luar bandar dan Felda.

Cuma, persoalan yang juga ditimbulkan oleh segelintir pihak, adakah penggabungan MCA-Gerakan-SUPP ini akan memberi tekanan kepada UMNO atau menjadikan BN lebih hebat?

'Mereka' ini membangkitkan, antaranya 'kalau sebelum ini UMNO boleh tawar menawar di antara MCA dan Gerakan, tetapi apabila mereka bersatu, mungkin sebagai 'badan pendesak', apakah impak seterusnya kepada UMNO?'

Apa pun, diharapkan penggabungan MCA-Gerakan-SUPP akan menjadi satu-satunya jalan untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada kepada parti yang didominasi kaum Cina dalam BN.

Dan jika usaha menggabungkan parti-parti Cina ini berjaya, maka jumlah keahlian parti-parti dalam BN akan berkurangan menjadi 12.

Persoalan-persoalan akibat penggabungan ini juga perlu diselesaikan sebaik mungkin.

Bagaimana dengan kedudukan ahli Gerakan dari kaum India? Adakah mereka akan menyertai MIC atau PPP jika masih mahu bersama dengan BN? Dan adakah ahli Gerakan yang mungkin 'tidak berpuas hati' akan menyertai DAP?


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan