Isnin, 9 Januari 2012

Identiti mangsa letupan dikenal pasti 2

KUALA LUMPUR: Identiti lima mangsa yang cedera dalam letupan ketika penyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhimpun berhampiran Kompleks Mahkamah di Jalan Duta, di sini, hari ini, dikenal pasti.

Empat daripada mereka adalah peserta perhimpunan iaitu Ng Kien Seng, 36, yang cedera di tangan kanan, Juhari Mansur, 21, cedera di perut, Isaiah a/l Jacob, 46, mengalami kecederaan di leher, dan Tang Eng Ghee, 48, yang cedera di kaki kiri.
Seorang lagi mangsa iaitu peguam Keith Christopher, 27, cedera di bibir dan kaki.
Dalam satu kenyataannya, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, berkata semua mangsa masih berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan.

"Doktor sudah mengeluarkan bebola besi daripada anggota badan dua orang mangsa. Seorang mengalami kecederaan ringan (calar) di bahagian badan. Seorang lagi mangsa masih menunggu pembedahan ringan untuk mengeluarkan bebola besi.

"Mangsa kelima masih lagi menerima rawatan di wad Hospital Kuala Lumpur kerana mengadu sakit dada," katanya melalui laman facebook Polis KL.

Katanya, polis masih menyiasat kes itu.
Difahamkan keadaan seorang mangsa dikenali sebagai S.Bakthavachalam, 63, yang mengalami sakit jantung akibat terkejut selepas mendengar letupan itu, dilaporkan stabil selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi Koronori HKL.

Hari ini, Anwar dibebaskan daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 2008. Seramai 4,500 penyokongnya berhimpun di luar mahkamah untuk mengetahui keputusan itu.

Bagaimanapun, perhimpunan itu dicemari insiden letupan yang dipercayai daripada bom buatan sendiri mengandungi bebola besi dan ketiga-tiga letupan itu merosakkan sebuah lori, lima kereta dan dua motosikal yang diletakkan berhampiran dengan tempat kejadian. - BERNAMA


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan