Rabu, 15 Mei 2013

Boikot Syarikat Taja Anwar

KUALA LUMPUR 14 Mei - Tindak tanduk sebahagian besar anak muda kaum Cina yang telah menyertai tiga perhimpunan haram bagi membantah keputusan Pilihan raya Umum ke-13 (PRU-13) menyebabkan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam mula bertindak balas.

Mereka menggesa rakyat memboikot beberapa produk keluaran syarikat milik kaum tersebut yang dipercayai turut menyumbang dana bagi menjayakan perhimpunan haram tersebut.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan ketika memberi kata dua itu menegaskan, tindakan itu perlu kerana syarikat-syarikat berkenaan menjadi penyumbang dana menjayakan agenda perpecahan rakyat di negara ini.

Malah, beliau cukup bimbang selagi mereka memberi sokongan dengan menyertai siri perhimpunan haram pembangkang itu, perbuatan itu akan mengundang kejadian tidak diingini serta menggugat keharmonian kaum.

"Kita mahu beri 'isyarat' kepada syarikat-syarikat pengeluar produk berkenaan supaya hormati perpaduan kaum di negara ini. Sudah tiba masanya kita sebagai pengguna menzahirkan apa yang kita rasa, tidak perlu berdemonstrasi di stadium, cukup dengan memboikot.

'Tindakan ini bukan secara membuta-tuli, tetapi mempunyai alasan kukuh. Kami telah buat kajian, contohnya tepung gandum salah satu jenama mengandungi 'racun' yang boleh mengakibatkan penyakit, mungkin sebab itu orang Malaysia hari ini banyak penyakit," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Suara Anak Muda 1Malaysia, Armand Azha Abu Hanifah dan ahli Jawatankuasa Tindakan Tertinggi Gabungan NGO Islam 1Malaysia, Datuk Mohd. Farid Hassan.

Selepas perhimpunan pertama di Kelana Jaya pembangkang meneruskan perhimpunan yang sama di Pulau Pinang Sabtu lepas dan di Ipoh yang disertai sebahagian besar disertai anak muda berketurunan Cina.

Perhimpunan itu seterusnya dijadual diadakan secara berasingan di Kuantan, Pahang dan Johor Bahru iaitu malam ini dan esok.

Dalam pada itu, menurut Armand Azha, tindakan memboikot tersebut bukan bermaksud orang Melayu iri hati terhadap syarikat pengeluar milik kaum tersebut tetapi kerana percaya sebilangan mereka yang terpengaruh dengan taktik pembangkang itu akan menyebabkan keretakan perpaduan kaum negara ini.

"Kami boikot atas dasar tidak mahukan perpecahan kaum. Kami ada maklumat, kami dapat tahu daripada pihak mereka sendiri di sebelah sana (pembangkang).

"Cukuplah mereka kaut keuntungan, kemudian salurkan pula dana untuk menimbulkan keretakan perpaduan antara kaum di Malaysia. Sudah tiba masa kita boikot produk-produk ini," jelasnya.

Orang ramai boleh melayari laman web PPIM di http://ppim. org.my/ untuk mengetahui lebih lanjut.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan