Ahad, 24 Mac 2013

RM185 Juta Tingkatkan Taraf Klinik Di Seluruh Pahang

MARAN, 24 Mac – Sebanyak RM185 juta dibelanjakan kerajaan bagi kerja-kerja menaik taraf klinik kesihatan, klinik desa, dan klinik pergigian di seluruh Pahang dari tahun 2008 hingga 2012.

Menyatakan demikian, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata apa yang dilakukan itu adalah demi meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan bertaraf dunia untuk rakyat.

"Kerajaan Barisan Nasional telah banyak melaksanakan pembangunan untuk rakyat, dan projek kesihatan di seluruh negara, melibatkan peruntukan berbilion ringgit itu adalah bertaraf dunia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Pengesahan Tapak Cadangan Klinik Kesihatan Kampung Seri Jaya, dekat Maran, di sini, semalam.

Turut hadir Anggota Parlimen Maran Datuk Ismail Mutalib.

Liow berkata Klinik Kesihatan di Seri Jaya itu melibatkan kos sebanyak RM14 juta yang akan dibina di kawasan seluas lima hektar.

"Klinik ini yang dijangka siap dalam tahun 2014 boleh memberikan perkhidmatan kepada kira kira 30,000 penduduk sekitar Seri Jaya, manakala penduduk di Felda New Zealand dan kawasan sekitarnya akan turut mendapat manfaat," katanya.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan