Isnin, 22 Julai 2013

Syurga dan neraka milik Pas? (Utusan)

SETELAH bersara lebih dua bulan lepas dari jawatan Menteri Besarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat muncul kembali di Kuala Besut baru-baru ini dengan isu lamanya.

Dalam ceramah di Kampung Beris Pak Abu, Besut, Terengganu itu, Mursyidul Am Pas itu kembali memainkan isu kafir mengkafir dan syurga neraka. Ini dalam usaha partinya menarik sokongan pengundi pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut Rabu ini.

Seperti biasa beliau mengulangi kenyataannya bahawa UMNO menolak Islam dan mengambil perjuangan yang dibawa oleh Inggeris.

"UMNO tolak Islam ambil 'kebangsaan'. Parti mereka pun guna bahasa Inggeris sampai susah hendak sebut tetapi nak bela orang Melayu," katanya.

Apa yang disebut-sebut oleh Nik Abdul Aziz bukan benda baharu. Acap kali itulah yang diuar-uarkannya. Ketika suasana pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dan Merlimau sebelum ini pun, bukan sahaja Nik Abdul Aziz malahan pemimpin parti itu yang lainnya begitu juga nadanya.

Mereka mengatakan sokongan kepada Pas akan dijanjikan syurga, sebaliknya jika menyokong BN, pengundi akan berhadapan balasan perlu dihentikan.

Kita umat Melayu cukup sedih apabila malam tadi Nik Abdul Aziz mengungkapkan kenyataan yang seolah-olah ada yang tidak kena dengan orang Melayu. Apa salahnya untuk UMNO membela orang Melayu. Apa salahnya untuk UMNO yang membawa panji Barisan Nasional di Kuala Besut membela hampir 97 peratus pengundi Melayu dalam pilihan raya kecil di situ.

Kita tertanya-tanya apa motif beliau apabila mengungkapkan: "Bela bangsa Melayu boleh bawa bekal ke akhirat? Adakah di akhirat akan ditanya kamu bangsa apa? Melayu, terus boleh masuk syurga, senanglah kalau macam tu. Bangsa tidak boleh buat apa-apa di akhirat."

Mana mungkin pilihan raya politik disamakan dengan konsep syurga dan neraka yang sama sekali berbeza dengan politik dan perbuatan ini boleh mengelirukan rakyat.

Kita umat Melayu juga cukup sedih apabila pemimpin Pas ini turut mendakwa UMNO telah merosakkan pemikiran umat Islam di negara ini kerana membina terlalu banyak masjid.

"UMNO suruh buat masjid tetapi mereka sendiri tidak sembahyang. Mereka hanya nak dapatkan kontrak buat masjid sahaja," katanya.

Benarkah begitu? Begitu dahsyat tuduhan itu sedangkan Pas tidak begitu komited ambil usaha untuk dirikan masjid. Ketika semua masjid yang ada di Kelantan dibina oleh Kerajaan Persekutuan atau peninggalan pembangunan yang dibawa oleh BN ketika mentadbir negeri itu pada 1978-1990, Pas tampil tanpa rasa malu mengakui hanya membina sebuah masjid, iaitu Masjid Jubli Emas Sultan Ismail Petra, di Rantau Panjang. Itu, dengan nada tinggi pula, mendakwa ia daripada wang sendiri tanpa bantuan Kerajaan Pusat sejak mentadbir negeri itu lebih 20 tahun lepas.

Tidak berapa lama dulu Nik Abdul Aziz pernah sibuk menjaja isu syurga dan neraka, seolah-olah dirinya 'penjaga kunci' yang akan menentukan orang yang sokong Pas masuk syurga dan orang UMNO masuk neraka.

Sebelumnya, beliau dengan selamba menyatakan kesediaan 'bersahabat dengan syaitan' semata-mata untuk menjustifikasikan perlunya hubungan kerjasama Pas dengan DAP. Kita tidak tahu sama ada itu berupa 'analogi' atau tidak, tetapi sepatutnya tidak keluar daripada mulut seorang pemimpin Islam.

Banyak kenyataan mencurigakan keluar dari mulut Nik Abdul Aziz. Antaranya, mendakwa orang Islam yang menyokong UMNO tidak akan mendapat pahala meskipun menunaikan sembahyang sebagaimana difardukan dalam Islam.

Alasannya konon kerana UMNO menerima dasar kebangsaan yang ditakrifnya sebagai menolak Islam yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Malahan beliau sanggup pula mengeluarkan kenyataan sebegini rupa sekitar Januari lalu:

"Menteri itu akan masuk neraka, tidak ada kuasa yang boleh menyekat dia masuk neraka kecuali syafaat Nabi Muhammad SAW."

Seolah-olah mempunyai kuasa menentukan balasan seseorang, Nik Abdul Aziz 'memutuskan' bahawa menteri yang bertanggungjawab dalam agihan royalti minyak kepada negeri akan masuk neraka kerana dakwanya telah menafikan hak kerajaan Pas Kelantan.

Pas lebih cenderung menyalahkan dan mencari keburukan dan kesalahan orang lain dan sebaliknya.

Diharap, peringatan Allah di bawah boleh menjadi pedoman kepada sesiapa sahaja termasuk pengikut dan penyokong mana-mana parti politik supaya tidak taksub kepada kepimpinannya.

PERINGATAN ALLAH

l Pengikut Nabi Nuh AS: "Maka mereka mendustakan Nuh, kemudian Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (mata hatinya). (7:54)

l Pengikut Nabi Hud AS: "Maka Kami selamatkan Hud beserta orang-orang yang bersamanya dengan rahmat yang besar dari Kami, dan kami tumpaskan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan tiadalah mereka orang-orang yang beriman." (7:72)

"Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): "Bukankah Aku ini Tuhanmu?" Mereka menjawab: "Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi". (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: "Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)" [7: 172]

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai". [7:179]

Kita sentiasa berdoa dan berharap mereka sebilangan pemimpin dan penyokong tegar Pas akan insaf dan kembali semula ke pangkal jalan dalam memperjuangkan Islam yang sebenar. Dan bukannya dengan cara begini mengkafirkan sesama Islam.

Mana mungkin pilihan raya politik disamakan dengan konsep syurga dan neraka - yang sama sekali berbeza dengan politik. Perbuatan ini boleh mengelirukan rakyat.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan