Rabu, 3 Julai 2013

RM2bil untuk 79 projek pembangunan infrastruktur luar bandar Sabah, Sarawak

Kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah RM2 bilion untuk melaksanakan 79 projek pembangunan infrastruktur asas luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata daripada jumlah projek yang sedang dalam pelaksanaan itu, Sarawak menerima 52 projek dengan nilai RM1.3 bilion.

"Selain itu, sejak tahun 2010 kerajaan melalui program di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara telah membina jalan luar bandar di Sarawak sepanjang 911.87km, menyambung air bersih ke 71,064 rumah, membina 18,301 rumah dan menyambungkan bekalan elektrik 24 jam kepada 46,457 buah rumah," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Aaron Ago Dagang (BN-Kanowit) mengenai pelan pembangunan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak untuk mengatasi masalah kemudahan infrastruktur dan pembangunan ekonomi kawasan itu.

Bagi meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar, Mohd Shafie berkata kementerian itu akan melaksanakan Program Desa Abad ke-21 melibatkan program Cabaran Perniagaan Desa dan Program Desa Lestari.

Beliau berkata projek Program Desa Lestari dengan peruntukan RM137 juta itu akan dilaksanakan di 42 kampung terpilih melibatkan projek ekonomi seperti agropelancongan, pertanian, perikanan, penternakan, industri pembuatan dan pemprosesan.

"Selain itu kerajaan turut melaksanakan 11 Program Lonjakan Mega Luar Bandar (Agropolitan) dan setakat tahun lepas lima daripadanya dilaksanakan di Sarawak dengan jangkaan pendapatan peserta ditingkatkan dari[ada RM300 kepada RM1,800 sebulan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Sadique memaklumkan bahawa keperluan untuk mewujudkan pasukan bomba air di Sabah dan Sarawak telah dimasukkan dalam rancangan pembinaan balai bomba baru.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hasbi Habibollah (BN-Limbang) mengenai kesediaan kerajaan untuk mewujudkan pasukan itu bagi mengatasi kekangan pasukan bomba ketika menghadapi masalah kebakaran di kawasan kampung pesisir sungai yang sukar dihubungi melalui laluan darat.

Bulan lepas kira-kira 100 buah rumah air di Kampung Datuk, Sibu musnah dalam kebakaran yang menyebabkan kira-kira 700 penduduk hilang tempat tinggal. - Bernama, 3 Julai, 2013.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan